8
“Farah, kenapa sejak kebelakangan ni kau macam lain je? Aku tengok macam orang kena paksa kahwin pun ada juga. Fahmi kacau kau lagi ke?” soal Lila.
Setahu dia sejak Farah dan Fahmi makan tengah hari bersama, tiada lagi dia mendengar Farah mengadu tentang Fahmi.
“Err, mana ada. Aku biasa jelah,” buru-buru Farah menjawab.
Dia masih belum bersedia hendak memberitahu Lila apa yang sedang terjadi. Dia tidak mahu jika Lila berfikir bukan-bukan. Biarlah hal ini menjadi rahsia dulu. Tetapi Farah masih risau.
Soalan Lila sebentar tadi seolah-olah dia tahu apa yang sedang berlaku. Padahal Lila cuma serkap jarang.
“Kalau ada apa-apa yang kau nak kongsikan dengan aku, cakap ya. Jangan pendam sorang-sorang,” kata Lila.
“Haa, yalah! Bila aku nak kongsi something mesti aku akan call kau,” balas Farah pula.
“Okey! Mungkin kau tak ready lagi nak bagitahu. Jom balik. Takkan kau nak bertapa kat dalam dewan ni pula,” biasa sahaja intonasi suara Lila.
“Err, okey jom!” tergagap-gagap Farah membalas.
Dia tidak menyangka Lila akan berkata sebegitu. Sangkaannya benar.
Rakan karibnya itu memang pandai menebak hati dan perasaannya. Mungkin benar apa yang dikata Lila. Dia tidak patut merahsiakan hal itu. Lagipun bukannya benda buruk.
Cuma dirinya sahaja yang masih belum bersedia.
Andai sahaja dia punya kekuatan. Andai sahaja dia boleh meluahkan apa yang terbuku di sudut hatinya. Kenapa dia mesti rasa begini. Bukankah dia sendiri yang membuat keputusan.
Atau ini memang perkara biasa bagi seseorang yang bakal bernikah dengan pilihan keluarga. Andai sahaja dia punya jawapan. Pasti tidak akan ada pelbagai persoalan yang bermain di benaknya.
Pada sebelah malam, Farah mengambil keputusan menelefon Lila. Dia perlu mendengar pendapat dan nasihat daripada Lila. Lagipun majlis pertunangannya hanya tinggal dua minggu sahaja lagi.
“Assalamualaikum,” Farah memberi salam setelah Lila mengangkat telefonnya.
“Waalaikumussalam. Ada apa telefon aku ni? Nak bincang hal assignment ke?” tanya Lila setelah menjawab salam.
“Tadi kau kata kalau ada masalah jangan pendam sorang-sorang. Aku nak luahkan kat kaulah ni. Sebab tu aku call,” Farah memulakan perbualan.
“Amboi, dah readylah ni ya? Ermm, tunggu kejap. Aku nak masuk bilik dulu. Nanti susah pula aku nak menghayati cerita kau,” sempat lagi Lila bergurau.
“Ceit! Kalau dah masuk bilik bagitahu aku,” balas Farah.
“Okey dah. Storytelling time,” ceria sahaja suara Lila. Dia fikir cerita Farah ini macam bed time story agaknya.
“Tadi kau kata muka aku macam orang kena paksa kahwin kan?” teragak-agak sahaja Farah bertanya.
“Aah! Kau jangan cakap yang kau memang betul-betul kena paksa kahwin,” balas Lila.
“Well, not really! Tapi lagi dua minggu insya-Allah aku akan jadi tunangan orang,” perlahan-lahan Farah menuturkan ayat. Dia tidak mahu Lila terkejut.
“What? You kidding me right,” jelas sekali Lila terkejut.
“Aku serius ni,” keluh Farah.
“Cerita dengan aku secara terperinci sekarang. Boleh pengsan aku kalau dengar cerita kau yang tersekat-sekat ni. Saspens tau,” Lila berkata sambil mengurut dadanya.
“Okey, aku nak ceritalah ni. Kau tu yang asyik terkejut. Lepas tu menyampuk. Macam manalah aku tak berhenti,” bebel Farah pula.
“Eh mak nenek ni, aku suruh ceritalah. Yang kau nak mula membebel ni kenapa? Hailaa,” Lila membalas bebelan Farah.
“Fine! Dengar baik-baik,” kata Farah.
“Yes ma’am,” Lila tabik hormat walaupun dia tahu Farah tidak dapat melihat.
Maka bermulalah hikayat Farah Tasneem versi II pada malam itu. Versi I sudah diceritakan pada Dania Irdina. Kisahnya pula berkaitan dengan Zulfahmi. Berlainan pula dengan versi yang diceritakan pada Lila. Kali ini hanya ada kisah Tariq Farihan yang tidak pernah dikenali.
“Berapa kau punya peratus keterbukaan hati untuk terima dia?” soal Lila sesudah Farah menamatkan hikayatnya.
“70 peratus kot. Aku pun tak sure,” jawab Farah.
“See! 70 peratus tu dah cukup banyak sebenarnya. Dalam soal kau ni, kau sebenarnya dah boleh terima dia.
Cuma kau tak yakin dengan keputusan kau, tak yakin dengan diri sendiri. Bagi aku, kau patut bersyukur sebab Allah gerakkan hati kau sekarang. Cuba kau bayangkan sampai bila-bila Allah tak gerakkan hati kau tu. Lagipun ibu kau sendiri cakap kan, Fariq tu lahir dalam keluarga yang baik-baik. Pekertinya pun mulia,” panjang lebar Lila menjelaskan.
“Tariqlah nama dia,” Farah membetulkan.
“Amboi, macam marah je aku salah sebut nama dia. Petanda baik tu,” usik Lila pula.
“Heh! Aku cuma betulkan apa yang salah je okey,” tukas Farah.
“Cehh! Kau fikirlah semasak-masaknya. Tapi jangan sampai hangus pula,” Lila cuba melawak.
“Yalah. Anyway thanks sebab sudi dengar masalah aku,” suaranya Fara sudah mula kedengaran ceria.
“Bukan masalah sebenarnya. Cuma tak ada keyakinan diri. Ke kau takut sebenarnya?” tanya Lila lagi.
“Takut? Takut apa pula?” jawab Farah dengan soalan juga.
“Takut kalau-kalau ibu kau tersalah tafsir perangai sebenar Tariq tu,” selamba saja Lila menjawab.
“Mungkin,” Farah membalas pendek.
“Percaya pada diri kau sendiri. Hanya dengan cara tu je kau boleh pastikan. Pertunangan kau dengan dia pun lagi dua minggu je kan. So better late than never,” ujar Lila memberi semangat.
“I will. Thanks for your advice. Really appreciate it,” pantas Farah berkata.
“Most welcome. Okey ada apa-apa lagi ke? Aku dah ngantuk ni,” kata-kata Lila mengundang tawa Farah.
“Kalau ngantuk bagitau awal-awal. Rasanya tak ada apa-apa lagi. Good night and sweet dream,” Farah mengucapkan selamat malam.
“Good night too. Mimpi indah-indah juga. Assalamualaikum,” Lila memberi salam.
“Waalaikumussalam,” Farah mematikan telefon setelah menjawab salam Lila. Dia juga ingin belayar ke alam mimpi.
Share this novel