Series
                        
1356
                    14 April 2023, hanya 1 hari sebelum sambutan raya Aidilfitri, adalah biasa untuk sebuah pulau peranginan kecil bernama Pulau Sibu ini akan menjadi sunyi dan sepi. Pelancong-pelancong sudah pun kurang berkunjung ke pulau itu sejak bulan Ramadan bermula hampir sebulan yang lepas. Sekali-sekala ada juga pelancong luar negara atau bukan islam yang memasuki pulau, tetapi tidak ramai. Penduduk tetap pulau ini hanyalah daripada 2 buah kampung kecil yang terdapat di sebelah barat dan selatan pulau. Kira-kira 243 orang sahaja semuanya.
Dan ketika kesunyian di hari terakhir Ramadan itu, tepat jam 10.18 pagi, Sarjan Muaz yang mengetuai pejabat polis kecil di sini menerima satu panggilan tentang penemuan seorang wanita di luar rumah wanita tersebut.
“Sarjan, saya rasa sarjan patut jawab panggilan ni.” Kata konstabel polis yang menjawab panggilan itu.
“Kenapa?” Sarjan Muaz mula merasakan sesuatu yang buruk telah berlaku. Konstabel polis hanya mendiamkan diri dan terus menghulurkan telefon kepada Sarjan Muaz.
“Helo, ya. Sarjan Muaz bercakap. Boleh saya tahu dengan siapa saya bercakap?” tanya Sarjan Muaz.
“Puan Malika, saya yang duduk di rumah hujung atas bukit itu Sarjan.” Jawab Puan Malika dengan nada cemas.
“Ya puan, ada apa boleh saya bantu?” tanya Sarjan Muaz lagi.
“Tuan, saya terjumpa Datin Sufi, jiran saya terbaring kat depan pagar rumah dia ni. Saya rasa dia pengsan. Sufi!, Sufi! Bangun Sufi! Dari tadi saya cuba panggil dia tapi dia tak bergerak. Tolong datang cepat Tuan” Kata Puan Malika lagi.
“Okay, bertenang puan. Puan dah telefon talian kecemasan tak? Jangan risau, saya akan datang sekejap lagi” Suara Sarjan Muaz mulai menggeletar.
Dia terus mengarahkan 3 lagi rakan bertugas untuk terus menuju ke rumah Datin Sufi. Motor dan beberapa kenderaan lain mulai memenuhi tempat kejadian. Berita sebegini memang cepat tersebar. Tambah-tambah lagi bila berlaku di pulau terpencil ini, semua penduduk saling mengenali dan hidup aman damai. Kalau kes curi pun jarang sangat berlaku, apatah lagi kes seperti ini. Sarjan Muaz segera mendatangi pintu pagar rumah Datin Sufi, sementara konstabel polis menyuraikan orang ramai untuk beredar dari situ.
“Konstabel! Tolong saya buka pagar ni. Berkunci ni!”Teriak Sarjan Muaz sambil cuba menggoyang-goyangkan pagar dawai itu. Konstabel datang membawa playar dan mula memutuskan pagar dawai itu.
“Mujurlah you tak tukar pagar besi Sufi” bisik Sarjan Muaz di dalam hati.
Rumah agam percutian di atas bukit itu ialah milik ialah seorang wanita kacukan arab yang berkulit cerah dan cantik. Dia merupakan seorang pelawat tetap di pulau peranginan itu sejak beberapa tahun lepas. Bagi Sarjan Muaz, wanita menawan ini bukanlah orang asing. Seorang senior di sekolahnya dahulu dan sememangnya dari dahulu lagi terkenal di kalangan pelajar sekolah. Mereka terjumpa semula beberapa tahun lepas dan ada kalanya Sufi mengajak Sarjan Muaz untuk menemaninya makan di restoran sekitar pulau berkenaan tiap kali dia datang melawat.
“Takkan lah...Sufi...you baru sampai semalam..” bisik hati Sarjan Muaz bagaikan tidak percaya. Sambil berusaha memasuki pagar di celahan dawai pagar, Sarjan Muaz terus menerpa ke arah Datin Sufi.
“Sufi, Sufi! You okay tak” Sufi tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap dengan kolam darah seluas 2 kaki di tempat Sufi ditemui. Sarjan Muaz merasakan perkara terburuk telah berlaku. Dia memegang tangan Sufi untuk memeriksa nadinya. Kosong. Dia pegang lagi sekali tetapi kali ini lebih lama. Tangan Sufi sejuk, tiada nadi. Tiba-tiba telefon nya berdering. Tertera “IPD Johor Bahru” di paparan telefon nya.
“Hello ya, Sarjan Muaz bercakap” Sarjan Muaz menjawab panggilan.
“Kami terima laporan terdapat seorang mangsa ditemui tidak sedarkan diri. Sarjan dah periksa? Adakah mangsa mati” tanya pemanggil.
“Ya, saya baru periksa. Saya positif mangsa sudah meninggal dunia. Sekarang saya tengah tunggu pegawai perubatan untuk pengesahan” Jawab Sarjan Muaz.
“Baiklah, kalau begitu, kami akan hantar sepasukan penyiasat dan forensik untuk bantu siasatan. Sila jaga tempat kejadian dengan baik.” Talian terputus.
Sarjan Muaz terdiam seketika untuk menghadam apa yang berlaku. Dia melihat sekeliling dan ternampak Puan Malika dan suaminya berdiri tidak jauh dari situ. Jiran terdekat Sufi, Puan Malika tinggal bersama suaminya di sebuah rumah kira-kira 500-meter dari rumah Sufi.
Walaupun jarak rumah mereka agak jauh, tetapi Puan Malika dapat melihat rumah Sufi dari tingkap dapur rumahnya. Rumah Puan Malika terletak di bahagian bawah lereng bukit, lebih berdekatan dengan pantai, manakala rumah Sufi pula terletak di bahagian atas lereng bukit yang sama, agak jauh dari pantai. Berkongsi lorong jalan yang sama, Puan Malika seringkali meluangkan masa bertegur sapa dengan Sufi tiap kali terserempak dengannya.
“Konstabel, minta Puan Malika dan suaminya untuk tidak pergi ke mana-mana. Keterangan rasmi mereka belum diambil” Arah Sarjan Muaz.
Fikiran Sarjan Muaz teringat ketika dia terserempak dengan Sufi 6.30 petang semalam di kedai runcit. Sufi, walaupun sudah berumur 37 tahun, masih lagi kelihatan menawan. Darah kacukan arab di dalam tubuhnya menjadikan wajah Sufi seringkali menarik perhatian setiap mata yang memandang. Memang sesuai sangat jolokan “bidadari arab” diberikan kepadanya pada zaman sekolah dahulu.
Seringkali juga, Sufi seperti tidak selesa dengan segala perhatian yang diberikan kepadanya. Selendang dan tudung yang dipakainya sengaja dibiarkan terjuntai atau kedepan untuk menutupi sebahagian perhatian yang diterimanya. Dari dahulu sehingga sekarang, gaya tudungnya itu masih sama.
“Eh, Kak Sufi?” Tegur Sarjan Muaz apabila terserempak dengannya semalam.
“You lagi...I baru je ingat nak tenang-tenang je kat sini. Asal I datang sini je, I kena tengok muka you. Menyesal tau I beli rumah kat sini” jawab Sufi berseloroh manja. Suara Sufi yang serak-serak basah itu memang mudah kedengaran manja walaupun percakapannya hanya biasa-biasa sahaja.
“Bila sampai ni? Akak raya sini ke? Boleh la I datang raya kat rumah nanti...kan kan..masak sedap-sedap eh, nanti I ajak 1 balai tau raya rumah you” Soal Sarjan Muaz dengan nada mengusik.
“Hmmm, dah berapa kali tau I cakap, jangan panggil I kakak. You ni memang saja kan You dengan I beza setahun je tau. Gedik sangat eh” Jawab Sufi tanpa memalingkan muka, mungkin annoying dengan usikan Sarjan Muaz.  
Sarjan Muaz tergelak kecil. 
“Ala, I gurau je la kak...tapi betul-betul la ni.. raya sini ke? Sufyan pun ada ke? Lama I tak jumpa dia” soal Sarjan Muaz lagi. Sufyan ialah adik Sufi yang sebaya dengannya.
“Takde...I sorang je.. Saje je la nak datang sini, baru tadi sampai, tu yang beli makanan dulu siap-siap. Raya I makan maggi je. Kalau nak datang, datang la, bawak maggi sendiri okay? I penat la duduk KL. Nak kena hadap ramai orang. Kat sini I tenang. Tapi I rasa you jangan datang lah. I nak spend masa sorang-sorang je 4,5 hari ni. Nanti I bosan I cari you.” Jawab Sufi bersahaja.
“Hmmmm, ye la I tau dah jawapan you. Asal datang sini je, duduk kat rumah sorang-sorang. Tapi as long as you are okay, then never mind. You pun tau nak cari I kat mana kan... I 24 jam kat balai. Mana la tahu kalau tiba-tiba rasa bosan ke... raya-raya ni pulau ni extra sunyi tau” Sambung Sarjan Muaz lagi.
“Ya... I know. In fact, that is the only reason why I am here. I ingat you cuti. Rupanya ada jugak kat sini. Tak aman la I bercuti ni nanti...but... trust me, you don’t have to worry okay. I pergi balik rumah dulu la eh... penat la layan you bercakap ni...I nak rehat.. sakit pinggang I naik ferry tadi. You tolong hantar I balik rumah boleh?” Jawab Sufi sambil menoleh kepada Sarjan Muaz, lalu berlalu pergi untuk membayar barang yang dibelinya.
“Mesti lah boleh…macam tak biasa je kan... I kan memang supir you kat sini…Datin Sufi Yasmeen binti Khaled, mari saya hantarkan ke rumah Datin ya!” Seloroh Sarjan Muaz lagi sambil turut membayar barangnya dan menuju ke kereta.
Itu lah kali terakhir Sarjan Muaz melihat Sufi hidup. Bagaikan tidak percaya. Semuanya normal semalam. Tapi sekarang Sarjan Muaz perlu menelefon keluarga Sufi untuk sampaikan berita ini.
Perasaannya bercampur-baur diantara sedih dan kekal professional. Hendak ataupun tidak, dia tetap perlu menelefon mereka untuk memberitahu hal ini. Dengan berat, Sarjan Muaz mendail nama kawan baiknya di dalam telefon, Sufyan, adik Sufi yang sebaya dengannya.
Share this novel