BAB 5

Thriller Completed 268

Matanya merenung pintu bilik yang terkunci rapat itu. Mata mengitari sekitar pintu tersebut. Benang berwarna kuning meliliti tombol pintu. Pintu bilik dikunci rapi dari luar. Mangga besar kelihatan tergantung di situ. Beberapa tulisan mirip aksara Siam tertera melatari permukaan pintu bilik. Dan di tengah-tengah pintu bilik kelihatan nombor 666.

Pandangan mata Kathy tersorot pula ke arah ruangan kecil yang menjarakkan antara pintu dan lantai. Perlahan-lahan dia merapati. Kathy merebahkan pipi di atas lantai. Matanya mengintai dalaman bilik itu menerusi ruang kecil tersebut. Tiada apa yang mampu dilihatnya dengan ruangan sekecil itu. Pandangannya terhad dan terbatas.

Sejenak pipinya terasa melekit. Bau hanyir melekat di rongga pernafasan. Dia mengangkat wajah. Pipinya dikesat. Telapak tangannya dilihat sekilas. Mata Kathy terbuntang melihat tapak tangannya berlumuran darah merah pekat. Pandangannya terhunjam ke arah lantai. Dari ruangan kecil itu, darah merah melimpah keluar. Membuak-buak hingga membentuk takungan di atas lantai.

Kathy terperanjat. Dia terbangun serta merta. Pipinya yang berlumuran darah dikesat-kesat. Sebaik melihat telapak tangannya, Kathy kaget. Tapak tangannya bersih dari sebarang darah. Matanya beralih ke arah lantai yang berlumuran darah. Liurnya terasa mengental di tekak. Lantai kelihatan bersih sama sekali.

Apa sebenarnya yang sedang berlaku?

Persoalan itu menghentak benak fikiran Kathy. Bulu romanya dirasakan merinding. Lekas-lekas dia mendaki tangga menuju ke tingkat atas.

Dia menggenggam tombol. Belum sempat dibuka, telinganya mendengar suara mendengus dan menderam. Kathy terdiam. Suara itu datangnya dari belakang tubuhnya. Lambat-lambat Kathy menoleh. Kosong. Suara garau itu masih terdengar lagi olehnya. Pandangan mata Kathy mati di pintu bilik Vivian. Suara itu datangnya dari situ.

Kathy berlibang libu. Hatinya mendesak untuk mengetahui tetapi akal melarang. Akhirnya Kathy tunduk pada kemahuan hati. Perlahan-lahan langkah diatur merapati bilik Vivian. Tombol pintu diramas lalu diputar. Tidak berkunci. Kathy menolaknya ke dalam. Bau hapak menyerbu rongga hidung hingga dia terbatuk-batuk. Persekitaran gelap dan kelam. Suis lampu ditekan. Serta merta lampu bernyala.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience