SUAMI DARI NERAKA

Mystery Series 1356

Sementara itu di rumah keluarga Datin Sufi di Kuala Lumpur, adik Datin Sufi, Sufyan berusaha untuk menelefon suami Datin Sufi, Datuk Zahir. Terpaksa Sufyan membuat panggilan telefon dari dalam biliknya kerana serabut dengan tangisan ahli keluarga yang ramai berkumpul di rumah pusaka keluarga itu.

“Manalah orang tua ni pergi!” berang Sufyan mengenangkan abang iparnya yang masih tidak dapat dihubungi sejak dari tadi. Majlis bacaan yasin dan tahlil pun sudah selesai, tetapi muka Datuk Zahir langsung tidak kelihatan.

“Kalau ya pun tak kisah dengan isteri, takkan lah taknak sambut raya dengan anak kat sini, tapi memang dia tak pernah kisah pun. Samalah dengan Sufi, tak kisah langsung dengan anak sendiri. Boleh pergi beraya sorang-sorang dekat pulau terpencil tu?! Dah jadi macam ni siapa yang susah.”

Membebel Sufyan sambil cuba menghubungi Datuk Zahir. Sejak Datin Sufi berkahwin dengan Datuk Zahir 10 tahun lepas, boleh kira berapa kali sahaja Datuk Zahir datang ke rumah orang tuanya. Bila ditanya ada sahaja alasan tentang kerja, keluarga dan kebelakangan ini alasan kesihatan sering kali menjadi jawapan.

“Manalah dia ni pergi. Wassap pun tak sampai, call pun tak dapat. Nanti jangan cakap aku tak maklum sudahlah. Kalau ya pun kurang sihat, takkan lah tak boleh angkat call atau baca wassap?” Rungut Sufyan ketika bersiap mengemas baju untuk pengecaman mayat kakaknya.

Dia terfikir untuk singgah sebentar di rumah tempat kakak dan abang iparnya itu tinggal. Mungkin Datuk Zahir mahu ikut sekali tengok isteri dia. Isteri meninggal dalam keadaan macam ni, kalau aku, mesti aku nak pergi tengok. Sufyan pun terus mengambil barang yang dikemasnya dan turun ke bawah untuk bertemu ibu dan ayah nya.

“Mak ayah, Sufyan pergi dulu. Doa banyak-banyak. Mak ayah kena redha, bahagian kakak dah tertulis macam ni mak. Nanti saya bawa balik kakak ke rumah ya” ujar Sufyan kepada ibu dan bapanya yang sugul. Ketika Sufyan memandu keluar dari pagar rumah itu, kelihatan Amar anak kakaknya yang berusia 16 tahun di tingkap atas rumah itu melihat dia pergi.

“Kesian Amar. Aku ni cuma ingat dekat Amar je Sufi. Tak patut dia lalui semua ni” bisik hatinya. Bergenang air mata Sufyan sambil memandu menuju ke Bukit Jelutong, ke rumah kelamin kakak dan suaminya.

Terasa perjalanan dari Ampang ke Bukit Jelutong pada lewat petang itu luar biasa jauhnya. Fikiran Sufyan kosong buat seketika. Penuh tapi dia sendiri tidak tahu apa yang difikirkannya sehingga otaknya seperti tersekat untuk memikirkan apa-apa lagi. Nak marah, sedih, kecewa pun seperti tiada. Rasa seperti sudah tidak ada guna.

“Allahuakbar” bisik Sufyan. Tiada masalah yang besar, sebab Allah lagi besar dari segala masalah. Tiada yang mustahil. Fikirannya teringat pesan Muaz dalam panggilan telefon tadi untuk memikirkan jika kakaknya ada musuh atau masalah dengan sesiapa. Cuma masalahnya Sufi seorang perahsia. Memang kalau dia ada masalah dengan sesiapa sekalipun, dia tidak akan cerita.

Cuma memang Sufyan diberitahu oleh ibunya yang kakaknya tidak pulang beraya pada tahun ini untuk menyiapkan projek penerbitan terbarunya nanti. Pada Sufyan, perkara itu bukan perkara baru kerana kakaknya memang seringkali mengelak untuk berkumpul bersama sanak-saudara tiap kali Hari Raya.

“Tapi, projek penerbitan apa ya? Ada orang lain ke yang dia rancang untuk jumpa di pulau tu? Erghhh geram nya. Kenapa lah berani sangat duduk sorang-sorang kat pulau terpencil tu kakakkk” Rungut Sufyan seorang diri.

Kalau difikirkan personaliti pulau itu persis seperti personaliti kakak nya. Memang cantik, tapi penuh misteri sukar untuk didekati. Mood dia pun seringkali berubah sepertimana mudahnya cuaca berubah di pantai. Sekejap cerah biru langitnya, sekejap kilat dan hujan datang menyapu bersih orang yang berada di pantai untuk mencari tempat berlindung.

Cuma adalah beberapa orang di dalam hidupnya yang kekal dan sentiasa bersama dia tidak kira cuaca baik atau tidak. Bak kata pepatah tu, jika takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Datin Sufi lah ombak dan pantai itu. Hubungan kakaknya dan Datuk Zahir inilah antara hubungan paling lama yang kakaknya pernah ada.

Dalam tidak sedar, Sufyan sudahpun sampai ke rumah kelamin kakaknya itu. Seusai sampai di pagar, kelihatan sebuah kereta BMW 5 series milik abang iparnya juga sampai dan lantas berhenti di belakang kereta Sufyan. Sufyan segera mendatangi kereta itu dan mengetuk cermin bahagian penumpang. Datuk Zahir segera membuka cermin kereta.

“Sufyan? Ada apa ni?” Soal Datuk Zahir.

“Ya Allah, kenapa saya call datuk tak dapat-dapat dari petang tadi? Kakak. Dah mati. Mungkin sebab dibunuh.” Jawab Sufyan.

“Mati? Betul ke ni? siapa yang nak bunuh dia? Ya Allah...! Kau jangan main-main Sufyan!” Datuk Zahir seperti tidak percaya.
“Semua masih dalam siasatan. Saya nak cerita pun saya taktahu cerita yang sebenar. Polis pun belum cerita apa-apa. Tapi sekarang saya perlu pergi ke JB untuk pengecaman mayat. Datuk nak ikut sekali tak?”

Datuk Zahir yang masih dalam keadaan tidak percaya seakan tidak dapat mengawal perasaannya. Terus dia tunduk menangis dan berteriak mengenangkan isterinya yang dikahwini selama 10 tahun itu.

“Datuk? Kalau nak pergi, kita kena pergi sekarang Datuk.” Soal Sufyan lagi.

“Saya tak rasa saya cukup kuat untuk jumpa kakak kamu. Tolong. Bawa balik dia ke KL.” Ucap Datuk Zahir sambil memegang bahu Sufyan.

Sufyan melihat abang iparnya yang sudah tua itu dengan wajah sugul. Dia tahu abang iparnya yang berumur 75 tahun itu tidak dapat mengawal emosinya, ditambah lagi dengan masalah kesihatannya yang merosot sejak setahun lepas.

“Baiklah. Saya akan bawa kakak balik. Cuma saya nak minta datuk berkumpul di rumah mak dan ayah esok. Mungkin kakak akan dikebumikan di sana. Lepas tu, saya risaukan Amar. Tolong temankan dia Datuk.” Bicara Sufyan lagi.

“Baiklah, lepas ini saya akan terus ke sana.” Kata Datuk Azhar.

Sufyan pun berlalu meninggalkan abang iparnya itu. Tiada masa boleh dibazirkan lagi. Dia terus menuju melalui lebuhraya untuk menjimatkan masa. Sufyan leka memandu kereta sehinggalah telefon bimbitnya berbunyi.

“Eh, Amar?” Terus Sufyan memberhentikan kereta di Hentian Rehat seterusnya dan menelefon Amar semula.

“Helo, Amar? Amar ada call paksu tadi ya?” tanya Sufyan.

“Paksu, mama kena bunuh kan? Amar rasa papa Zahir yang bunuh mama. Dari dulu lagi Amar nampak mama tak bahagia dengan papa.” Cerita Amar.

“Amar… paksu faham… memang mama dengan papa Zahir ada masalah. Tapi sebab papa zahir tak sihat. Sekarang ni, kita serahkan siasatan kepada pihak polis okay. Paksu nak Amar doa banyak-banyak untuk mama” kata Sufyan.

“Tak paksu, paksu tolong lah percaya Amar. Papa yang buat mama jadi macam tu” Terdengar suara Amar mulai sebak.

“Okay, okay... paksu percaya. Tunggu paksu balik bawa mama esok. Nanti Amar cerita pada paksu semua. Sekarang rehat dulu, doa untuk mama okay. Nanti paksu balik.” Pujuk Sufyan lagi lalu terus menyambung perjalanannya.
2 jam kemudian, Sufyan pun sampai di hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Wartawan sudah kelihatan di sana sini. Sufyan ambil masa untuk keluar dari keretanya. Dia membuka wassap untuk melihat jika ada mesej penting. Hanya mesej dari Amar sahaja yang ada.
“Apa lagi Amar ni.” Sambil memuat turun fail gambar yang Amar hantar kepadanya. “suami dari neraka!” tertera tulisan dari secebis kertas yang di hantar Amar. Sufyan pasti ini adalah tulisan kakaknya.
“Apa maksud ni kakak.” Sufyan mulai terfikir, adakah tulisan itu dituju kepada Datuk Zahir. Tiba-tiba, pintu keretanya diketuk.

"Muaz!" teriak Sufyan melihat kawan rapatnya itu di cermin luar keretanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience