9
Saat ini, Dania dan Farah menanti waktu sahaja untuk menjadi tunangan orang. Mereka akan bernikah dengan pasangan masing-masing setelah Farah selesai menduduki final exam. Farah melihat jari manisnya yang tidak lama lagi akan tersarung cincin. Tapi tidak pula dia ketahui bagaimana rupa cincin itu.
Di ruang tamu, Encik Jamal dan Puan Junaidah sibuk melayan keluarga Daniel dan keluarga Tariq. Farah mencuri pandang dari dalam bilik. Dia ingin melihat wajah Tariq. Sedang dia mencari-cari, seorang lelaki tampan tersenyum ke arahnya. Buru-buru dia menutup pintu.
“Adik ni dah kenapa? Kelam kabut tak pasal-pasal,” Dania bertanya pelik.
“Mana ada apa-apa. Kan adik relax je ni,” padahal dadanya sudah terasa hendak pecah.
“Nak tipu orang lain silakan. Tapi kalau nak tipu akak no way. So tell me what happen just now,” Dania sudah bertukar garang.
“Tak payah nak speaking sangatlah kan,” Farah mencebik bibir.
“Jangan nak putar belit cerita sangatlah kan,” balas Dania pula.
“Heh! Adik rasa adik dah nampak Tariq,” Farah segera menundukkan wajahnya.
“Dah tu? Adik tak berminat dengan dia ke?” pertanyaan Dania disambut Farah dengan senyuman.
“Bukan tak berminat. Tadi dia senyum kat adik,” balas Farah.
“Senyum pun salah?” Dania menggaru kepalanya yang dilitupi tudung.
“Bukan sebab tulah. Adik malu bila dia senyum kat adik,” comel sungguh jawapan Farah. Pipinya juga sudah kemerah-merahan.
“Hahaha! Kelakarlah adik ni. Tariq senyum pun boleh malu ya. Kalau Fahmi senyum adik malu tak?” uji Dania.
“Kalau Fahmi senyum adik rasa nak lari je. Muka macam Kasanova Malaya. Nak hempuk pun ada juga. Gatal sangat,” komen Farah.
“Sebab muka Tariq tu ada nur kot, haha!” usik Dania.
“Mungkin juga,” akui Farah.
Dania pula yang tercengang mendengar jawapan adiknya. Betulkah ini Farah Tasneem Binti Jamal. Sangat pelik bila seseorang yang sering sahaja lari daripada lelaki berkata sebegitu. Atau mungkin benar inilah misteri jodoh.
Pintu bilik dikuak secara tiba-tiba. Kelihatan dua orang wanita yang agak berusia berada di samping Puan Junaidah. Mereka segera masuk. Terkaku Dania dan Farah. Dania yang selalunya bising turut terkelu. Pandai pula diam apabila bakal ibu mertua masuk bilik.
“Cantik anak-anak awak Jun,” puji salah seorang dari mereka.
“Itulah. Kalau Tajul belum kahwin memang saya pinang dua-dua anak awak,” sahut seorang lagi. Pecah ketawa mereka bertiga. Dania dan Farah pula yang terpinga-pinga.
“Meroyan pula si Daniel tu nanti,” wanita itu membalas. Selamba sahaja dia berkata.
“Ha, Dania. Duduk sini. Ibu Daniel nak sarung cincin tu,” Puan Junaidah menggamit Dania.
Dania menurut sahaja. Perlahan-lahan dia bangun dan duduk seayu yang mungkin. Dia bersalam dengan Mak Cik Wirna setelah cincin selamat tersarung di jarinya. Kemudian tiba giliran Farah pula. Dia duduk di hadapan Mak Cik Suri. Terbit senyuman manis di wajahnya. Bangga hatinya apabila melihat cincin yang tersarung elok di jari manisnya. Nampak padan sekali. Pandai Tariq pilihkan untuknya.
“Meh keluar. Daniel dengan Tariq dah tunggu tu. Tariq pun tak sabar nak kenal dengan Farah,” Puan Junaidah mengajak anak-anaknya keluar. Farah pula sudah tidak tentu arah sedangkan Dania kelihatan tenang.
“Adik, jangan risau ya. Tenang okey. Insya-Allah semua akan berjalan dengan lancar,” Dania membisikkan kata-kata semangat kepada adiknya.
“Thanks akak,” Farah cuba tersenyum.
“You are welcome. Dah jom,” Dania menarik tangan Farah.
Mereka menghampiri ruang tamu. Di situ hanya ada Daniel dan Tariq. Dania menolak Farah manakala Farah pula menolak Dania. Mereka saling bertolakan sehingga ada satu suara yang menegur.
“Assalamualaikum,” Dania dan Farah menoleh.
Kelihatan Tariq sudah berdiri di hadapan mereka. Daniel pula baru bangun dari sofa dan sedang menuju ke arah mereka. Tahulah mereka siapa yang memberi salam tadi.
“Wa…waalaikumussalam,” mereka menjawab serentak tetapi tergagap-gagap.
Daniel memberi isyarat kepada Dania supaya berganjak ke tempat lain. Mereka ingin memberi peluang kepada Tariq dan Farah untuk berbual dengan selesa. Lagipun ini pertemuan mereka yang pertama. Jadi sudah tentu masing-masing ingin bersuai kenal.
“Hmm, kita duduk dekat luarlah ya. Senang sikit nak berbual,” Tariq mengajak.
Caranya sudah seperti tuan rumah. Padahal sepatutnya Farah yang mengajak dia. Tetapi dia faham dengan keadaan Farah yang agak kekok. Maka dia perlu mengambil langkah terlebih dahulu.
Di luar masing-masing mengambil tempat. Mereka memilih untuk duduk di tempat yang boleh dilihat orang. Bukan apa, bimbang kalau-kalau ada jiran yang menabur fitnah terhadap mereka.
“Ceritalah tentang diri awak. Takkan nak diam je. Ataupun awak nak saya mulakan dulu?” Tariq mencari jalan untuk membuat Farah membuka mulut.
“Mungkin awak patut mula dulu,” perlahan sahaja suaranya.
“Apa yang awak nak tahu pasal saya?” duga Tariq. Dia ingin benar melihat respon Farah yang kaku itu.
“Apa-apa saja yang awak rasa awak nak bagitahu saya. Saya tak kisah pun,” balas Farah pula.
Walhal dalam hatinya ada pelbagai jenis soalan yang ingin dia tanya. Tetapi dia masih kekok. Lagipun biarlah Tariq bercerita dahulu. Jika ada apa-apa nanti barulah dia akan bertanya. Boleh juga dia menguji kejujuran Tariq Farihan yang telah berjaya menambat hati ibu dan ayahnya untuk dibuat menantu.
“Okeylah kalau awak dah cakap macam tu. Nama saya Tariq Farihan. Umur saya 26 tahun. Saya seorang engineer walaupun cita-cita saya yang sebenarnya ingin menjadi seorang programmer. Hari ini saya bertunang dengan gadis pilihan keluarga saya. Tapi saya tengok dia macam tak sudi je bertunang dengan saya. Mungkin sebab saya ni bukan taste dia kot. Tapi tak apalah, saya okey je. Bila dah nikah nanti confirm dia jatuh cinta dengan saya…” belum tamat lagi ceritanya, sudah dipotong oleh Farah.
“Awak ni cerita pasal diri awak atau menyindir saya sebenarnya? Dahlah intro macam dalam biodata,” ujar Farah.
“Saya cerita kisah hidup sayalah ni. Mana ada saya menyindir awak. Tak tahulah pula awak terasa,” selamba Tariq membalas.
“Eee, geramnya!” Farah sudah menarik-narik bajunya melepaskan geram.
“Awak geram tengok muka saya yang handsome ni ke?” usik Tariq.
“Jangan nak perasan sangatlah kan,” Farah menjulingkan matanya.
“Berjaya juga akhirnya,” kata Tariq pula
“Apa yang berjaya?” soal Farah. Pelik dengan kata-kata Tariq.
“Saya berjaya buat awak cakap, saya berjaya buat awak marah dan saya berjaya buat awak tunjukkan diri awak yang sebenar. Awak tak nak ucap tahniah kat saya ke?” pantas Tariq membalas pertanyaan Farah.
“Hahaha! Awak ni kelakarlah. Takkan tu pun nak ucap tahniah kot. Merepek jelah. Macam budak kecik,” Farah mengomel.
“Well! Saya berjaya buat awak ketawa juga,” keningnya diangkat.
“Err, awak ni manusia yang licik. Tapi boleh saya tahu apa motif awak buat macam ni?” tanya Farah lagi.
“Sebab saya nak kenal awaklah. Kalau nak tunggu awak cerita entah sampai bila,” Tariq mengenyit matanya.
“Awak ni peliklah. Anyway saya nak tegakkan kebenaran,” Farah buat-buat tidak nampak apabila Tariq mengenyit mata kepadanya.
“Kebenaran apakah?” nada suara Tariq sudah berubah. Dahinya digaru.
“Tadi awak cakap saya ni tak sudi bertunang dengan awak. Lepas tu awak kata mungkin awak bukan taste saya. Kalau awak nak tahu perkara yang sebenar kenalah tunggu lepas akad nikah. Nanti saya jelaskan pada awak,” lancar Farah berkata.
“Tadi awak kata nak tegakkan kebenaran?” kali ini Tariq menggaru kepalanya pula.
“Saja je nak buat ayat gempak. Lagipun tak syoklah cakap sekarang. Saya pun belum kenal awak dengan sepenuhnya,” jawab Farah dengan senyuman penuh makna.
“My first impression, awak ni memang nakal. Plus suka membebel mungkin,” giliran Tariq pula tersenyum.
“Okey, saya rasa cukuplah untuk hari ni. Lain kali masih boleh berkenalan lagi kan. Jom masuk,” ajak Farah. Kali ini dia memainkan peranannya sebagai cik puan rumah.
“Ya cik tunang. Nanti final exam buat elok-elok ya,” ujar Tariq sambil melangkah masuk ke dalam rumah diiringi Farah.
Dia melabuhkan punggung di sebelah Daniel. Ahli keluarga yang lain pun mula keluar dari ruang berehat. Dania dan Farah pula menuju ke dapur. Mereka ingin membantu Puan Junaidah yang sedang sibuk menyediakan hidangan untuk dijamu kepada tetamu.
Share this novel