HARI YANG PANJANG

Mystery Series 1356

Segera Sufyan menurunkan cermin keretanya.

“Bro! sampai pun kau. Wartawan dah ramai ni. Jom ikut aku pergi ke rumah mayat.” Kata Sarjan Muaz.
Sufyan segera mengekori rapat Sarjan Muaz dan beberapa anggota polis lain menyekat wartawan untuk mendekati mereka. Sesampai sahaja di bilik mayat, Sarjan Muaz memegang pergelangan tangan Sufyan.

“Bro, sebelum apa-apa aku nak kau mengucap dulu. Ingat Allah banyak-banyak. Aku tahu ni bukan perkara yang mudah.” Pesan Sarjan Muaz sebelum membuka kain yang menutupi wajah Sufi untuk dicam oleh adiknya. Walaupun memang dia pun tahu siapa Sufi kepada Sufyan, prosedur ini tetap perlu dilakukan.

Sufyan hanya mengangguk perlahan.

Muaz mengalihkan kain itu dengan perlahan-lahan sehingga kesemua wajah Sufi akhirnya terdedah. Sufyan hanya memandang kosong ke wajah arwah kakaknya itu, sambil menahan tangis di celah kerongkongnya.

“Allah, kakak aku Muaz! Kakak aku! Siapa yang buat macam ni kat dia!” Sufyan beralih menumbuk dinding sambil melepaskan rasa yang terbuku didadanya.

Sarjan Muaz menangis sekali lagi. Kali ini lebih terasa sedihnya apabila melihat kawan rapatnya ini melalui tragedi hidup seperti ini. Dia menghampiri Sufyan dan memeluk Sufyan dari tepi.

“Sabar Sufyan, sabar. Tak kira lah siapa yang buat, aku akan pastikan pembunuhnya akan tertangkap juga” Kata Sarjan Muaz cuba menenangkan Sufyan.

“Allahhhhh…kakak aku…kakak aku betul-betul dah pergi…...Allah….” tangis Sufyan lagi. Sarjan Muaz menunggu sehingga Sufyan tenang.

Van jenazah telah pun bersedia menunggu di luar rumah mayat untuk membawa jenazah Sufi pulang ke pangkuan keluarganya di Kuala Lumpur.

“Aku rasa, kau kena bercakap sekejap dengan wartawan-wartawan semua tu. Ringkas je bro. Sebab kakak kau bukan orang biasa. Dia isteri Datuk Zahir penerbit terkenal tu kot. Aku harap kau faham.” Pinta Sarjan Muaz.

“Ye bro…Aku faham.” Lalu Sufyan keluar dari bilik mayat itu untuk memberi sedikit keterangan kepada wartawan.

Sarjan Muaz hanya menemani Sufyan dibelakangnya. Sesekali Sufyan melihat Sarjan Muaz di belakang seperti ingin memohon kekuatan, Sarjan Muaz segera menepuk belakang bahunya supaya Sufyan tenang semula.

“Assalamualaikum semua. Saya harap semua dapat mendoakan Arwah kakak saya, Datin Sufi Yasmeen. Jika dia ada melakukan apa-apa kesalahan atau hutang dengan sesiapa, saya mohon agar kesalahannya di maafkan dan hutangnya boleh dituntut dengan saya. Saya juga berharap agar pihak media menghormati privasi keluarga kami buat sementara waktu ini dan biarlah kes ini disiasat polis.” Ringkas kenyataan Sufyan.

“Encik Sufyan, kenapa suami Datin Yasmeen tak hadir untuk menuntut mayat isteri dia?” Tanya salah seorang wartawan.

“Beliau tidak berapa sihat. Itu sahaja yang saya boleh cakap. Saya rasa sampai di sini sahaja. Terima kasih semua.” Ucap Sufyan sebagai penutup kenyatannya. Kedengaran suara wartawa yang masih ingin bertanya, tetapi Sufyan beransur kembali ke ruangan bilik mayat.

Konstabel polis yang bertugas segera menyuraikan wartawan dari kawasan itu. Sufyan hanya duduk membatu di tepi arwah kakaknya.
Sarjan Muaz yang sudah pasti keadaan di perkarangan rumah mayat sudah tenang, segera mendatangi Sufyan untuk memulakan proses penghantaran jenazah kakaknya itu ke Kuala Lumpur.

“Bro…kau rasa siapa yang buat semua ni dekat kakak aku. Apa salah dia.” Tanya Sufyan.

“Siasatan masih tahap awal..Aku pun belum boleh cakap apa-apa. Tapi aku harap kalau kau ada apa-apa maklumat, kau kena bagitahu aku. Apa pun maklumat. Apa pun.” Pesan Sarjan Muaz sambil mengiringi kawannya itu ke keretanya.

“Eh bro…aku baru teringat. Amar ada jumpa nota ni. Aku forward kat wassap kau ye. Tapi aku tak tahu lah relevant atau tidak. Tapi aku rasa mungkin kakak aku dengan suami dia ada masalah. Tapi aku rasa takkanlah sampai boleh jadi macam ni.” Jelas Sufyan.

“’Suami dari neraka’? Amar yang jumpa ni? Takpe, nanti aku discuss dengan team aku macam mana. Tapi benda macam ni terlalu lemah untuk dijadikan bukti.” Kata Sarjan Muaz.

“Takpe bro. Nanti kalau aku ada maklumat lagi, aku call kau. Nanti aku tanya Amar kat mana dia jumpa nota ni. Dia lebih faham hubungan kakak aku dengan suami dia. Tapi lately dia banyak stay dengan mak bapak aku. Hurmmm.. taktau lah Muaz...Aku tak boleh fikir sekarang ni. Aku gerak dululah bro. Terima kasih ” Sarjan Muaz memeluk Sufyan sekali lagi sebelum Sufyan berlalu pergi mengikuti van jenazah kakaknya yang telah bergerak.

"'Suami dari neraka' apa maksud kau Sufi?" Tergerak hatinya memikirkan apa yang diceritakan Sufyan tadi. Jam menunjukkan waktu 3.30 pagi. "Huaaarghhh" Sarjan Muaz menguap. Jelas sekali memang hari ini memenatkan. Sarjan Muaz pun bergerak menuju ke IPD Johor Bahru untuk melelapkan matanya buat seketika sehingga subuh. Esok hari raya. Tapi sudah tentu esok ialah satu lagi hari yang panjang buat dirinya.

Sementara itu, Amar tidak dapat melelapkan matanya kerana tertunggu-tunggu jenazah arwah ibunya. Dia hanya memencilkan diri di dalam bilik sambil bermain permainan video di dalam telefon bimbitnya.

“Bodohlah! Woi! Ek eleh, bangang lah kau ni!” Amar membebel sendiri. Tiba-tiba ada kenderaan baru sampai di luar pagar rumah datuknya. Amar terus menerpa ke tingkap untuk melihat siapa yang sampai.

“Alah, orang tua ni baru lah nak datang. Acah-acah lah tu. Pergi mampus lah” segera Amar mengunci pintu biliknya dan menyambung main permainan videonya.

Tidak lama kemudian,
“Amar! Amar! Papa ni. Are you okay?” Datuk Zahir memanggil Amar di dalam bilik.

“Ya, ya I am okay papa! Just leave me alone okay.” Amar menjawab.

“Are you sure? Sekejap lagi jenazah mama sampai. Nanti Amar turun bawah tengok mama kali terakhir.” Sambung Datuk Zahir lagi.

“omewe omeme oweowe owi” Amar mengejek apa yang Datuk Zahir cakap.

“Orang tahu lah. Pelakon” Amar mengomel seorang diri.

“Dah panggil Amar, Zahir?” Tanya bapa mertuanya setelah melihat Datuk Zahir turun seorang diri.

“Dah bapak. Tapi rasanya dia perlukan masa untuk sendiri. Takpelah. Nanti bila jenazah Sufi dah sampai saya panggilkan dia lagi” Jawab Datuk Zahir lalu duduk di sebelah bapa mertuanya itu.

“Kau rasa… siapa yang buat semua ni kepada anak bapak…” bapa mertuanya bertanya sambil matanya melihat terus keluar rumah. Kelihatan air mata kembali menakung di matanya yang sudah sedia bengkak.

“Bapak… saya tak pasti… Bapak tahu lah Sufi… Dengan saya pun dia banyak rahsia… Tapi nanti saya akan cari siapa yang buat semua ni pada Sufi” Jawab Datuk Zahir sambil menunduk. Jelas kesedihan pada wajah Datuk Zahir.

“10 tahun saya kahwin dengan Sufi. Saya tak sangka berakhir macam ni. Bapak kena teruskan berdoa semoga arwah Sufi mendapat pembelaan. Sekejap bapak saya perlu jawab panggilan ni” Kata Datuk Zahir lagi sebelum menjawab panggilan telefon. Pada ketika itulah, van jenazah yang membawa Datin Sufi sampai ke rumah itu.

“Okay okay aku faham” Lantas Datuk Zahir mematikan telefon dan menuju ke bilik Amar, tetapi belum sempat Datuk Zahir menaiki tangga, sudah kelihatan Amar turun dari tingkat atas. Datuk Zahir cuba memeluk bahu Amar tetapi ditepis. Amar lantas berlari menuju kepada Jenazah Datin Sufi yang baru sahaja diangkat masuk ke dalam rumah.

“Mamaaa!!” jerit Amar sambil menangis.

Sufyan yang baru sahaja masuk ke dalam rumah segera mendatangi Amar untuk menenangkannya.
“Sabar Amar, mama dah ada di syurga. Sabar banyak-banyak.” Pesan Sufyan berbisik di telinga Amar sambil memeluknya erat. Sufyan juga terasa sebak tetapi dia perlu kuat demi anak saudaranya itu.

“Mama tipu Amar, mama cakap nak ada dengan Amar sampai bila-bila. Mama kenapa tipu Amar, kenapaaa!!” Amar melepaskan rasa di dadanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience