BAB 8 : KECEWA

Horror & Thriller Completed 28761

"Nah surat" Zainal menghulurkan sekeping sampul surat kepada rakan serumahnya, Zahid yang duduk di sofa sambil memeluk kaki.

Hulurannya hanya disambut dengan pandangan tajam Zahid. Zainal melepaskan keluhan, kemudian meletakkan sampul surat itu di atas meja.

"Zahid..Zahid.. entah apa nak jadi dengan kau ni. Sejak akhir-akhir ni kau asyik senyap aje. Makan taknak, mandi taknak. Dah bau macam sampah busuk pun ada"

Senyap.

"Weh Zahid, ku dengar tak aku cakap ni!" Zainal mula meninggikan suara apabila merasakan dia seolah-olah bercakap dengan dinding.

Namun, Zahid hanya memandangnya tanpa bersuara. Renungannya sayu.

Satu keluhan dilepaskan Zainal lagi.

Dia yang berdiri, mula melangkah dan mengambil tempat duduk di sebelah Zahid. Tangannya diangkat lalu menepuk-nepuk belakang Zahid.

"Dah lah Zahid. Aku tahu kau tengah frust menonggeng lepas Minah tu tinggalkan kau. Tapi kau tak boleh lah seksa diri kau macam ni terus. Kau kena mulakan hidup baru. Kau tunjukkan kat Minah tu yang kau boleh terus hidup tanpa dia. Biar di menyesal sebab tinggalkan kau" nasihat Zainal. Dalam pada masa yang sama turut cuba memancing reaksi Zahid dengan menyebut nama Minah.

Ya, Minah yang mereka berdua kenali sewaktu baru berpindah ke bandar ini. Gadis yang berkulit kuning langsat, pipinya kemerah-merahan seperti memakai blusher, matanya bundar, keningnya cantik terbentuk serta bibirnya mungil bewarna pink tanpa secalit lipstik. Badannya ramping, rambutnya harum melepasi pinggang. Dia seorang gadis yang sentiasa menjadi idaman para jejaka. Tidak terkecuali dia dan juga Zahid.

Namun, tuah kepada Zahid apabila cubaan Zahid memikat Minah mendapat respon. Bukan dia tidak pernah mencuba, tapi taste Minah tidak kepada lelaki sado dan berkulit cerah sepertinya. Dia lebih sukakan Zahid yang kurus dan berkulit hitam manis.

"Kami dah rancang nak nikah minggu depan" Zahid bersuara tiba-tiba. Perlahan tapi masih didengarinya. Ya, nampaknya pancingnya mengena.

Kemudian tangisan jantan Zahid pecah. Terhenjut-henjut bahunya diiringi esakan.

“Kenapa dia buat aku macam ni Zainal? Lepas apa yang telah aku korbankan?” Esakan Zahid semakin menjadi-jadi. Zainal memandangnya dengan simpati.

Walaupun sudah hampir seminggu berlalu, masih segar diingatannya ketika perkara itu berlaku. Ketika itu, sudah dua bulan Zahid menjadi tunangan Minah. Disebabkan Zahid jenis yang berduit, maka pernikahan sepatutnya akan berlangsung minggu depan, iaitu selepas tiga bulan bertunang. Ya, sebagai seorang Programmer, poket Zahid sentiasa penuh dengan duit. Tidak seperti dia, hasil pendapatan sebagai penulis novel tidak seberapa. Sikap Zahid yang tidak pernah kedekut dan berkira, membuatkan dia menjadi satu-satunya teman baik yang sentiasa bersama Zahid. Teman terbaik. Zainal terlalu banyak terhutang budi dengan Zahid, sehinggakan dia sanggup buat apa saja untuk temannya itu.

Malam itu, Zahid ke rumah Minah ingin membuat kejutan sempena hari jadi Minah. Pada awalnya, semuanya dirancang bersama mak ayah Minah. Dan Minah tak mengesyaki apa-apa ketika mak ayahnya mengatakan bahawa malam itu mereka tidak akan balik ke rumah kerana hendak menghadiri kenduri anak saudara ayah Minah.

Minah menghubungi Zahid, tunangannya untuk mengajak keluar kerana bosan katanya. Namun, Zahid berpura-pura mengatakan malam itu dia agak sibuk kerna perlu siapkan satu program untuk sebuah sekolah. Ya, itu hanyalah gimik semata. Sengaja membiarkan Minah keseorangan, kemudian mereka akan membuat kejutan.

Semuanya berjalan dengan lancar. Zahid menyediakan sejambak bunga ros dan sebiji kek coklat kegemaran Minah. Bersama bakal mentuanya, jiran tetangga, dan Zainal, Zahid mengarahkan semua bergerak dengan senyap supaya tidak diperasan oleh Minah. Melebar senyuman Zahid.

Rumah Minah sunyi. Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Mungkin kerana menyangkakan yang dia keseorangan malam tu, maka dia tidur awal. Maknya Minah mengeluarkan gugusan kunci pendua. Lubang kunci dirodok dan dipusingkan. Ternganga luas pintu utama itu.

Maknya Minah nampak tergamam. Zahid yang berada di belakang, perlahan-lahan masuk sambil menatang kek coklat yang sudah dinyalakan lilinnya.

“Selamat hari jadi.. Selamat hari jadi. Selamat haaa..” kek yang ditatang Zahid terlepas. Gilirannya pula terkaku. Jiran tetangga satu persatu memasuki rumah. Semuanya tergamam.

Di hadapan mereka, Minah sedang berbogel tanpa Seurat benang bersama seorang lelaki asing. Lelaki itu merupakan bos Zahid!

Aib. Mak ayah Minah meraung menangis melihat kelakuan anak gadisnya itu. Zainal yang melihat situasi itu mengetap bibir. Tiada perkara yang lebih menyakitkan hatinya selain melihat teman baiknya dipermain-mainkan.

Zahid masih lagi menangis. Zainal membiarkannya. Dia bangun. Langkah kaki diatur ke dapur. Ingin menghilangkan dahaga.

Dia membuka peti ais. Bibirnya menguntum senyum. Tersenyum melihat kepala milik Minah dan bos Zahid yang dipenggalnya tiga hari lepas. Tubuh mereka dikerat dan dijadikan makanan anjing liar. Dia puas hati. Puas melihatkan manusia yang menyakiti hati temannya itu menderita. Masih terngiang-ngiang suara rayuan mereka.

END

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience