JIRAN BAWAH BUKIT

Mystery Series 1356

“Ya, Puan Malika jiran terdekat mangsa yang melaporkan penemuan mangsa. Dia tinggal di hujung lorong ini. Kira-kira 500-meter dari sini. Sekejap saya panggilkan dia” Kata Koperal Muaz lantas memanggil Puan Malika yang berada di tepi dan memintanya menjelaskan semula bagaimana mayat telah dijumpai. Puan Malika ditenangkan oleh suaminya dan masih lagi di dalam keadaan terkejut.

“Saya memang akan keluar jogging setiap pagi dan ketika saya melalui depan rumah Cik Sufi, saya perasan ada sesuatu berwarna putih di situ, saya terus rasa tidak sedap hati dan memanggil suami saya untuk sama-sama pergi untuk lihat apakah yang berwarna putih itu. Apabila kami mendekati, kami yakin itu ialah Sufi. Dia baru sahaja sampai semalam tuan, saya pun ada mengajak dia untuk berbuka puasa di rumah saya petang ini memandangkan dia datang seorang diri.” Kata Puan Malika sambal menyeka air mata.

“Bagaimana Puan tahu dia sudah meninggal dunia?” Tanya Inspektor Eidlan sambil matanya memerhati suami Puan Malika yang diam seribu bahasa. Mereka bertentang mata buat seketika sebelum Inspektor Eidlan mengalih perhatian kepada kenyataan Puan Malika.

“Apabila suami saya sampai, saya lebih berani untuk datang lebih dekat dan cuba memanggil namanya berulang-ulang kali. Tetapi dia tidak memberi respon. Suami saya juga perasan banyak darah di atas tanah berhampiran kepala Sufi dan pada ketika itulah kami yakin Sufi sudah mati. Saya terus menelefon polis”. Jelas Puan Malika.

Inspektor Eidlan cuma mengangguk setelah mendengar penjelasan Puan Malika. Ada 1 perkara yang terlintas di fikirannya. “Kenapa mereka tentukan mangsa sudah mati dari luar pagar? Kenapa tidak call ambulans?”

“Sarjan Muaz, Koperal Farid, saya nak kamu berdua bawa Puan Malika dan suami ke balai polis untuk soal siasat. Pastikan soal siasat mereka secara berasingan, ambil gambar jika terdapat kecederaan yang mencurigakan. Ambil persetujuan untuk dapatkan sampel DNA juga. Saya nak tahu aktiviti pada hari semalam sehingga mayat dijumpai pagi tadi. Pada ketika ini semua orang adalah suspek.” Arah Inspektor Eidlan.

“Baik Tuan!” Lantas Sarjan Farid dan Koperal Muaz pun meminta Puan Malika dan suaminya untuk memberi kenyataan rasmi bagi membantu siasatan. Mereka hanya menurut. Jelas kejadian ini memberi kejutan kepada mereka dan mereka ingin melakukan apa sahaja untuk membantu siasatan.

Lantas Inspektor Eidlan menghampiri mayat Sufi dan membuka kain yang menutupinya. Perkara pertama yang mendapat perhatian Inspektor Eidlan ialah kecederaan di bahagian belakang kepalanya. Walaupun Sufi masih memakai tudung, tetapi boleh dilihat yang tudungnya terkoyak, sebahagian rambutnya terkeluar melalui celah tudungnya yang terkoyak. Terlihat juga seperti lendir diselaputi darah mercik di sekitar kawasan itu. Mungkin serpihan tisu dari kepalanya yang dipukul.

Kesan darah yang mengalir juga nampak yang begitu banyak. Dengan jumlah darah seperti ini, mungkin mangsa hanya dibiarkan berdarah sehingga mati. Berhampiran mangsa, ditemui sebiji batu yang berlumuran darah.

“Macam death by blunt force trauma. Perbuatan pembunuh amateur ni, senjata pembunuhan yang dia guna terlalu rawak. Unplanned murder ke?” detik hati Inspektor Eidlan sejurus melihat batu dengan kesan darah itu.

Inspektor Eidlan juga melihat keadaan Sufi. Bahagian yang paling utama ialah pada lengan Sufi kerana jika terdapat luka mempertahankan diri. “...hmmm...tiada luka, tiada lebam...pelik..” bisik Inspektor Eidlan kepada dirinya Apa yang Inspektor Eidlan nampak ialah luka dari duri semalu yang dihimpitkan kepada jasadnya yang sudah tidak bernyawa

Inspektor Eidlan berjalan menghampiri pagar besi yang memagari perkarangan rumah peranginan itu. Bahagian bawah pagar itu hampir tidak dapat dilihat kerana dipenuhi pohon semalu yang menjalar dari luar pagar. Ternampak mayat mangsa seperti ditolak ke dalam semak berduri yang tebal itu. Mungkin untuk menyembunyikan mayat dalam keadaan tergesa-gesa sebelum pembunuhnya memutuskan untuk melarikan diri. Ada kemungkinan pembunuh melalui semak berduri itu. Jika dia melalui pagar ini, sudah pasti akan terdapat calar di kaki dan tangan nya. Pembunuh itu tidak akan terlepas.

“Siapa yang bunuh Sufi? Crime scene nampak berselerak. Mungkin pembunuh kali pertama.. Yang paling penting...apa motif pembunuhan ni? Dia ada musuh ke?” fikir Inspektor Eidlan lagi.

“Tuan! Pasukan forensik dah sampai” kata konstabel polis yang bertugas.

“Baik. Sebelum bukti di kumpul dan mayat di alih, saya mahu membuat taklimat dengan mereka sekejap. Panggil mereka ke sini” arah Inspektor Eidlan.

Pasukan forensik yang baru sahaja tiba dari Johor Bahru segera mendatangi Inspektor Eidlan seperti yang di arahkan. Waktu menunjukkan jam 3 petang. Kira-kira 4 jam lagi sebelum gelap dan tibanya waktu berbuka puasa. Sudah tentunya inilah puasa yang akan paling diingati buat mereka yang bertugas di dalam kes ini. Mungkin juga mereka terpaksa beraya di pulau ini sekiranya pengumpulan bukti di tempat kejadian dan mangsa tidak cukup dan memadai untuk menyelesaikan kes ini.

“Baiklah, hari ini saya mahu kamu semua berpecah kepada 2 kumpulan. Satu untuk bahagian luar rumah dan satu lagi untuk bahagian dalam rumah. Untuk bahagian luar rumah, saya mahu kamu mengambil semua sampel cecair berupa darah, air liur mahupun air mani yang mungkin terdapat pada mangsa. Saya juga mahu sampel di bahagian dalam kuku nya di ambil. Begitu juga dengan kesan darah atau fiber yang terdapat di batu, pokok dan pagar. Sila kumpul untuk dianalisis di makmal. Ada apa-apa soalan?” Kumpulan forensik hanya mengangguk faham.

“Untuk pasukan kedua, saya nak kamu periksa dan ambil bukti cap jari di bahagian dalam rumah di atas bukit sana. Ambil gambar sebanyak mungkin dan perhatikan jika ada kesan pergelutan. Saya juga akan ke sana selepas ini. Okay semua, boleh berpecah dan mulakan tugas, Sekali lagi saya tekankan, siasatan ini disyaki berkenaan kes bunuh. Jadi pastikan tiada bukti yang tertinggal”. Pesan Inspektor Eidlan.

“Baik, Tuan!” Jawab pasukan forensik. Walaupun kepenatan kerana perjalanan jauh dan berpuasa, tetapi mereka semua bersemangat untuk menyiasat kes ini.

“Berdasarkan cara beliau mati dan pemerhatian awal, saya percaya ini adalah kes homisid. Sebab tu saya mahu kamu semua berhati-hati dan teliti dalam kes ini. Pastikan semua yang relevan dalam siasatan di kumpul kerana saya percaya kes ini boleh selesai dengan cepat.” Sambung pesan Inspektor Eidlan kepada semua pasukan forensik yang berkumpul. Pasukan forensik berbincang seketika untuk membahagi kumpulan sebelum membawa peralatan forensik mereka ke tempat yang ditugaskan.

Puan Malika dan suaminya ni "semacam" juga. Adakah mereka terlibat dengan pembunuhan ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience