BAB 4

Family Completed 594

Aku baru lepas menghadapi peperiksaan SPM apabila aku mendengar berita ini. Jantungku terasa direntap. Kami sekeluarga bergegas pulang ke rumah nenek. Air mataku sudah merembes di pipi. Aku sayangkan Eshanty. Tetapi sekujur tubuh Eshanty yang membesar sebagai gadis jelita kaku di pembaringan. Wajah cantiknya seperti sedang tidur. Gagau galau tangisan kedengaran menggumam di segenap rumah. Eshanty , gadis cantik yang ceria adalah permata dan penghibur dalam keluarga. Nenekku sedih tak terperi.

Terjelepuk di pintu dengan tangisan meruntun hati. Makcikku sudah pengsan beberapa kali. Eshanty, maut dalam kemalangan jalan raya. Tubuh badannya cedera parah. Wajah cantiknya tidak bergaris luka sedikitpun, masih menyejuk hati tika dipandang. Pandangan mataku kabur dek air mata. Aku masih dapat melihat perempuan itu mengensot dengan susah payah menghampiri jenazah anaknya. Dia mahu mencium wajah anaknya buat kali terakhir. Usai kucupan terakhir si ibu, wajah jenazah ditutup. Aku merenung wajah perempuan itu. Setitik air mata pun tidak menitis di pipinya. Aku hairan, aneh. Kenapa dia tidak meraung macam orang lain? Eshanty bukankah darah dagingnya? Tidakkah dia sayang pada Eshanty? Tetapi wajah itu tetap tenang dan hening seperti selalu. Aku menggeleng kepala. Aku benar-benar tidak fahami perempuan banjar itu. Wajah tenang perempuan banjar itu kini kubenci.

“Apa terjadi?” tanyaku dengan mata masih memerah.

“Semalam petang, kawan-kawan ambil Eshanty tepi jalan, Kak Ima temankan…”

Ima kakak sepupuku bercerita, mengesat air dipelupuk mata, kemudian menyambung.

“Belum sempat Eshanty kelip topi keledar, mereka sudah tekan motor laju-laju. Eshanty sempat lambai pada akak, dia kata ‘selamat tinggal’…”

Ima terus menangis tersedu-sedu. Aku diam sahaja. Selamat tinggal untuk selama-lamanya. Eshanty gadis ceria itu bukan sahaja disayangi keluarga, tetapi juga disukai ramai orang dan punya ramai kawan. Kata Kak Ima berminggu-minggu sebelum pergi, Eshanty selalu termenung. Tidak ceria seperti selalu, seperti tahu masanya sudah hampir. Ya, ajal itu sudah tertulis.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience