BAB 10 : SENDIRI

Horror & Thriller Completed 28761

"Amar, tolong pergi ambilkan penyapu kat stor!"

"Amar, tolong belikan mak bawang merah kat kedai runcit Pak Samad"

"Amar, tolong abah basuh kereta"

"Amar.."

"Amar!"

"Amar"

Arrgghhh!
Amar melepaskan geram dengan menumbuk dinding biliknya. Panas di hati bagaikan api marak membakar hutan. Belum tentu boleh terpadam dengan air hujan yang turun seperti di luar rumah.

Dia rimas. Dia lemas. Sebagai anak sulung lelaki, dia dilayan tidak ubah seperti orang suruhan. Kena buat itu ini. Sedangkan seorang adik lelakinya hanya duduk goyang kaki. Seorang lagi adik perempuan, masih kecil.

Dia merengus. Melepaskan keluhan kasar.

"Amar....!" Satu laungan dari tingkat rumahnya membuatkan dia mendongak. Masih diam. Sengaja memekakkan telinga dan bisukan suara.

"Amar!!!!" Laungan suara itu semakin kuat.

'Cis, aku baru nak rehatkan kaki...!' Satu tumbukan lagi dilemparkan ke dinding sebelum kakinya melangkah keluar dari bilik.

'Seperti ada mesyuarat tergempar nampaknya' desis hatinya apabila melihatkan keluarganya duduk berkumpul di ruang tamu. Dia lantas mengambil tempat duduk di sebelah adik lelakinya.

"Minggu depan abah ambil cuti seminggu. Jadi ingat nak ajak mak dan anak-anak pergi bercuti. Minggu depan Syam cuti sekolahkan?" Abah memandang Syam, adik lelaki Amar dengan penuh mengharap.

"Ya abah. Syam boleh join"

"Yang lain?" Abah memandang anak-anaknya silih berganti.

"Boyeh abah" jawab Maira dengan loghat anak kecil.

'Aku nak tinggal kat rumah je. Aku nak bersendirian!' Namun itu hanya terluah di dalam hati Amar apabila akhirnya dia juga turut mengangguk setuju.

***

"Amar, tolong angkat beg-beg ni ke troli tu. Lepas tu hantar ke bilik kita tingkat 13. Nah kad kunci. Terus letak dan pasangkan elektrik" abah memberi arahan sambil menghulurkan kad kunci kepada Amar. Amar menyambutnya kemudian beg di angkat ke troli.

Hanya dia seorang. Dia memandang keluarganya yang lain. Sedang berseronok berjalan bersama-sama untuk melihat pantai, walaupun cuaca masih panas. Ahh. Lantaklah. Dia tidak peduli. Sudah biasa disisihkan.

***

"Wah sedapnya katil ni. Tapi katil ni katil single. Abang Amar tidur kat bawah ek. Syam taknak kongsi" ujar Syam dengan mimik muka yang buatkan Amar rasa nak sepak.

Dia menarik toto untuk dijadikan alas, tapi dihalang oleh Syam.

"Kalau abang Amar ambil toto tu, matilah Syam kesejukan" Syam menarik toto itu kembali. Amar mengalah. Bosan nak bertekak. Dia tahu, kalau bertekak pun tetap dia yang akan dipersalahkan. Dia bangkit lalu mengambil kain pelikatnya sebagai penghadang kesejukan. Maira tidur bersama mak dan abahnya di katil saiz 'queen'.

"Semua perangai menyakitkan hati. Baik aku hidup sendiri kalau macam ni" air mata jantan mengalir, berharap agar hatinya yang terhiris sembuh apabila dia bangun nanti. Lama bermain perasaan, akhirnya matanya tertutup.

***

"Amar turun dulu lah. Abah tunggu mak dan anak-anak yang lain" kata Abah ketika mereka sedang menunggu lif.

"Arhh. Abah lebih pentingkan mereka semua. Amar ni kan anak abah juga. Tapi takda siapapun pernah ambil kisah tentang Amar!" Bentak Amar. Tanpa Abah sempat menjawab, Amar sudah pun memasuki perut lif.

Amar terpaksa berhimpit untuk berdiri ke belakang. Ramai pula orang masa tu. Tapi semua senyap tidak bersuara. Mungkin nak turun untuk minum petang juga.

Namun, bukan itu yang menganggu fikirannya, tetapi tentang layanan keluarganya terhadapnya.

"Daripada hidup berkeluarga tapi dilayan seperti orang asing, baik aku hidup sendiri" ujarnya perlahan.

"Maklumat diterima" satu suara wanita menyentakkan lamunannya.

"Aras Lima" seorang wanita berambut pendek, berdiri di tepi butang lif, dengan membelakangkan penumpang dalam lif.

'Mungkin itu penjaga lif' detik hati kecilnya.

Dia memandang sekitar lif. Baru dia perasan, lif tempat dia berada sekarang bukan seperti lif yang biasa tetapi kelihatan agak usang. Butang penunjuk aras juga tidak berkelip. Dindingnya diperbuat daripada kayu.

"Aras L1" suara perempuan itu mengganggu lamunannya. Eh? Dah ke aras bawah. Dia nak ke aras G.

"Err.. maaf, saya nak ke aras G. Dah terlepas ke?" Soalnya, namun tiada jawapan. Penumpang yang lain tetap senyap. Begitu juga wanita tersebut. Hanya bersuara apabila tiba di aras tertentu dan ketika pintu lif hendak tertutup.

Pintu lif terbuka. Namun di aras itu tidak kelihatan apa-apa memandangkan aras itu sangat gelap. Tiada ssesiapa yang keluar mahupun masuk.

"Pintu lif akan tertutup" ujar wanita tersebut tanpa menoleh dan bergerak sedikit pun.

"Aras L2" Amar memandang ke luar tatkala pintu lif terbuka. Seperti aras L1, aras tersebut juga gelap. Namun orang ramai berpusu-pusu keluar dari lif.

Hanya tinggal dia dan wanita penjaga lif itu.

"Pintu lif akan tertutup"

Senyap.

Suasana terasa menyesakkan dada Amar. Pada masa yang sama, dia terasa seram.

Fikirnya, bila hanya tinggal dia seorang, lif akan naik, tapi berlaku sebaliknya. Lif semakin ke aras bawah.

"Maaf, saya nak ke aras G" Amar berjalan menghampiri wanita tersebut dan menyentuh bahunya. Tiba-tiba, wanita itu terjatuh. Amar terkejut tidak kepalang. Peluh mula membasahi dahi. Debaran jantung semakin menggila lajunya.

Dia duduk perlahan-lahan di sebelah wanita itu, kemudian memusingkan badan wanita itu. Rupa-rupanya, wanita yang disangka penjaga lif itu, tidak lain cumalah sebuah patung. Terasa darahnya serta merta kering. Pucat lesi. Andai ditoreh pasti tidak akan darah mengalir.

Ting!
Pintu lif terbuka. Dia memandang ke luar. Dia berada di kawasan parking kereta. Suasana yang terang membuatkan Amar memilih untuk keluar dari lif.

'Takpa, aku boleh naik tangga' hatinya bermonolog.

Tanpa teragak-agak, dia terus melompat keluar, kakinya melangkah patung yang terbaring di depan pintu lif.

Tatkala dia berdiri di luar lif sambil mencari arah pintu keluar untuk menaiki tangga, tiba-tiba, satu persatu lampu di kawasan parkir itu terpadam. Sehinggalah lampu terakhir yang berada tepat di atas kepalanya.

Kini dia dikelilingi dengan kegelapan.

"Pintu lif akan tertutup" suara wanita tadi membuatkan dia berpaling ke belakang. Patung wanita yang terbaring tadi, sedang berdiri di pintu lif, memandangnya sambil tersenyum. Ketika pintu lif hampir tertutup, telinga Amar sempat menangkap suara wanita berkata,

"Selamat menikmati waktu bersendirian anda"

Ting!
Pintu lif pun tertutup.

END

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience