BAB 5

Family Completed 594

Aku berada di rumah nenek setiap tahun pada hari raya. Sejak kehilangan Eshanty bertahun yang lalu, hari raya di rumah ini hilang serinya. Tiap tahun hari raya makin menghambar, tiada lagi kemeriahan. Mungkin juga aku yang menginjak dewasa, sudah tidak menikmati zaman kanak-kanak yang girang. Tahun ini aku merenung rumah beratap coklat ini dengan muram.

Aku melangkah masuk, seperti yang telah diduga, ianya lebih pusam. Dulu rumah ini gilang-gemilang. Seingatku ketika melangkah kaki ke dalamnya, ianya diterangi limpahan cahaya kekuningan. Itulah Eshanty, penyeri dalam keluarga. Dia ibarat sinaran cahaya rembulan. Kini cahaya itu hilang, suasana kelam menyuram… Aku terbayang Eshanty memeluk nenek dari belakang dan mencium pipinya ketika orang tua itu terkejut. Dia ketawa berdekah-dekah ketika mengusik makcik masak di dapur. Bila dimarahi kerana keletahnya yang nakal, Eshanty hanya ketawa dan memujuk…

“Nenek marah kah? Jangan lah marah nek…” bujuknya manja dengan ketawa kecil.

Leretan senyuman terukir di hujung bibir nenek, tetapi suara nenek makin meninggi, kononnya marah. Walhal terhibur dan geli hati juga. Itulah Eshanty, si nakal yang menghibur. Dia cahaya rembulan kami, cinta hati kami… Kini dia sudah tiada, tiada lagi gelak tawa manja, tiada lagi ceria, tiada lagi bahagia. Cinta hati kami, dicintai Tuhan juga…

Tahun berikutnya aku di hadapan rumah ini lagi. Aku sudah hidu bauan hambar rumah ini. Rona pusam, malap dan kelam suasananya tidak seperti raya-raya yang sudah. Tiada ceria seperti hari raya di zaman kanak-kanakku semasa Eshanty masih ada. Tetapi aku terus melangkah masuk juga kerana, nenekku, makcik-makcikku sepupuku yang lain masih ada.

Kecuali perempuan banjar itu. Ibu kepada Eshanty. Ya, malangnya raya kali ini aku terlewat. Perempuan banjar itu sudah meninggal dunia sebelum raya menjelang. Pada waktu itu aku tak dapat pulang ke kampung kerana menghadapi peperiksaan akhir semester di Universiti. Aku merenung rumah sunyi di sebelah rumah nenekku. Makcikku datang meletakkan seteko kopi di meja. Aku duduk di beranda bersama nenek dan makcik. Sesekali bila mengenang arwah Eshanty dan ibunya, mata tua nenek bergenang.

“Dia itu penyabar, macam air sungai yang mengalir tak pernah keringnya… Sabar terus menerus...”

Makcikku memecah keheningan. Aku mengangguk-angguk kepala. Masakan aku lupa segala penderitaan perempuan banjar itu. Yang aku hairankan wajahnya tak pernah sedih atau muram. Menelan kepahitan umpama menelan segantang gula.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience