Disember 2015
Aku melihat sekujur tubuh yang kaku terbaring dengan alat pernafasan pada mulutnya dan wayar-wayar berselirat pada badannya. Wajahnya sangat pucat, sepasang matanya memandang aku sayu yang sedang duduk di tepinya. Aku tak dapat nak mengungkapkan apa-apa perkataan. Mulutku seperti dikunci ketat. Tiba-tiba tangannya cuba sedaya-upaya untuk memegang tanganku, aku terkejut lalu menarik tanganku kembali.
Hatiku masih sakit kerana dibuang olehnya dahulu. Disebabkan dia aku tidak percaya lagi apa-apa janji. Aku tidak percaya janji itu malah aku tak tahu apa maksud sebenar janji. Orang kata janji mesti ditunaikan kalau tak ditunaikan nanti orang tak percaya pada kita lagi. Ya. Itu aku tahu.
“Zah...rah...” aku mengangkat wajahku lalu memandangnya. Aku tidak menyahut panggilannya. Dia membiarkan aku menderita seorang diri selepas kematian orang yang aku sayang, Wardani Asmah. Sudah 14 tahun arwah meninggalkan aku. Selepas itu aku dijaga olehnya, ketika itu aku sangat bahagia, manja dan rapat dengannya tetapi sejak seorang perempuan muncul dalam kebahagiaan kami, kami mula berenggang dan aku selalu diherdik olehnya. Aku benci dia. Benci!
Setiap hari mesti dia akan herdik dan memukulku menggunakan tali pinggangnya. Katanya dia tidak suka aku berkata buruk tentang wanita itu. Dia kata wanita itu akan bakal jadi keluarga kami suatu hari nanti. Sejak itu aku mula menjadi pendiam semula dan mengurung diri di dalam bilik menatap gambar-gambar lama bersama mereka. Sejak arwah pergi semua berubah. Berubah kepada buruk. Aku disisih. Aku dipinggirkan. Aku diherdik. Aku dibelasah. Aku dibuang begitu sahaja. Aku juga dihalau. Ketika aku masih berusia sembilan tahun, masih kecil. Masih blur tentang dunia luar. Aku si kecil yang memerlukan kasih sayang daripada keluarga.
Tak ada orang yang mengasihi aku sehingga aku berjumpa dengan sebuah keluarga dirahmati Allah SWT yang mengambil aku menjadi sebahagian keluarganya dan dia mendidik aku dengan ajaran Agama Islam. Ketika itu baru aku sedar bahawa selama ini aku tidak pernah keseorangan kerana Yang Maha Esa sentiasa disisiku tatkala aku menangis dan memerlukan seseorang. Allah SWT selalu memerhati perbuatanku.
Itu semua hasil didikan dan kasih sayang daripada keluarga itu. Tahun ini, aku mendapat khabar bahawa orang yang membuangku itu ditahan di wad kerana sakit teruk. Aku berbelah bahagi. Mahu berjumpa ataupun tidak. Dan akhirnya aku pergi setelah abang angkatku menasihatiku.
“Cik Zahrah, bapa cik kena makan untuk mengalas perutnya kerana selepas itu bapa cik kena makan ubat.” Aku memandang sekilas jururawat itu lalu mengambil mangkuk bubur itu daripada tangannya.
“Terima kasih.” Ucapku sopan.
“Ayah, mari makan lepastu kena makan ubat.”perlahan sahaja tanganku membuka alat pernafasan ayah. Satu demi satu suapan bubur ke dalam mulutnya. Sepanjang suapan itu mataku hanya tertumpu pada bubur yang berada dalam mangkuk itu,tidak langsung aku memandang wajahnya.
Sekiranya aku memandang matanya kenangan pahit akan terimbau semula di dalam mindaku dan ia akan membuatkan perasaan benci aku muncul semula. Selesai menyuap aku meletakkan mangkuk bubur di atas meja kemudian aku pergi ke balkoni dan termenung apabila angin menyapa pipiku.
Share this novel