BAB 8

Thriller Completed 268

Kathy menekup hidung. Pintu diketuknya sekali dua. Dia berdiri di hadapan pintu itu menanti sebarang respons. Lama menanti tiada balasan yang diterima. Baru sahaja dia merancang untuk mengetuk sekali lagi, kedengaran satu suara sedang merintih. Kathy terlingas-lingas sekeliling sebelum pandangan mati ke arah pintu bilik di hadapannya itu. Suara rintihan itu datangnya dari dalam bilik tersebut.

“Siapa dalam sana?”soal Kathy separuh berbisik.

Suara itu masih kedengaran merintih. Hati Kathy mula mendendangkan rasa tidak enak. Dia seakan dapat menganggak ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku di dalam rumah itu.

“Tolong jawab? Siapa dalam sana?”soal Kathy lagi.

“To.long..sa..ya..”kedengaran suara seorang perempuan menjawab dengan bersusah payah.

Mangga itu dibelek. Dia merentap-rentap tetapi enggan terbuka. Fikiran Kathy mula berputar ligat untuk mencari jalan bagi melepaskan wanita yang terkurung di dalam bilik tersebut.

“Tunggu. Saya akan selamatkan awak.”

Kathy berlalu ke dapur. Setiap laci kabinet dapur dibukanya. Dia mencari sesuatu untuk memecahkan mangga yang memagari pintu bilik itu. Laci terakhir dikuak. Penukul kelihatan berada di dalamnya. Lekas-lekas Kathy mencapainya. Pantas meluru ke arah bilik itu semula.

Belum sempat dia menghentakkan penukul ke arah mangga tersebut, kedengaran bunyi tapak kaki seseorang sedang menuruni tangga. Kathy menoleh. Biasan cahaya memuntahkan bayang-bayang hitam sedang menuruni tangga.

Ah, sudah!

Kathy terkalih-kalih mencari ruang untuk menyembunyikan diri. Pandangan matanya terpaku ke arah meja makan yang dilapiki kain. Hanya di bawah meja itu satu-satunya ruang untuk dia bersembunyi. Kathy meluru pantas dan menyelitkan tubuhnya di bawah meja. Dia membongkokkan tubuh dan berdiam diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience