BAB 2 : PERMAINAN KE DUNIA LAIN

Horror & Thriller Completed 28761

Sekolah

"Kau teringin tak, main satu permainan yang boleh bawa kita ke dunia makhluk lain?" Zul bersuara tiba-tiba. Aku yang ingin menyuapkan nasi ke mulut, terhenti dan aku sekadar menganggukkan kepala.

Zul, sahabatku tahu aku merupakan seorang peminat cerita bergenre horror, thriller, mystery dan yang seangkatan dengannya. Kalau ada peluang untuk mengalami dan melihatnya sendiri, apa salahnya aku mencuba.

"Ni member aku share dengan aku semalam. Kakak dia ahli kelab paranormal. Salah seorang ahli mereka dah pernah cuba. Memang menjadi. Permainan ni memakan masa 24 jam. Kena berhati-hatilah sebab silap sikit kau akan terperangkap selamanya di dunia mereka" Aku mendengar dengan teliti.

"Apartment tempat kau tinggal ada 10 tingkat, kan?" Aku mengangguk lagi.

Dia menyelak helaian buku catatan yang sering dibawanya. Beberapa saat kemudian, dia berhenti dan menyambung penerangannya.
"Okey, ni hah peraturan dan cara-cara nak main permainan ni. Pertama, mesti mula dari ground floor. Kedua, kau tekan butang untuk ke tingkat rumah kau. Ketiga, bila kau dah masuk dalam lif, kau ambil secubit garam dan teguk air, kau kemam dalam mulut. Tapi kau kena buat dengan pantas tau. Kena buat sebelum lif tu bergerak. Keempat, kau perhati angka kat penunjuk aras tu, kalau lif terus naik ke tingkat atas yang beza 3 tingkat dengan aras rumah kau, maksud aku, rumah kau di tingkat 5 kan, tapi lif tak berhenti di tingkat 5, tapi terus naik ke tingkat 8, tu tandanya cara kau dah betul. Kelima, bila sampai je kat tingkat 8 tu, pintu lif akan terbuka macam ada orang nak masuk. Kau duduk diam-diam dalam tu. Jangan gatal nak keluar. Bila pintu lif dah tertutup dan lif automatic bergerak semula ke tingkat 5. Masa tu kau akan rasa ada seseorang bersama kau dalam tu. Kau relax je. Buat macam biasa" Aku menghabiskan suapan terakhir sebelum loceng berbunyi menandakan waktu rehat dah berakhir.

"Owh ya, sebelum aku terlupa. Member aku pesan, air yang kau kemam tu kau buang bila kau dah keluar dalam lif. Kalau tak, nanti kau terperangkap dalam lif tu. Bila permainan dah mula, walau apa pun terjadi kau jangan gatal nak pandang direct mata dorang. Dan jangan buat mereka tahu yang kau tu manusia. Kau ikut je apa yang dorang buat. Kalau tak, risau nanti dorang 'kurung' kau kat dunia mereka".

***

Rumah

"Mat, kau tolong mak beli garam. Cepat sikit. Garam tak cukup ni" jeritan mak dari dapur mengganggu fokusku untuk menonton cerita seram. Aku menggeliat bangun. Malas.

"Nak duit" mak aku hanya menghulurkan not RM10.

Selesai membeli, sedang aku menanti pintu lif tiba di ground floor, tiba-tiba aku teringat cerita Zul tentang permainan untuk ke dunia lain. Apa salahnya aku cuba. Sehari je kot. Aku berpatah balik ke kedai runcit dan membeli sebotol air mineral.

Butang anak panah ke atas aku tekan. Beberapa saat kemudian pintu lif terbuka. Aku cepat-cepat masuk ke dalam. Aku menekan butang nombor lima. Dengan pantas, garam kucubit dan masukkan ke dalam mulut. Air botol aku teguk, dan aku kemam. Semuanya aku siap lakukan sebelum lif bergerak naik. Dengan debaran, aku berdiri menyandar pada dinding sambil memerhatikan angka yang bertukar di skrin.

1..
2..
3..
4..
5..
Lif tidak berhenti. Tetapi terus ke tingkat 6. Kemudian ke tingkat 7. Dan akhirnya ke tingkat 8.

Ting..
Pintu lif terbuka. Tiada siapa yang berdiri di hadapan pintu lif. Aku menjengukkan kepala ku ke luar, memandang kiri dan kanan. Sunyi. Aku menarik kepala ku ke dalam semula. Tidak lama kemudian, pintu lif tertutup. Terasa lif mula turun. Entah kenapa, aku tiba-tiba rasa seram sejuk. Lenganku gosok-gosok.

"Haaaaaaa"
terasa hembusan nafas seseorang di telinga kiriku. Bulu romaku merinding. Aku segera menoleh. Tepat seinci dari wajahku, wajah seorang wanita yang kulitnya pucat, matanya berwarna putih tanpa anak mata hitam dan tepi bibirnya ada cecair berwarna merah, memandangku tepat. Aku terjelepok. Wanita itu mendekat, aku ingin menjerit, tetapi..

"air yang kau kemam tu kau buang bila kau dah keluar dalam lif. Kalau tak, nanti kau terperangkap dalam lif tu"

"mmmm" aku menjerit dengan keadaan mulutku terkatup. Terdapat sedikit air keluar dari mulutku.

Ting..
Pintu lif terbuka. Angka di skrin menunjukkan nombor 5. Tanpa berlengah aku melompat keluar. Air garam dalam mulut, ku ludah. Aku pandang sekeliling koridor. Keadaannya masih sama seperti biasa.

Dengan degupan jantung yang masih laju, aku berharap agar permainan ini terhenti. Aku tidak sanggup lagi. Juga sudah tidak ada kemahuan untuk menanti perkara seterusnya.

"Mak, Mat dah balik" aku bersuara lantang sebaik sahaja tiba di muka pintu.

"Kau letak je garam tu atas meja makan"
Mendengar suara mak dari arah dapur melegakan aku. Aku bersyukur aku masih di dunia aku sendiri. Usai meletakkan garam, aku terus masuk ke dalam bilik menyambung semula aktivitiku yang tergendala sebentar tadi.

Sedang aku leka menonton movie di laptopku, seperti biasa, mak masuk dan meletakkan mi goreng kegemaranku di atas meja studyku.

"Terima kasih mak" ujarku tanpa memandang wajah mak.

"Hmm.. Sama-sama. Kau asyik tengok cerita hantu, nanti kau tinggal dengan hantu baru tau" aku hanya tergelak. Sudah terbiasa mendengar gurauan mak sebegitu rupa. Handphone ku bergetar tanda ada panggilan masuk. Pelik. Sejak bila pula aku silentkan handphone ni? Tanpa memandang skrin, aku terus menjawab, "hello?"

"Ish, budak ni. Dah banyak kali mak call tapi tak jawab-jawab. Mat pergi mana hah?"

"Laa.. Mat ada je kat bilik Mat ni,"

"Kat bilik apa nya? Dari tadi mak tunggu kau, bayang kau pun mak tak nampak pun masuk rumah. Cepat balik, mak nak masak ni. Garam dah habis"

"Mak jangan nak berguraulah. Kan Mat dah letak kat meja makan tadi macam yang mak suruh. Bukan kah tadi mak siap hantar mi goreng lagi buat Mat" aku ketawa perlahan, sambil memandang ke arah mi goreng yang terletak di atas meja studyku. Serta merta senyuman ku mati. Darahku menyirap. Tekakku kembang.

"Dah.. dah.. jangan nak mengarut lagi. Jangan nak melencong kat tempat lain. Cepat balik. Kalau tak, malam ni korang makan maggi je"

"Mak..."
tut..tut..tut..
Panggilan dimatikan.

Handphone terlepas dari genggamanku. Mataku masih memandang ke arah 'mi goreng' yang nampak bergerak meliuk-liuk. Kedengaran pintu bilikku ditolak dari luar. Peluh menitik lebat di dahi. Badanku terasa menggigil.

"Mat, dah makan mi goreng yang mak masak?" Aku menoleh ke arah suara yang mirip suara mak aku, tetapi jasadnya ternyata berbeza. Tubuhnya terlalu tinggi sehinggakan dia membongkok apabila cuba masuk melalui pintu bilikku. Mukanya rata seperti memakai topeng, yang terlihat hanya dua biji mata berwarna putih. Aku sendiri boleh agak yang dia bukanlah manusia. Perlahan-lahan, dia mendekat wajahnya ke wajahku.

"Bila permainan dah mula, walau apa pun terjadi kau jangan gatal nak pandang direct mata dorang. Dan jangan buat mereka tahu yang kau tu manusia. Kau ikut je apa yang dorang buat. Kalau tak, risau nanti dorang 'kurung' kau kat dunia mereka".

Aku menggangguk sambil menjulingkan mataku. Aku risau kalau aku pejam mata kerana takut untuk bertentang mata dengannya, 'dia' akan tahu aku seorang manusia.

"Berhentilah tengok movie tu. Sekarang waktu untuk minum petang. Jangan tak keluar pula. Ayah dah tunggu tu"

Sumpah. Aku rasa nak tidur je sampai permainan ni tamat. Dan...

Aku rindu mak aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience