7.
Hari ini Farah pulang sedikit lewat. Dia sibuk menyiapkan assignment bersama Lila. Esok Puan Gee ingin melihat hasil kerja mereka.
“Adik, sini kejap! Ibu nak cakap sesuatu,” Puan Junaidah menggamit anaknya.
“Ada apa ibu?” tanya Farah.
“Tak lama lagi adik nak graduate kan?” Puan Junaidah membalas soalan Farah dengan soalan juga.
“Aah, ada lagi beberapa bulan. Kenapa? tanya Farah lagi.
“Tadi ada yang datang meminang adik. Kalau adik setuju, lagi sebulan adik kena bertunang dengan dia. Ibu tengok baik budaknya. Tapi ibu tak paksa,” lembut sahaja suara Puan Junaidah.
“Ibu ni biar betul. Entah-entah dia pinang akak tak?” sukar untuk Farah percaya. Dia sudah mula membayangkan yang bukan-bukan.
“Apa pula kakak. Rombongan yang nak meminang kakak datang minggu depan. Yang datang tadi rombongan meminang adik,” Puan Junaidah menjelaskan.
Farah sudah cuak. Dia perlu pastikan siapa yang datang meminangnya. Tidak dia sangka, dalam usia muda ini sudah ada yang datang meminangnya. Yang lebih memeranjatkan lagi, kakaknya juga bakal dipinang. Cantik sangat ke anak Encik Jamal dan Puan Junaidah ni.
“Siapa nama lelaki yang pinang adik tu?” Farah bertanya pantas.
“Tariq Farihan,” jawab Puan Junaidah.
Farah menghela nafas lega. Jadi andaiannya tidak benar sama sekali. Bimbang sungguh jika Fahmi yang datang meminangnya.
“Mana dia kenal adik?” Farah bertanya pelik.
“Tariq tak kenal adik pun. Encik Rashdan tu kawan baik dengan ayah. Dia berkenan dengan adik. Tu yang dia pinang adik untuk anak dia tu,” Puan Junaidah tersenyum.
“Nantilah adik fikirkan,” pantas Farah menjawab.
“Baiklah. Tapi kalau tak nak jangan paksa diri,” balas Puan Junaidah.
Farah segera naik ke biliknya. Dia memikirkan kata-kata ibunya. Ingin sahaja dia menjawab tak nak. Tapi entah kenapa tidak terluah di bibir. Dia seolah-olah merelakan pertunangan itu terjadi. Mungkin dia perlu istikharah. Kerana sesungguhnya dia benar-benar tidak tahu apa keputusannya yang sebenar. Hendak menolak, ibu kata baik. Hendak terima, bimbang indah khabar daripada rupa. Serabut fikiran Farah dibuatnya.
Setelah tiga malam berturut-turut melakukan solat istikharah, Farah yakin dengan jalan yang dipilihnya. Bukankah dulu dia pernah berkata hatinya Allah yang pegang. Mungkin Allah sedang menggerakkan hatinya untuk memberi peluang kepada yang layak menerima. Dia yakin dengan segala ketentuan Allah.
“Ibu, adik dah buat keputusan. Kalau betul lelaki itu jodoh adik, adik terima. Adik yakin dengan pilihan ibu,” lancar tutur katanya.
Jauh di sudut hatinya, dia masih ragu. Tetapi andai keputusannya itu boleh membahagiakan ibu dan ayah dia rela. Farah dapat lihat sinar pengharapan dari mata ibunya. Dia bimbang jika ibunya terkilan tidak dapat bermenantukan Tariq Farihan.
Lelaki yang baik pada pandangan mata ibunya. Lagipun dia belum kenal lagi gerangan bakal tunangnya.
“Betul ke ni? Adik jangan paksa diri ya,” serba salah sahaja suara Puan Junaidah. Fikirnya mungkin dia terlalu mendesak.
“Betul ibu. Adik dah janji yang adik nak bahagiakan ibu. Lagipun adik tak terburu-buru buat keputusan ni. Adik dah istikharah tiga malam berturut-turut.,” tenang Farah meluahkan kata-katanya.
“Ibu sayang adik sangat-sangat. Ibu yakin Tariq boleh bahagiakan adik. Nanti Tariq akan datang masa majlis pertunangan. Waktu tu bolehlah adik curi-curi pandang dia,” usik Puan Junaidah.
“Apalah ibu ni. Entah-entah dia yang nak curi-curi tengok adik. Anak ibu ni kan comel,” Farah sengaja memuji diri sendiri. Dia tidak mahu suasana menjadi hambar.
“Wah, masuk troli tolak sendiri ya.” Puan Junaidah ketawa.
“Yalah. Kalau adik tak tolak sendiri siapa nak tolong tolakkan,” balas Farah.
“Tariq ada. Suruhlah dia tolong tolakkan,” tiba-tiba sahaja Dania menyampuk.
“Ibu, tengok kakak ni. Macamlah dia tak,” adu Farah.
“Walaupun tarikh pertunangan kita sama, yang penting adik kena pinang dulu. Akak ni masih available lagi,” selamba sahaja Dania berkata.
“Kakak jangan nak buat pasal ya. Kalau Daniel dengar nanti, baru kamu tahu. Jangan menangis sambil hentak-hentak kaki pula,” perli Puan Junaidah.
“Erkkk, apa ibu ni? Tak baik tau cakap macam tu. Kakak gurau je. Budak kecik ni makin lama makin manja. Saja nak usik dia,” balas Dania pula.
“Kakak dah besar sangat ke? Tahulah dah graduate. Beza umur kita ni setahun je tau,” Farah menjulingkan matanya.
“Dahlah, malas nak layan. Baik akak layan anime,” Dania bangun lalu menapak ke biliknya.
“Layanlah anime tu puas-puas. Nanti dah kahwin susah,” giat Farah lagi.
“Bisinglah adik ni,” jerit Dania.
Share this novel