Kathy terjaga dari tidur. Nafas didengus. Jam di dinding dilihatnya sekilas. Hampir menunjukkan pukul 3.00 minit pagi.*__*
Dum! Dum! Dum!
Bunyi ketukan itu kedengaran lagi. Kathy menolak tubuh dan duduk di birai katil. Lenanya serta merta hilang. Sejak hari pertama dia menyewa di situ hampir dua minggu yang lalu, bunyi itu kerap kali menganggu lenanya. Hampir setiap malam ketukan itu kedengaran. Bukan dari pintu biliknya sebaliknya datangnya dari bilik yang terletak di tingkat bawah. Dia sendiri tidak tahu, apa atau siapa yang berada di dalam bilik tersebut. Sejak dari awal dia duduk di situ, tuan rumah telah melarang dirinya dari membuka atau mendekati bilik tersebut. Bahkan menjelang lewat malam juga dia dilarang keluar dari bilik. Jika dia berada di luar rumah pula selepas waktu 12.00 tengah malam, dia dilarang untuk pulang.Walaupun syarat-syarat yang dikenakan dirasakan agak pelik dan aneh tetapi dia tiada pilihan lain. Hanya rumah itu satu-satunya yang berdekatan dengan tempat kerja barunya dan juga mengenakan sewa yang agak murah.
Hari ini kesabarannya terasa diuji. Sudahlah sejak akhir-akhir ini dia mengalami kesukaran untuk tidur. Baru sahaja mahu terlena, bunyi ketukan itu pula menganggu. Kathy membulat tekad. Larangan tuan rumah tidak dipedulikannya.
Tombol pintu bilik diputar. Dia melangkah keluar. Pintu bilik tuan rumah yang terletak bertentangan dengan biliknya kelihatan tertutup rapat. Bunyi ketukan itu masih kedengaran. Kathy menuruni tangga. Satu persatu anak tangga diinjak dengan berhati-hati. Sesekali dia mendongak melihat ke arah pintu bilik Vivian, tuan rumahnya. Kelihatan tertutup rapi.
Sebaik kaki menginjak anak tangga yang terakhir, deria pendengaran Kathy menangkap satu suara seakan-akan sedang meratib. Kedengaran tenggelam timbul dengan butir bicara yang langsung tidak difahami. Dahi Kathy berkerut. Aneh kian menghurung jiwa.
Perlahan-lahan dia menjengukkan kepala dari ruangan tangga. Retinanya lekap memandang ke arah bilik bawah yang terletak agak terbelakang. Jauh dari ruangan dapur tetapi masih mampu dijangkau dengan pandangan mata.
Share this novel