Series
1356
Aina Zada, pegawai forensik yang baru sahaja bertugas 3 bulan lalu turut bersama pasukan forensik untuk kes ini. Ini adalah kali pertama dia ditugaskan untuk kes homisid seperti ini. Itupun kerana ada pegawai yang lebih senior cuti bersalin.
Jadi Aina menganggap ini adalah peluang keemasan untuk dia kerana sebab utama Aina menyertai forensik ialah kerana minatnya dalam kes siasatan pembunuhan. Sudah lama Aina berangan untuk menjadi seperti watak Catherine Willows dalam drama bersiri CSI. Gementar dan teruja. Itulah yang dirasakan Aina pada ketika ini.
“Aina…jangan buat silap okay, kau kan best student, kau dah belajar semua ni dalam kelas dulu kan, so kau mesti boleh.” Bisik Aina sendiri memberi semangat kepada dirinya yang gementar itu.
Minat yang mendalam di dalam siasatan pembunuhan dari kecil menjadi sebab utama Aina memilih jurusan Sains Forensik ketika belajar di Universiti. Lalu, Aina melanjutkan pelajarannya dalam kursus lanjutan forensik jenayah selama setahun lagi selepas pengajiannya tamat. Akhirnya, pada usia 26 tahun, Aina diberikan peluang untuk berada di dalam pekerjaan impiannya.
Aina ditugaskan untuk mengumpul bahan bukti di bahagian dalam rumah. Aina dan 3 orang ahli pasukan pun bergerak menaiki lereng bukit untuk menuju ke rumah Sufi. Lereng bukit itu hanya dipenuhi rumput panjang, diselangi tumbuhan renek, tak ubah seperti moorland.
Jadi disebabkan itu mereka dapat melihat pemandangan laut yang luas dan penuh, seakan-akan mengelilingi rumah Sufi.
Rumah Sufi tidak besar, ataupun kecil. Sedang elok untuk menjadi rumah persinggahan keluarga. Mungkin mereka sengaja memilih untuk membina rumah yang tidak terlalu besar untuk meminimumkan penyelenggaraan.
“Mesti mahal rumah ni. Atas bukit, tepi laut, kalau lah ni rumah aku. Seminggu aku tak keluar rumah pun takpe” bisik Aina kepada dirinya.
Apabila mereka memasuki ke dalam rumah, perkara pertama yang menarik perhatian mereka ialah kunci pintu rumah itu masih berada di pintu utama rumah itu. Kelihatan seperti Sufi tidak merancang untuk keluar lama.
“Peliknya, kenapa kunci rumah ada kat sini?” Soal Aina di dalam hatinya. Tiba-tiba Aina tersentak.
“Eh, Aina, aku nak kau ambil gambar semua yang penting. Jangan ada 1 pun terlepas.” Kata ketua pasukan yang mengetuai siasatan forensik di dalam rumah sambil memberikan Aina kamera. Aina terus mengambil nya dan mula mengambil gambar.
Mereka mulakan dengan kawasan utama rumah tersebut iaitu ruang tamu yang bercantum dengan bahagian dapur. Luas ruang ini dan lapang seperti sebuah dewan. Di tengah-tengah ruang ini terdapat sliding door yang lebar menghadap ke laut, dan di luar sliding door itu terdapat sebuah kolam mandi bersaiz sederhana. Alang kayu menghiasi bahagian siling ruang itu menjadikannya persis seperti penginapan resort pantai 7 bintang.
Pandangan Aina tertarik kepada betapa kemas dan tersusunnya rumah tersebut. Aina mengambil gambar keadaan sofa yang rapi sehinggakan bantal di atas nya seakan tidak terusik langsung. Cermin sliding door juga sangat bersih, tiada sedikit pun cap jari.
Aina mengikuti rapat senior-senior yang lain melakukan analisa forensik di dalam rumah tersebut dan mengambil gambar semua yang di uji dan di kumpul oleh mereka. Ruang ini memang bersih.
“Mustahil ini adalah tempat kejadian” Kata Aina lagi kepada dirinya. Setelah diteliti, lantai, dinding dan bahagian siling ruang rehat itu juga bebas dari perkara mencurigakan. Mereka meneruskan untuk memeriksa bahagian dapur dan ruang makan.
Setiba di ruang makan, mereka dapat melihat semuanya seakan normal. Terdapat nasi bungkus di atas meja dan roti yang telah luak dimakan 2 atau 3 keping diikat rapi untuk dimakan semula mungkin. Tetapi nampaknya Sufi tidak sempat makan roti ini semula kerana telah ditemui mati awal pagi tadi. Di bahagian tepi singki pula terlihat pinggan yang sudah di basuh. Namun, satu perkara yang menarik perhatian Aina.
“Eh, ada dua cawan kat sini”, Aina memberitahu rakannya.
“Eh ye la. Dia ada tetamu ke?” soal kawannya lagi.
“Ada apa yang kamu berdua borakkan ni?” Celah Inspektor Eidlan. Dia baru sahaja masuk ke rumah setelah memastikan pasukan forensik di luar memahami tugas mereka masing-masing. Jika pembunuhan dilakukan di luar rumah, kebiasaanya bukti amat sukar untuk dikenal pasti. Jadi, Inspektor Eidlan mahu pastikan pasukan forensik meneliti setiap perkara yang mereka jumpa dengan mendalam.
“Tuan, Aina jumpa 2 cawan di singki, setahu kami, Datin Sufi bersendirian di rumah ini bukan?” Segera kawan Aina menjawab soalan yang ditanya oleh Inspektor Eidlan.
“Ya, Sarjan Muaz ada beritahu saya, dia datang ke sini seorang diri. Periksa cawan tu baik-baik. Ada sesiapa jumpa handphone mangsa? Jika ada yang jumpa, segera berikan kepada saya untuk diperiksa. Berkemungkinan besar ada banyak petunjuk di dalam tu” Jelas Inspektor Eidlan kepada staf-staf bertugas.
Di tepi ruangan makan juga terdapat sliding door menuju ke kolam mandi rumah tersebut, membentuk huruf “L” bersambungan dengan ruang rehat tadi. Dan di sebelah kanan ruang rehat terdapat dua bilik tidur dengan tandas berasingan.
Mereka bergerak untuk memeriksa bilik tidur utama di mana dipercayai digunakan Datin Sufi sejak sampai di situ pada pagi semalam. Bilik itu kelihatan kemas walaupun sudah terusik. Bag pakaiannya juga masih belum di punggah sepenuhnya. Masih dipenuhi baju yang belum digunakan. Buku “The Murders at Fleat House” yang dibacanya bertanda elok diletakkan meja kecil tepi katilnya. Ada lagi 3,4 buku yang diletakkan di atas rak. Semua buku yang dibacanya bertemakan misteri dan seram.
Terdapat gambar Datin Sufi bersama anak lelakinya di dinding belakang katilnya. Inilah kali pertama mereka semua melihat wajah Datin Sufi. Jika dilihat zahir, pasti orang tidak percaya Datin Sufi sudah berumur 37 tahun.
“Aku tengok dia macam sebaya kau je Aina.” kata salah satu rakan pasukan forensik kepada Aina. Memandangkan Aina ahli pasukan termuda, mereka membandingkan Datin Sufi dengannya, menggambarkan betapa “muda” nya wajah Datin Sufi berbanding umurnya. Senyumnya menawan, bersolek nipis sahaja menggambarkan personalitinya yang ringkas. Seutas gelang di tangannya pun tiada.
Aina menyambung mengambil gambar disekeliling bilik utama tersebut. Pandangan Aina terarah kepada tingkap di bilik itu. Tiada sehelai langsir pun yang menutupi tingkap tersebut. Tingkap yang bertentangan dengan katil di bilik itu membolehkan sesiapapun yang tidur di situ akan tidur dan bangun dengan pemandangan laut. Sebab utama mungkin Datin Sufi ke sini. Untuk mencari ketenangan. Dan siapa tidak tenang kalau dapat tengok pemandangan sebegini 24 jam bukan? Tetapi dengan tingkap yang terdedah begini, tidak bimbangkah Datin Sufi jika dia dihendap?
“Cermin luas macam ni, langsir pun tiada, kalau aku dah risau kalau ada orang intai. Nak salin baju pun segan. Kata Aina sambal mengambil gambar. Di sudut pandangan dari tingkap besar itu ternampak sebuah rumah di bawah berdekatan pantai.
“Ko tak rasa ke, orang dekat rumah tu boleh nampak aktiviti Datin Sufi dekat rumah ni?” tanya Aina lagi.
“Ntah la. Tapi kalau pakai teropong sure nampak. Bukan jauh sangat, nampak je macam jauh sebab kawasan ni lapang” jelas kawan Aina.
Share this novel