Tukul dihentak. Penyendal yang diskru ke pintu terkopak serta merta. Tombol pintu diramas lalu diputar. Pintu terkuak. Satu hembusan angin dingin menerpa tubuhnya. Bau hapak menyeruak. Persekitaran bilik itu agak kelam.
Pandangan Kathy terhunjam ke arah satu susuk tubuh yang duduk di atas kerusi. Pantas dia menghampiri. Seorang perempuan dengan kedua belah pergelangan tangan dan kakinya terikat. Mulutnya turut diikat dengan sehelai kain. Di dahi wanita itu terconteng aksara-aksara aneh.
Pantas Kathy menanggalkan kain yang mengikat mulut wanita itu. Wajahnya pucat pasi. Tubuhnya lemah longlai.
“Jangan risau. Saya akan selamatkan awak dari perempuan setan tu.”gumam Kathy.
Kathy menanggalkan kesemua ikatan yang membelenggu tubuh wanita itu. Lantas dia memapah wanita itu keluar dari bilik. Sebaik tiba di ruang tamu, Kathy tergamam sejenak. Tubuh Vivian tidak kelihatan di situ.
“Kita kena keluar dari sini cepat!”getus Kathy.
Beberapa langkah bertapak, satu hentaman hinggap di kepala Kathy. Tubuhnya terdorong ke hadapan. Baru sahaja dia mengalihkan tubuh, satu tumbukan singgah pula di mukanya. Kathy rebah di lantai. Vivian menerpa. Tumbukan dilayangkan bertali arus ke wajah Khaty. Satu pun gagal disanggahnya. Bibirnya pecah mengalirkan darah.
Tiada pilihan lain yang dapat diambil. Pisau yang terselit di pinggang dicapainya. Tumbukan terakhir Vivian berjaya disanggahnya. Pisau berukuran 9 inci itu ditebak tepat ke dada kanan Vivian. Mulut Vivian terlopong. Matanya terbuntang luas. Wanita itu rebah ke lantai. Menggelupur menahan sakitnya saat maut menjemput. Beberapa saat kemudian Vivian terkedang kaku. Tidak lagi bernyawa.
Khaty menolak tubuh. Berdiri perlahan-lahan. Darah berjabeh di mulut disekanya. Nafasnya termengah-mengah.
“Mari kita keluar dari sini. Kita buat laporan polis atas apa yang dah berlaku.”ujar Kathy.
Share this novel