BAB 6 : AMAH

Horror & Thriller Completed 28761

Ila merupakan seorang ibu tunggal, mempunyai seorang bayi lelaki. Suaminya sudah lama meninggal dunia.

Untuk menyara hidup mereka, dia cuba untuk mencari kerja. Rezekinya, dia diterima bekerja di sebuah rumah agam di hujung kampung.

Petang itu dia bergerak keluar. Lebih kurang dalam pukul 5 petang dia tiba di rumah agam tersebut. Ketibaannya disambut oleh Mak Jah, ketua amah di rumah situ.

Sepanjang perjalanan masuk, dia terasa seram sejuk. Matanya melilau ke sekeliling kerana terasa seperti sedang diperhatikan. Tetapi matanya tidak menangkap satu susuk pun ketika iti melainkan dirinya dan MakJah.

"Tugas awak adalah membersihkan kawasan ruang tamu utama dan ruang tamu kedua. Pastikan kawasan situ sentiasa kemas dan bersih. Awak faham?" Terang MakJah tanpa secalit pun senyuman. Ila mengangguk laju seperti belatuk.

"Bilik awak di pintu nombor dua, sebelah kiri. Ada apa-apa persoalan?"

"Errr.. Kenapa rumah ni terasa sunyi sangat? Siapa je yang ada kat rumah ni?" Ila bertanya sambil mendukung bayinya.

"Sini cuma ada awak, saya, dua orang tukang masak, seorang pekebun dan seorang jaga yang awak nampak kat pagar utama tadi. Masing-masing sibuk dengan tugas mereka. Petang macam ni biasanya mereka dah masuk bilik masing-masing. Tuan rumah jarang balik. Banyak urusan kerja di luar negara. Kalau awak lapar, makanan ada di dapur. Selepas pukul satu pagi, tiada siapa dibenarkan keluar dari bilik." Ujarnya masih dengan wajah yang serius.

Ila hanya mengangguk. Mereka selesai meronda dan sesi penerangan ketika hari sudah gelap. Dia segera mengangkut barangnya masuk ke dalam bilik. Dia mula mengemas. Tiba-tiba, telinganya menangkap satu suara halus yang kedengaran agak sayup.

"Ila... Ila..."
Dia meneliti arah suara itu. Suara itu dari luar tingkap biliknya. Dia menoleh, satu benda yang berwarna putih, laju melintas tingkap biliknya. Dia tersentak. Dengan langkah takut-takut, perlahan-lahan dia bergerak ke arah tingkap.

Dummm..
Satu susuk yang hangus tubuhnya, berdiri betul-betul di hadapannya. Mereka hanya terpisah oleh tingkap kaca.

"Aaaaa" akibat terkejut, dia menjerit. Jantungnya berdegup laju. Dia segera mengambil bayinya yang tidur, dan berlari ke arah pintu. Apabila dia membuka pintu, tiba-tiba...

"Awak kenapa?" Langkahnya terhenti dan dia terjelopok sambil memeluk bayinya erat. Dia sedikit lega apabila melihatkan MakJah berdiri tegak di depan pintu biliknya.

"Iii..iitu ada sesuatu di luar tingkap bilik saya" suaranya tergagap. Airmatanya mengalir kerana terlalu takut. MakJah memandangnya sekilas, sebelum melangkah masuk ke dalam bilik Ila. Tingkap dibuka, kepala dijengukkan ke luar lalu diperhatikan sekeliling.

"Awak berkhayal agaknya. Takde siapa pun kat luar. " Makjah mendengus. Ila tidak berkata apa-apa, airmata di pipi disekanya.

"Dah. Jangan asyik nak berkhayal. Cepat kemas barang awak dan tidur. Esok pagi awak kena bangun awal. Tak boleh lambat!" Wajah MakJah serius, serta suaranya yang tegas menyentapkan Ila. Dia bangkit perlahan. Dengan langkah longlai dia meletakkan bayinya di atas tilam, menarik langsir, kemudian menyambung semula kerjanya yang tertangguh. Sempat juga telinganya menangkap suara MakJah sedang berbual dengan seseorang.

Sudah masuk hari ketiga dia bekerja di situ. Tuan rumah masih belum balik. Ila juga masih belum sempat berkenalan dengan rakan sekerjanya. Walau duduk di bawah bumbung yang sama, mereka jarang terserempak, apatah lagi hendak berbual.

Dia meluruskan kakinya yang terasa lenguh selepas seharian bekerja. Dia pelik, kawasan rumah ini cepat benar berhabuk. Walhal tak sampai sejam pun lepas bersihkan. Tapi penuh semula dengan langas. Dan dia perasan, sekitar kawasan rumah ini berbau hangit. Puas dia mencari punca bau itu, tapi tidak ketemu. Walaupun kerapkali disembur dengan pewangi, bau itu tetap ada.

Jam kecil yang terletak di meja tepi katil menunjukkan pukul 1.00 pagi. Bayinya sudah terlena di buaian. Dia merebahkan badannya ke tilam. Matanya memberat. Perlahan-lahan matanya terkatup.

Krekk.. Krekk..
Bunyi cakaran jelas kedengaran. Matanya terbuntang akibat terkejut. Risau perompak curi masuk. Dia cuba mengamati bunyi itu.

Sunyi..

Dia menarik nafas dalam-dalam. Matanya dipejam.

Syiuuh.. syiuuhh..
Dia membuka mata lagi. Keningnya berkerut-kerut sambil matanya meliar mencari arah bunyi tersebut.

"Angin agaknya" dia buat kesimpulan sendiri apabila melihatkan tingkapnya sedikit terbuka. Dia bingkas bangun hendak menutup tingkap dan menarik langsir.

Saat jarinya hendak mencapai cermin pada tingkap, dia sentak apabila ada sesuatu melanggar tingkapnya. Dia mengecilkan matanya, kemudian membesar apabila susuk tubuh yang hangus melekap di sebalik tingkap.

"Ilaaaa...."
Dia terjelopok. Lalu berundur dalam keadaan terduduk. Bibirnya bergerak-gerak, namun tiada suara yang terkeluar. Di sudut dinding, satu susuk tubuh yang separuh terbakar, merangkak memanjat dinding. Mata Ila mengikuti pergerakan tubuh itu, dan berhenti di siling. Kemudian tubuh itu melompat dan berdiri di hadapannya.

"AAAAAAAAA... TOLONG!!!!" hanya itu yang terkeluar dari tekaknya.
Dia mengambil bayinya dan berlari keluar. Matanya melilau, risau benda itu mengekorinya. Namun matanya hanya menangkap ruang rumah yang hangus terbakar. Bau-bau hangit menusuk hidungnya.

Langkahnya terhenti melihatkan MakJah yang berdiri di pintu utama, membelakangkannya. Dengan nafas yang termengah-mengah, dia menyentuh bahu MakJah.

"Makjah, tolong saya Makjah. Tadii... Taa.. Tadii kat bilik saa..." bicaranya mati saat MakJah berpaling ke arahnya. MakJah yang di hadapannya bukanlah MakJah yang ditemuinya masa awal dulu. MakJah yang ini, separuh daging di wajahnya hangus terbakar. Manakala sebelah lagi, daging kulitnya melecur dan menggeleber.

Ila seperti diserang histeria. Dia terus-terusan berlari sambil menjerit. Tekadnya cuma satu, mahu segera keluar dari rumah ini.

Dia semakin seriau apabila menyedari dia dikelilingi makhluk yang hangus tubuhnya, berlari mengejarnya. Ada juga yang sedang memanjat tiang rumah. Pak jaga yang berada di pondok jaga juga sudah tidak berupa manusia lagi, melainkan kakinya hanya tinggal rangka, dengan isi perut yang terburai.

Dia berlari dan terus berlari dengan hanya berkaki ayam. Sakit yang menusuk sudah tidak dipedulikan lagi.

Dia berhenti apabila langkahnya tiba di jalan raya. Matanya mengecil menangkap silau lampu kenderaan. Makhluk tadi masih mengejar dan makin mendekat.

Tangan segera diangkat 90 darjah dan dihayun laju. Namun tiada tanda teksi itu akan berhenti memandangkan kenderaan itu dipandu semakin laju.

*****

"Sebagai orang lama, aku cuma nak ingatkan, kalau kau nak bawa teksi lepas pukul 1 pagi kau jangan sesekali lalu jalan kat hujung kampung tu"

"Jalan yang mana satu?"

"Kat jalan yang pernah ada kes rumah banglo terbakar 10 tahun lepas. Dengar kata, roh pekerja-pekerja rumah itu merayau kat situ."

Kamil hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sambil bibirnya menguntum senyum apabila teringatkan perbualannya siang tadi bersama Pak Jamil. Entah kenapa, di zaman moden begini, masih lagi dimomokkan dengan kisah hantu.

Baru sebentar tadi, dia mendapat panggilan dari penduduk kampung meminta supaya dihantarkan isterinya ke hospital untuk bersalin.

Ditoleh ke arah jam dashboard, pukul 1 pagi. Satu keluhan dilepaskan. Dia menganggap itu rezeki walaupun terpaksa korbankan waktu tidur. Dan dia perlu melalui jalan yang dikatakan berpuaka itu.

Sepanjang jalan agak sunyi. Lampu jalan di kiri dan kanan ada yang tidak menyala, dan ada lampu yang seolah-olah segan nak hidup.

Beberapa meter lagi, dia akan melalui jalan puaka. Sambil memandu, matanya memandang sekeliling.

Di kejauhan, matanya menangkap satu susuk wanita sedang berlari. Dia meninggikan lampu, terlihat seorang wanita yang terbakar daging kulitnya sedang mendukung bayi, menghayunkan tangan. Di belakang wanita itu, ada beberapa lagi tubuh yang hangus.

Darahnya menyirap, jantung hendak tercabut dari tangkainya. Dia menggenggam kuat stereng teksinya lalu pedal minyak ditekan, teksinya memecut laju.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience