BAB 4 : SAYANGKU

Horror & Thriller Completed 28761

Aku mengiring ke kiri, memandang wajah insan yang kusayang sedang terlena di sebelahku. Rambutnya ku belai. Wajahnya kuusap. Tenang.

Dia merengek sedikit, kemudian matanya terbuka sedikit. Dengan mata kuyu, dia tersenyum.
"Abang tak tidur lagi?" Aku tidak menjawab. Dia menyambung lenanya. Selimut ku tarik hingga ke paras dadanya.

Aku terlentang. Mataku masih terbuntang. Tidak punya tanda-tanda untuk tertutup apatah lagi untuk lena.

"Amir.."
Satu suara wanita tetapi agak garau sayup-sayup menyentuh gegendang telingaku. Namun, aku hanya mendiamkan diri tanpa memberi memberi reaksi. Sudah hampir sebulan aku mengalami perkara yang sama membuatkan tidurku sering terganggu sehingga aku menghidap insomnia.

Di sudut almari, kelihatan seperti bebayang wanita yang berbalam-balam sedang memimpin seorang budak kecil memandang tajam ke arahku. Tapi aku masih dan hanya membatu. Sudah lali.

Terimbau ketika awal-awal aku dihantui lembaga wanita itu. Aku berlari di sekitar rumah. Masa itu isteriku aku tidak ada di rumah. Dia keluar.

Sebaik sahaja dia balik,aku terus mengadu padanya. Namun, dia hanya berkata itu hanyalah satu ilusi disebabkan aku stress duduk rumah.

Berkali-kali aku mengadu kepadanya, tapi dia tetap menidakkannya. Tambahnya lagi, mungkin aku terlalu tertekan kerana dibuang pekerjaan.

Lama kelamaan, aku memilih untuk mendiamkan dan tidak ambil peduli.

***

"Abang, jemput makan" aku mengambil tempat duduk di sebelah isteriku. Dia mengambil pingganku dan menyendukkan nasi berlaukkan ikan sardin. Bau yang seolah-olah basi memenuhi ruang rongga hidungku. Aku pandang makanan itu yang agak kehitam-hitaman.

"Kenapa abang? Tak sedap kah?" Dia menarik muncung, merajuk apabila masakannya masih belum ku sentuh. Aku tergelak.

"Takdelah. Abang makanlah ni" Walaupun tekak ku rasa loya, aku tetap berusaha untuk menghabiskannya. Dia tersenyum.

Suasana yang agak sunyi apabila kami masing-masing fokus menyuapkan nasi ke mulut, membuatkan aku kembali teringat pada seseorang.

"Yang, Mira mana?" Mira adalah anak tunggal perempuanku yang sudah menginjak umur 8 tahun.

"Ish, abang ni. Dah lupa kah? Kan Mira tu sekarang tengah cuti sekolah. Biasanya cuti sekolah ni kan dengan opah dia" jawab isteriku tenang, sambil terus menyuapkan makanan ke dalam mulutnya.

Ya tak ya juga. Aku tak tahu kenapa sejak akhir-akhir ni aku dah semakin pelupa.

***

"Amir"
suara itu datang menyapa lagi. Jika sebelum ni terasa sayup, kali ini terasa begitu dekat di gegendang telingaku. Tersangat hampir. Kemudian, aku terasa sesuatu yang agak sejuk membelai-belai pipiku.

Eh? Aku segera membuka mata.
"Arhhhhh"
aku terjerit. Di sebelah ku terlihat seorang wanita sedang baring mengiring menghadapku sambil tersenyum. Dengan wajah yang agak hancur sehingga daging kulitnya terkopek dan dilumuri darah, senyumannya sudah tentu membuatkan sesiapa sahaja menjadi pucat.

"Amir... Hihihi"
"Arghh.. Jangan.. Jangan ganggu aku. Tolong..."
"Bang.. Bang.." Suara isteriku menerjah ruang pendengaranku, kemudian terasa bahuku digoncang laju.

Aku membuka mata. Aku fikir dia isteriku, namun kini yang ada di hadapanku adalah wajah wanita yang sama mengganggu aku tadi. Aku kaku. Terasa jantung berhenti mengepam darah. Aku dapat rasa seolah-olah darahku sudah mengering. Pucat.

"Kau ssii...siiaapa???"
"Amir... Kau adalah milikku... hihihi" Tangannya merayap ke leherku. Aku ingin meronta-ronta meminta tolong, namun suaraku tersekat.

Dunia ku semakin lama semakin gelap. Suara hilaian tawa perlahan-lahan semakin menjauh dan akhirnya sepi..

****

Doktor Razif hanya memandang pesakit yang diletakkan dalam kamar khas itu di sebalik cermin kaca.

Sudah hampir 5 tahun dia melihat drama yang sama. Asyik berulang, sehingga dia sudah hafal jalan cerita pesakit tersebut. Dia dan panelnya sudah berusaha mencari jalan, tapi tidak bertemu penyelesaian.

Dia ditahan akibat membunuh isteri dan anak perempuannya. Dia dikatakan tertekan akibat dibuang kerja. Hidupnya dikelilingi hutang. Akhirnya, nyawa isteri dan anaknya menjadi galang ganti apabila disembelih menggunakan pisau pemotong daging.

Pihak mahkamah tidak dapat menjatuhkan hukuman kepadanya apabila dia disahkan menghidap skizofrenia*.

Satu tag berwarna hitam, dengan tulisan yang berwarna putih di lekatkan di hadapan pintu bilik tersebut.

Mohamad Amirullah bin Abdullah.

*skizofrenia : penyakit mental yang teruk dengan ciri-ciri kecacatan berterusan pada penerimaan seseorang (perception) pada gambaran alam sebenar (realiti). Seseorang yang mengalami skizofrenia tanpa dirawat biasanya menunjukkan pemikiran yang tidak teratur, dan mungkin mengalami delusi atau halusinasi pendengaran. Walaupun penyakit ini biasanya memberi kesan kepada kognitif, ia juga menyumbang kepada masalah teruk dengan perangai manusia atau emosi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience