Bilik tersebut kelihatan bersepah dan tidak tersusun. Tidak kelihatan sesiapa di situ. Suara garau yang mendengus dan menderam tadi tidak lagi kedengaran. Mungkin apa yang didengari tadi hanyalah cetusan perasaannya semata-mata, fikir Kathy sendirian.
Matanya mengitari segenap inci bilik tersebut. Keningnya bertaut. Bagaimana Vivian boleh duduk dalam bilik yang berbau busuk dan kotor sebegitu rupa?
Dia mengitari bilik tersebut. Pandangan matanya tersorot ke arah kepingan kertas surat khabar di atas meja. Kathy menghampiri. Tatkala itu kakinya terpijak sesuatu yang bergaris-garis. Dia menundukkan kepala melihatnya. Ukiran bintang berbucu enam diukir atas lantai. Dahi Kathy berkerut melihatnya. Puas dia memikirkan tujuan apa bintang itu tetapi tiada jawapan yang muncul di fikiran.
Kathy mendapatkan meja yang bertimbun keratan surat khabar dia atasnya. Salah satu keratan surat khabar itu dicapai dan dibacanya sekilas. Isi kandungan memaparkan tentang penemuan mayat seorang lelaki yang terobek dadanya dan kehilangan jantung. Kepingan surat khabar lain dibeleknya. Isi berita yang hampir serupa tetapi kali ini mangsanya seorang wanita.
Kenapa Vivian begitu berminat dengan berita-berita tersebut?
Hati Kathy mula mendendangkan satu rasa yang tidak enak. Dia mengitari sekitar bilik tersebut. Sejenak pandangan matanya tersorot ke arah katil. Perlahan-lahan dia menunduk. Cadar yang menutupi katil diselaknya. Matanya terbuntang sebaik melihat di bawah katil Vivian.
Tengkorak kambing, batang liling berwarna hitam dan putih, semangkuk cecair merah pekat yang berbau hanyir, benang kuning dan pelbagai lagi barangan aneh berada di bawah katil itu. Tatkala itu telinganya bunyi deruman kereta. Kathy menolak tubuh dan bangun serta merta. Dia pasti Vivian telah pulang.
Tergesa-gesa Kathy melangkah keluar. Lampu dipadam dan pintu bilik ditutup rapat. Dia berlari masuk ke dalam biliknya sendiri. Kathy tersandar di pintu biliknya. Jantungnya berdetak kencang. Nafasnya menderu. Cerita Shahrul terngiang-ngiang di telinga. Apa yang dilihatnya di bilik Vivian membuatkan Kathy tidak betah.
Share this novel