1
Pagi ini tenang dan mendamaikan. Burung-burung berkicau riang. Farah Tasneem menghirup udara yang segar.
Sambil itu matanya ralit memerhatikan keindahan alam ciptaan Allah. Kedua belah telinganya dipasang dengan earphone. Sesekali badannya digerakkan mengikut rentak lagu yang dimainkan.
Dania Irdina melangkah perlahan-lahan ke arahnya. Dia ingin mengejutkan Farah Tasneem yang sedang leka itu. Penat sahaja dia menyuruh adiknya bangun pagi. Alih-alih adiknya cuma duduk-duduk di taman itu. Apabila sudah berada betul-betul di belakang Farah, dia segera memegang bahu adiknya dan menjerit.
“Arghhh!” Farah ikut menjerit. Dia terkejut apabila terasa ada seseorang sedang memegang bahunya. Earphone yang masih terpasang di telinganya segera ditanggalkan.
“Hahahaha! Kelakarlah adik ni. Akak jerit sikit je, dia pula lebih-lebih. Kenapa? Adik ingat lelaki ya yang buat macam tu?” Dania ketawa sambil menekup mulutnya sesudah meluahkan pertanyaan.
“Apa akak ni? Nasib baik jantung adik sihat lagi. Kalau pesakit dekat IJN dengar jeritan akak tu, confirm dah gol semuanya akak tahu tak.” Farah mengurut-ngurut dadanya.
“Eleh, baru terkejut sikit dah cakap pasal jantung bagai. Siapa suruh leka sangat dengar mp3 tu? Akak ajak adik pergi sini untuk teman akak jogging,” bibirnya dicebik.
‘Macamlah aku ni sengal sangat nak jerit-jerit macam ni dekat IJN. Mahu aku kena tangkap dengan polis nanti sebab bunuh orang bersenjatakan suara mahal aku ni. Apa punya adiklah. Dia yang terkejut, nak kaitkan dengan pesakit jantung. Ish!’ Dania merungut di dalam hatinya.
“Akak ni mengumpat adik dalam hati ke? Muka semacam je,” berkerut dahi Farah melihat wajah Dania.
“Mana adik tahu? Ni mesti sebab bila adik mengumpat orang dalam hati, muka adik jadi semacam kan. Takkanlah adik boleh agak apa yang akak cakap dalam hati melainkan dah selalu buat,” selamba sahaja Dania berkata. Walhal memang betul pun dia sedang mengumpat adiknya.
“Huh? Apa-apa jelah. Akak kejutkan adik bangun pagi sebab nak suruh teman akak pergi jogging je kan. Bukannya akak suruh adik jogging. Kan lain maksudnya tu,” rungut Farah.
“Wah, bukan main lagi adik akak ni ya! Dah pandai merungut sekarang. Siapa yang ajar ni?” Dania menunjukkan muka garang.
“Akaklah yang ajar, hahaha!” Farah segera melarikan diri usai berkata.
Farah tahu jika kakaknya dapat mengejarnya, pasti habis seluruh tubuhnya digeletek. Dia mesti pulang ke rumah dengan segera. Sekurang-kurangnya boleh juga dia dapatkan perlindungan daripada ibu dan ayahnya. Dania pula hanya mampu menggelengkan kepala melihat telatah adiknya.
“Macam budak kecik,” rungut Dania sendirian.
****
Share this novel