BAB 1

Family Completed 594

Perempuan itu senyum padaku yang menjenguk dari tingkap dengan sengih menampakkan gigi rongak.

“Kamu tak mahu masuk?” ajaknya. Aku hanya menggeleng kepala. Rumah itu bersepah, bau hapak menular masuk ke rongga hidung. Masakan aku mahu masuk ke rumah yang berkepam dan berterabur. Aku takut dan rasa tak selesa. Aku tak sabar menunggu Eshanty sepupuku keluar dari bilik. Eshanty sepupuku yang cantik dan comel berlari anak keluar mendapatkan aku.

“Mari kita main kat sungai…!” ajak Eshanty menarik tanganku yang muda setahun dari dia. Kami bermain girang. Lewat petang baru pulang. Eshanty tidak pulang ke rumah tadi, tetapi duduk di rumah nenekku di sebelah. Esok Hari Raya Aidilfitri. Malam ini kami mahu bermain bunga api. Setelah letih bermain kami tidur di bilik tamu rumah nenek. Rumah perempuan itu sunyi sepi, wanita itu adalah ibu kandung Eshanty.

Esoknya emak menarik tanganku ke rumah perempuan itu. Aku gusar dan rasa berat hati. Hari ini hari raya, emak mahu melawat semua sanak saudara. Aku masuk memerhatikan sekeliling rumah. Kusam, kelam dan tak berseri. Cuma sedikit kemas. Bukankah hari ini hari raya?

“Kamu sihat sikit?”

“Alhamdulillah...” ucap emak Eshanty.

Aku menyorot pada wajahnya yang putih bersih. Matanya sepet seperti kebanyakkan wanita Banjar lain. Aku memerhati keliling rumah, aku lihat kuih raya dah air teh di atas lantai. Dia kah yang buat? Bukan kah dia lumpuh, bagaimana dia bangun buat air? Hati aku meronta-ronta mahu keluar dari rumah itu. Aku mahu berhari raya di rumah yang lebih kaya. Pasti ada air oren bergas. Kuih dan kek yang sedap-sedap. Di rumah perempuan ini cuma ada teh kosong dan kerepek-kerepak sahaja. Tak menggamit selera kanak-kanak sepertiku.

“Enal tak balik menjenguk kah?” soal emakku.

“Tak apalah. Dia tak balik pun tak apa. Tapi janganlah lupakan anak-anak. Mereka perlu belanja sekolah…” ucap perempuan banjar itu tenang. Aku pantas berkalih merenung matanya. Aneh, wajah itu tenang seperti air di kali.

“Dia beraya di rumah isteri sana?”

Ibuku menduga. Perempuan banjar itu cuma senyum. Tidak ternampak riak marah, matanya hening, wajahnya sangat manis. Aneh, jika dilihat pada keadaannya yang lumpuh, punggungnya yang sopak akibat lama mengensot dan duduk. Bagaimana dia boleh setenang itu?

Wajahnya tidak berkerut sakit walau punggungnya sudah membusuk. Aku pernah melihat nanah di punggung di bersihkan oleh anak sulungnya. Tekakku rasa meloya.

“Anak-anak nak jumpa bapaknya di hari raya. Kasihan hati budak-budak terluka...” keluh perempuan itu. Tetapi wajahnya tetap tenang. Benar, kasihan Eshanty, Mazmil dan Firli. Mereka masih sekolah, butuh perhatian dan kasih sayang seorang ayah. Aku menyorot mata melihat perempuan banjar itu. Badannya boyak, almaklum sudah separuh umur dan punya empat anak. Tapi wajahnya masih cantik. Perempuan banjar ramai yang cantik-cantik. Malangnya dia lumpuh dan tidak mampu berdiri. Dia ke dapur buat air, masak dengan mengensot. Selain itu tiada apa-apa yang mampu dia lakukan. Maka itu sudah jadi sebab dan suaminya berhak kahwin lagi. Dia sudah tak mampu jalankan tanggungjawab sebagai isteri. Perempuan banjar itu umpama kain buruk yang sudah tidak ada harganya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience