PANGGILAN PENTING

Mystery Series 1356

“Ya halo assalamualaikum bro. Kau bila nak balik KL ni? Esok raya dah bro!” Terdengar suara riang Sufyan di hujung talian. Memang itulah reaksi Sufyan tiap kali Sarjan Muaz menelefonnya untuk bertanya khabar.

“Waalaikumussalam. Bro…aku…aku ada benda nak beritahu kau ni. Cuma, sebelum apa-apa aku nak kau duduk dulu.” Sarjan Muaz menguatkan dirinya untuk memberitahu perkara yang berlaku.

“Kenapa ni bro. Tak lawak lah…” Sambung Sufyan lagi.

“Tak bro, aku serius. Kakak kau. Sufi. Jiran dia jumpa kakak kau kat luar rumah dia pagi tadi kat sini. Pulau Sibu. Dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pegawai perubatan baru je sahkan kakak kau dah meninggal. Aku minta maaf bro. Aku minta maaf.” Mengalir air mata Sarjan Muaz menghabiskan ayat. Bergetar suaranya menahan sebak di dada yang sudah tidak tertahan. Tugas memberitahu perkara ini kepada sahabat baiknya sendiri adalah satu tugas yang amat berat untuk dia pikul. Terdengar Sufyan cuma berdiam diri. Tak lama terdengar esakan kecil tangisan sahabat baiknya itu sambil diselang-selikan dengan sebutan Allah.

“Allah...bro…kakak aku…” Sambung Sufyan menangis lagi untuk beberapa ketika.

“Bro, aku minta tolong kau beritahu suami arwah. Minta dia telefon aku nanti. Mungkin dia diperlukan untuk siasatan. Tapi buat masa sekarang ni, mayat kakak kau akan di bawa dahulu ke hospital untuk siasatan lanjut. Aku akan tolong setelkan kes ni. Aku janji.” Beritahu Sarjan Muaz lagi kepada Sufyan.

“Muaz… terima kasih... Nanti aku beritahu suami Sufi. Doakan keluarga aku Muaz. Doakan” Jawab Sufyan lagi. Terdengar suaranya bergumam dengan air mata. Sarjan Muaz mengambil kain putih yang masih bersih untuk menutup mayat Sufi. “Kenapa you... Sufi...kenapa...ya Allah…” bisik Sarjan Muaz sambil menutup mayat Sufi dengan kain putih. Sarjan Muaz melihat jam di tangan kirinya. “Dah pukul 12.43 petang. Rasanya dekat pukul 2.00 petang nanti sampai la detektif tu. Dah dekat sejam juga mereka bertolak” bisik Sarjan Muaz.

Perjalanan mengambil masa kira-kira 2 jam dari Bandar Johor Bharu untuk sampai ke jeti di Tanjung Leman sebelum perlu menaiki boat selama hampir 1 jam untuk sampai ke Pulau Sibu. Kelihatan awan hitam berarak perlahan di sekitar Pulau Sibu. Jelas kelihatan hujan akan turun dalam waktu terdekat. Pasukan penyiasat yang ditugaskan untuk membantu menyelesaikan kes ini sudahpun berada dalam perjalanan di atas boat. Sebaik sahaja mereka sampai di pulau tersebut, hujan turun dengan lebatnya. Inspektor Eidlan yang mengetuai kes ini segera menghubungi Sarjan Muaz untuk menjaga mayat mangsa dan pastikan ia tidak di basahi air hujan.

“Ya. Pastikan mayat dan kawasan sekitar tidak terganggu oleh hujan ni. Nanti bukti hilang. Saya akan sampai sekejap lagi.” Pesan Inspektor Eidlan yang bimbang bukti di kawasan kejadian akan terganggu dibawa air hujan dan pastinya akan menganggu dan melambatkan proses siasatan.

“Lagi berapa lama untuk sampai ke tempat kejadian? Pasukan forensik dah sampai?” tanya Inspektor Eidlan kepada pemandu nya.

“Mungkin dalam 20 minit tuan, saya cuba bawa laju sikit. Pasukan forensik akan sampai dalam setengah jam tuan, mereka call saya tadi, jalan agak sesak sebab bertembung dengan kemalangan jalan raya, kenderaan pun banyak, mungkin orang dah sibuk untuk mencari persiapan raya. Esok dah raya, yang nak balik raya pun ramai” jawab Koperal Farid yang memandu kereta.

Inspektor Eidlan hanya diam. Fikirannya kosong. Dia cuba untuk melapangkan fikiran nya. Kalau difikirkan pada ketika ini dia tentu sudah dalam perjalanan untuk pulang ke kampung. Tetapi, sememang untuk kes kematian seperti ini, detektif perlu mengenepikan hal peribadi dan fokusnya teralih untuk memulakan siasatan seperti kanvas kosong. Tiada sangkaan awal. Hanya penilaian fakta berdasarkan bukti yang diperoleh di tempat kejadian dan saksi. Dia perlu meneliti semua kemungkinan yang boleh berlaku kepada mangsa.

Ketika semua itu bermain di fikiran Inspektor Eidlan, matanya yang dari tadi memandang ke luar cermin kereta terpaku melihat lautan disepanjang perjalanan ke rumah mangsa. Pemandangan laut menjadi semakin luas kerana mereka mula mendaki bukit yang agak jauh juga dari pekan terdekat di Pulau tersebut.

“Maaf tuan, saya terlepas simpang” kata Koperal Farid sambil melakukan u-turn.

Mereka mendapati lorong ke rumah mangsa sukar untuk dikesan dari jalan utama. Ianya sebuah lorong dengan batu kerikil di sebuah simpang tidak bernama. Jika dipandang sekali, memang tidak dipercayai terdapat rumah di dalam lorong kecil tersebut. Setelah memasuki lorong tersebut, mereka mendapati ianya sangat cantik kerana berada di lereng bukit yang dihiasi dengan pemandangan Laut China Selatan yang terbentang luas di sebelah kiri mereka. Di sebelah kanan pula terdapat tumbuhan renek dicelahan batu bukit. Memang cantik.

“Masha Allah, cantik betul tempat ni ye. Macam bukan di Malaysia pula. Mesti mahal kalau nak beli rumah dekat atas bukit macam ni” Ujar Inspektor Eidlan yang pertama kali menjejakkan kaki di pulau ini. Koperal Farid hanya mengangguk-angguk setuju.

Pulau Sibu ialah sebuah pulau yang kecil di sebelah pantai barat daerah Mersing. Berkeluasan hanya kira-kira 10 km persegi dan bukit yang didiami mangsa ialah bahagian yang tertinggi di pulau itu iaitu kira-kira 170-meter dari paras laut. Bukan murah untuk dapat memiliki sebuah rumah di atas bukit seperti ini. Buat seketika Inspektor Eidlan leka memerhati keadaan sekeliling. Terlihat angin yang membawa hujan kian reda. Baru ingatan nya kembali kepada tujuan asal dia ke situ.

“Alhamdulillah, berhenti pun hujan.”, Inspektor Eidlan menarik nafas lega.

Kira-kira 700-meter perjalanan mereka pun sampai di lokasi kejadian dan perkara pertama yang menangkap perhatian Inspektor Eidlan ialah betapa dekatnya mayat mangsa berhampiran dengan pagar rumahnya. Berkedudukan meniarap, dan baju tidur berwarna putihnya kotor kerana seakan ditolak ke arah semak pohon duri semalu yang memenuhi pagar itu. Terdapat kesan jelas semak pohon semalu itu tertolak ke dalam oleh mayat mangsa. Jika keadaan gelap, mungkin orang yang melalui di lorong ini tidak dapat melihat mangsa terbaring di situ. Cuma kebetulan mangsa memakai baju tidur berwarna putih, menjadikannya mudah untuk dilihat.
“Boleh terangkan kepada saya, maklumat awal siasatan?” Tanya Inspektor Eidlan kepada Sarjan Muaz yang tiba lebih awal di tempat kejadian.

“Baik tuan, mangsa seorang perempuan, mungkin berumur antara 37 tahun. Nama sebenar beliau ialah Sufi Yasmeen binti Khalid. Menurut maklumat di dalam kad pengenalannya, dia berasal dari Kuala Lumpur. Menurut saksi, jiran mangsa, mangsa baru sahaja sampai di Pulau ini pagi semalam seorang diri. Rumah ini pula dikatakan memang rumah persendirian mangsa” Jelas Sarjan Muaz. Beliau mengetuai pasukan polis di Pulau Sibu ini sejak 5 tahun lepas. Berumur 35 tahun, masih belum berkahwin dan amat dikenali oleh masyarakat setempat.

“Siapa yang menemui mangsa? Malika kan nama dia?” tanya Inspektor Eidlan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience