BAB 1

Romance Completed 7586

Aku menangis lagi. Sebuah tangisan yang terkurung dalam kekeliruan. Tidak mampu bersuara. Tidak mampu berkata-kata. Airmata ini jatuh dengan sendunya. Ku lihat gambar yang berbingkai indah di tepi katil.

Lakaran awan larik pada bingkai kayu itu mengindahkan lagi gambar sepasang merpati dua sejoli. Dalam busana pengantin biru laut yang lembut, pasangan itu sungguh ceria sekali.

Tarikh keramat bulan Mac tanggal 14 tahun 2004 tidak akan lekang dari ingatan. Tarikh aku dinobatkan sebagai seorang isteri kepada lelaki yang aku cintai.

Tarikh yang sentiasa kami berdua raikan. Tarikh yang sentiasa mengingatkan aku tentang tanggungjawab seorang isteri dan kekasih, juga sebagai hamba Allah.

Aku tidak mampu melelapkan mata. Sudah puas kupejam dalam-dalam. Sudah habis ayat-ayat lazim ku baca agar lari semua syaitan yang mengganggu akal ku.

Sudah puas wirid ku lafazkan agar Allah campakkan segunung kesabaran. Mata ini tetap tidak mahu lena. Malam ini, buat yang entah keberapa kali aku sujud dengan khusyuk sekali memohon doa dan petunjuk daripada Maha Pemilik hati-hati di langit dan di bumi.

Agar Dia mendengar bahawa aku mahu menjadi hambaNya yang solehah tetapi aku juga ingin meluahkan bahawa aku ini wanita dan manusia biasa. Punya hati, perasaan dan jiwa. Sesungguhnya aku tidak sanggup berkongsi cinta.

Kurasakan satu keajaiban tatkala kutemui ketenangan dan kesabaran biarpun tidak terzahir jawapan. Benarlah firman Nya. Barangsiapa yang bertaqwa kepada Nya nescaya akan dibukakan jalan penyelesaian. Agungnya diri Mu ya Allah…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience