BAB 1 : MIMPI

Horror & Thriller Completed 28761

"Zam"
kedengaran suara berbisik begitu hampir di gegendang telinganya. Sayu dan sayup, sehingga membuatkan bulu romanya terpacak. Dia membuka matanya perlahan.

"Zam..."
sekali lagi suara itu menyapanya.

"Ssiiiaa... Siapa tu?" suaranya tersekat-sekat. Tekak yang perit terasa seperti menelan pasir tatkal dia menelan liur.

Dia cuba bangun namun perbuatannya terhenti apabila terasa tangan seseorang memegang tangannya di kiri dan kanan, kemudian dengan pantas memeluknya. Dia terkaku, terasa rohnya hendak melayang apabila akalnya tidak mampu berfikir tentang kelogikan yang memeluknya dari belakang adalah manusia, walhal dirinya sedang baring terlentang di katil bujangnya.

Tidak lama kemudian, hidungnya menangkap bau yang busuk. Terlalu busuk sehingga membuatkan tekaknya kembang.

Terdapat lagi tangan yang lain bergerak meraba-raba perutnya, dan perlahan-lahan bergerak ke lehernya. Dia terikat, tidak mampu melawan dan bergerak. Terlihat dia terkujat. Dadanya berombak.

Di satu sudut, kelihatan satu susuk wanita sedang menyeringai melihat dirinya menggelupur.

"AAAAAA!!!!!"

Dia pantas membuka mata. Peluh membasahi tubuhnya. Dadanya berombak. Tangannya meraba lehernya. Dia menarik nafas lega kerana tiada siapa pun yang mencekiknya. Dadanya masih berdegup kencang namun dia bersyukur kerana dia masih bernyawa. Dia lantas bangkit dan duduk di birai katil.

"Nasib hanya mimpi"
dia tertunduk dan menggeleng-gelengkan kepalanya. Bibir disengetkan.

"Zam.. Sampai hati awak buat saya begini!"
dia mengangkat kepalanya, mencari arah suara tersebut.

"Zam..... Saya tidak akan lepaskan awak. TIDAK AKAN!!" Zam menekup kedua-dua belah telinganya apabila jeritan yang nyaring itu memenuhi ruang kamarnya sehingga membingitkan telinganya.

"Kau siapa ha???" Zam kali ini cuba bertindak berani, walau terasa buahnya mengecut.

"Kalau berani, tunjukkan diri kau!!" Zam kelihatan seperti orang gila memekik terlolong keseorangan di biliknya.

"Kau dah lupa aku?" terasa sesuatu bergerak di siling membuatkan Zam mendongak ke atas.

"Mati kau!" kepala tanpa tubuh itu terjatuh dari siling tepat ke arah wajahnya.

"Uwarrrggggg!!!!!!!"

Zam terjaga, sekali lagi. Dia terpinga-pinga, matanya terkebil-kebil. Akalnya sudah tidak dapat memastikan sama ada dia masih di alam mimpi atau sudah berada di realiti. Fikirannya benar-benar kosong.

Lama dia terbaring sambil memandang siling. Mimpi ngeri itu mengganggu fikirannya.

Suasana di biliknya yang terasa membahang membuatkan tekaknya kering dan dahaga. Dia bangkit perlahan dan dengan langkah longlai dia menuju ke dapur.

Peti ais dibuka. Air putih yang diletakkan dalam jag kaca, diambil dan dituangkan ke dalam gelas. Terasa nyaman apabila air sejuk lalu membasahi tekaknya.

Badan disandarkan ke dinding, gelas masih digenggamnya. Dia buntu, pada masa yang sama keliru dengan mimpinya. Lama. Gelas kemudiannya diletakkan ke sinki. Langkah disusun berjalan ke ruang tamu.

"Zam"
suara yang kedengaran begitu hampir di gegendang telinganya membuatkan Zam segera berpaling ke kanan.

"Awak ingat awak boleh terlepas?" bibir wanita yang muncul di dalam mimpinya sedang tersenyum kepadanya. Senyuman yang menyeramkan. Zam kaku. Akalnya pasti kali ini bukan mimpi apabila ketika jarinya mencubit lengannya, dia terasa sakit.

Tiba-tiba, Zam terasa seseorang memeluknya dari belakang. Terlalu erat sehingga pergerakannya terbatas. Zam meronta-ronta dan cuba menjerit meminta tolong namun suaranya tersekat. Dirinya makin tidak keruan apabila terasa banyak tangan berebut-rebut memegang dan meraba-rasa tengkuknya. Dia terkapai-kapai mencari nafas apabila tangan itu mencekik lehernya.

"Nyawa harus dibayar dengan nyawa"
Wanita itu berbisik ke telinganya, kemudian mengilai melihat dirinya menggelupur.

Melihatkan Zam yang hanya tinggal nyawa-nyawa ikan, wanita itu tersenyum puas.

"Arggghhhhhh" jeritan akhir itu mengakhiri hidupnya setelah melalui sakaratul maut yang amat menyakitkan.

***

AKHBAR

LELAKI DITEMUI MATI
Seorang lelaki dtemui mati di kediamannya. Terdapat beberapa kesan tikaman di dada, muka dan leher. Namun, pihak polis menolak kemungkinan mangsa dibunuh apabila pisau yang digunakan ditemui disebelah mangsa. Siasatan mendapati hanya cap jari mangsa sahaja yang terdapat pada pisau tersebut.

Pemeriksaan pihak polis membawa kepada penemuan beberapa rangka manusia yang dipercayai milik beberapa orang wanita yang dilaporkan hilang sejak tiga tahun lepas, tertanam di lantai biliknya.

Mangsa dipercayai menghidap penyakit mental yang teruk. Saksi jiran berdekatan mengatakan, mereka jarang terserempak dengan mangsa tetapi sering terdengar mangsa menjerit di waktu malam. Kematiannya diklasifikasikan sebagai membunuh diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience