BAB 9 : PERPUSTAKAAN

Horror & Thriller Completed 28761

Faizal yang duduk sambil fokus membaca buku seram di perpustakaan itu, terhenti apabila terasa kehadiran seseorang sedang menarik kerusi di hadapannya. Dia mengangkat muka. Seorang gadis muda, berambut ikal mayang paras pinggang tersenyum memandangnya.

"Maaf, saya menganggu kah?" Gadis itu bersuara perlahan sambil matanya melihat ke arah pekerja perpustakaan yang sedang memandang tajam ke arah mereka.

"Err.. tak.." Faizal juga menjawab perlahan. Matanya melilau melihat sekeliling. Hanya tinggal dia, gadis muda itu dan seorang pekerja di kaunter pinjaman dan pemulangan buku sahaja di situ.

Matanya kemudian beralih ke arah jam tangannya. Sudah pukul 7.10 malam.
Dia menghela nafas panjang, tak sedar waktu sudah menginjak maghrib. Terlalu leka membaca koleksi cerpen seram.

Dia menutup buku tersebut dan beberapa buah buku yang agak berselerakan di atas meja tersebut juga dikemas.

"Awak dah nak balik ke?" Gadis itu mempamerkan riak ingin tahu.

"Err. Ha ah. Lagipun perpustakaan tutup pukul 7.30 petang kan" dia pula bertanya ingin tahu.

"Awak baru pertama kali datang ke sini ke?" Gadis itu tidak menjawab pertanyaannya, tetapi membalas dengan pertanyaan juga.

"Err.. iya." Dia menjawab, bingung.

"Laaa. Patutlah. Sebenarnya kat bandar ni, perpustakaan tutup lambat. Pukul 11 malam" Gadis menjelaskan tenang.

"Tapi, sekarang ni hanya tinggal kita bertiga" dia bersuara ragu-ragu.

"Awak takut saya ni hantu ek? Haha. Rileks lah, jap lagi dalam pukul 8 orang ramai datang" gadis tersebut tersenyum. Untuk seketika, dia kembali nyaman, lalu duduk semula.

"By the way, saya Jamilah. Awak?" Gadis itu menghulurkan tangan untuk bersalam. Tetapi tidak bersambut.

"Saya Faizal. Maaf ye, bukan mahram" Faizal menjelaskan. Jamilah hanya terangguk-angguk.

"Awak memang suka baca buku berkisarkan cerita seram ke?" Bibirnya dijuihkan ke arah buku yang dibaca Faizal.

"Ha ah. Saya suka" jawabnya ringkas.

"Awak nak dengar satu cerita seram tak?" Jamilah cuba memancing Faizal.

"Boleh je" Faizal menutup bukunya dan menandakan muka surat yang sedang dibacanya dengan meletakkan pen di tengah.

"Kisah ni berlaku kat perpustakaan." Jamilah menelan liur. Senyap seketika. Otaknya ligat berfikir untuk menyusun ayat seterusnya.

"Dulu, kat bandar ni juga lah. Perpustakaan ni baru dibina semula. Sebelum ni, perpustakaan lama tu berlaku satu tragedi yang menggemparkan penduduk bandar ni dan juga seluruh rakyat Malaysia" Jamilah bercerita dengan suara yang agak perlahan menyebabkan Faizal terpaksa menarik sedikit tubuhnya menghampiri Jamilah.

"Macam yang saya dah bagitahu awak awal-awal tadi, perpustakaan kat bandar ni tutup lewat sedikit. Dalam pukul 11 malam. Malam tu, dalam perpustakaan tu ada seorang lelaki tengah baca buku. Dia tu terlalu suka baca buku. So, malam tu dia tak sedar dah pukul 11 malam. Pustakawan pula tak perasan malam itu ada orang lagi kat dalam. Dia terus balik dan terus mengunci pintu utama, satu-satunya pintu yang digunakan untuk keluar masuk selepas pukul 8 malam"

Faizal mula menunjukkan riak tak senang. Jantungnya mula berdegup laju.

"Bila lelaki tu dah habis baca buku tu, dia bangun dan nak cari buku lain pula. Masa tu lah dia baru nak tengok masa, dan sedar rupanya waktu tu dah pukul 12.00 malam."

"Jadi apa yang berlaku?" Faizal dah mula excited ingin tahu.

"Dia pandang sekeliling, hanya tinggal dia seorang saja. Dia mula risau. Jadi lepas letak buku tu, dia terus nak balik."

"Tapi pintu tu dah kena kuncikan?" Jamilah mengangguk.

"Ya, pintu tu dah kena kunci. Dia cuba menjerit meminta tolong, tapi masa tu dah takde sesiapa. Pengawal keselamatan pun dia tak nampak. Jadi, dia pun mula berputus asa, dia mengambil keputusan untuk tidur di situ sahaja sementara menanti hari esok"

Senyap. Jamilah menelan liur.

"Tiba-tiba, Lelaki tu terhidu sesuatu seperti ada sesuatu sedang terbakar. Dia bangun, cuba mencari arah bau tu datang. Belum sempat dia nak jumpa,dia terdengar satu bunyi letupan yang sangat kuat. Perpustakaan tu dijilat api. Api terlalu marak, sehingga lelaki tu tak sempat nak melarikan diri. Dan bila pihak bomba selesai memadamkan api, mereka jumpa mayat rentung" Jamilah menyudahkan ceritanya. Tiba-tiba timbul rasa simpati di hati Faizal terhadap lelaki tersebut.

"Dah tahu ke siapa identiti lelaki tu?" Faizal tertarik dengan cerita Jamilah itu.

"Belum. Sebab lelaki tu bukan orang bandar ni" Jamilah menjawab selamba.

Tiba-tiba Faizal mengalirkan airmata. Terkejut Jamilah dibuatnya.

"Eh, kenapa awak nangis pula. Jangan-jangan....." Jamilah menelan liur yang terasa kesat. Kemudian menyambung, "Saudara awak ke?"

Faizal tidak menjawab. Tetapi bangun dari tempat duduknya lalu berdiri di hadapan Jamilah. Senyap seketika sebelum Faizal mula bersuara.

"Saya teringat lagi, malam tu, saya duduk kat hujung rak tu. Sebab tu kot pekerja tu tak perasan saya masih ada dalam ni. Dia terus balik dan mengunci pintu utama"

Jamilah tersentak. Dia menelan liur lagi. Badannya tiba-tiba kaku.

"Bila bau sesuatu terbakar tu, saya memang cuba mencari arah tu. Tapi siapa sangka, rupanya malam tu malam terakhir saya. Dan paling menyedihkan, walaupun sudah 10 tahun berlalu, mereka masih belum menjumpai identiti saya"

Tiba-tiba, Jamilah terhidu seperti daging terbakar. Dia yang menunduk ketika itu, mula mengangkat muka. Dia terperanjat, di hadapannya kini bukan Faizal yang dia kenali awal tadi. Tetapi di hadapannya satu susuk tubuh yang hangus keseluruhan badannya. Matanya memandang ke arah kaunter, tetapi pekerja itu tenang seperti tiada apa-apa yang berlaku. "Takkan dia tak perasan mayat kat depan aku ni?"

Faizal cuba menghampiri Jamilah. Dan ketika itu, wajah Jamilah yang ketakutan bertukar riak seperti gadis psiko dengan senyuman sinis di bibir.

"Saya lupa nak bagitahu. Walaupun sudah 10 tahun berlalu, pihak polis pun masih taktahu saya yang mulakan kebakaran malam tu"

Wajah Jamilah juga turut bertukar menjadi wajah yang hangus terbakar.

***
10 tahun lepas..

Muka hadapan akhbar:
Pihak bomba menemui dua mayat rentung berasingan di kawasan perpustakaan yang hangus terbakar. Forensik mendapati, mayat tersebut milik seorang lelaki dan seorang lagi wanita muda. Punca kebakaran masih belum diketahui. END

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience