Vivian berusaha untuk meleraikan ikatan sumpah antara aku dan Lucifer. Maka pelbagai pemujaan dan persembahan diserahkan kepada Lucifer dengan menggunakan aku sebagai perantaranya tetapi semuanya gagal. Sehinggalah Lucifer meminta satu nyawa korban sebagai ganti diri ku. Dan dia telah memilih diri kau untuk dipersembahkan kepada Lucifer. Tetapi sayangnya, dirinya yang mati dahulu.”lanjut Christine lagi. Tertawa di hujung bicara.
Berderau darah Kathy mendengarnya. Ketakutan mula merasuk jiwa. Kakinya terundur-undur ke belakang sehingga tubuhnya tersandar di dinding. Tidak menyangka sama sekali wujud manusia yang mengamalkan ritual sesat sedemikian rupa.
“Enam nyawa telah aku persembahkan kepada Lucifer. Hanya satu nyawa lagi yang tinggal. Dan aku memilih kau untuk melengkapinya.”getus Christine.
Serta merta dia meluru ke arah Kathy dengan pisau yang terhunus di tangan. Pisau ditebak. Kathy pantas mengelak. Sekali lagi pisau dihayun ke dadanya. Kathy mengundur ke belakang. Kekalutan itu membuatkan kakinya tersalah memijak. Kathy jatuh terbaring. Dia menyeringai kesakitan.
Christine menggenggam pergelangan kakinya. Kathy menggelepar cuba meloloskan diri. Jari jemarinya mencengkam permukaan lantai. Kayu sebesar lengan berada di sebelah mayat Vivian. Dia berusaha untuk mendapatkannya. Tidak semena-mena tubuhnya terseret ke belakang.
Christine menerpa tubuh Kathy. Pisau ditebak. Pantas Kathy menghadang. Kedua belah tangan Kathy menggenggam erat pergelangan tangan kanan yang menghunus pisau. Christine mengerah kekuatan. Mata pisau ditolak mendekati dada Kathy.
Kathy mengetap rahangnya erat. Dia tidak akan sesekali mengalah dengan mudah. Nyawa nan satu itu akan dipertahankan dengan apa cara sekalipun. Sisa kekuatannya dikerah. Tubuh Christine ditolaknya hingga rebah ke sisi. Bingkas Kathy bangun untuk melarikan diri.
Pergelangan kakinya dipaut. Kathy rebah tertiarap. Dia menyeringai kesakitan. Sebaik mengangkat wajah, kayu sebesar lengan berada atas lantai di hadapannya. Pantas Kathy mencapai. Dia mengalihkan tubuh pantas. Serentak, kayu itu dihayunkan tepat ke wajah Christine. Wanita syaitan itu rebah di atas lantai. Khaty bingkas bangun menuju ke pintu keluar.
Share this novel