5.
Sampai sahaja di Restoran Bayu, Fahmi segera memesan makanan. Farah hanya membiarkan Fahmi memilih menu. Dia tiada hati hendak menikmati makan tengah hari. Kalaulah Fahmi tiada di hadapannya, pasti selera makannya tidak terbantut.
“Kenapa awak ajak saya makan tengah hari dengan awak?” Farah tidak sabar. Dia malas hendak berlama-lama dengan Fahmi.
“Aik, takkan nak lunch dengan you pun tak boleh?” Fahmi sengaja menguji kesabaran Farah.
“Bukan tak boleh. Cuma pelik,” perlahan sahaja suara Farah.
“Tak ada apa yang peliklah,” biasa sahaja intonasi suara Fahmi.
“Saya tahu awak ada sesuatu nak cakap dengan saya,” Farah melihat-lihat wajah Fahmi. Tetapi air muka Fahmi kelihatan biasa sahaja.
“Okey, tak guna I berselindung lagi.” Dia senyum ketika meluahkan bicara.
“So cakaplah apa yang awak nak cakap,” Farah memberi kebenaran.
“Tak lama lagi final exam. Lepas tu kita akan graduate. You dah fikir ke nak kerja kat mana?” tanya Fahmi.
Hendak terjatuh rahang Farah mendengar soalan Fahmi. Soalan tu je ke yang dia nak tanya. Buang masa betullah. Macam tak ada waktu lain je. Bukannya nak graduate esok pun. Masih ada beberapa bulan lagi.
“Dah!” pendek sahaja jawapan Farah.
“So you nak kerja kat mana?” tanya Fahmi lagi.
“Dekat syarikat ayah sayalah,” Farah menjawab polos.
“Kenapa? You tak nak cuba kerja kat syarikat lain ke? Kalau you nak, I boleh suruh papa I simpankan jawatan untuk you.” Dia tersenyum-senyum.
Farah hanya mampu menelan liur. Sekarang dia faham apa agenda sebenar Fahmi. Rupa-rupanya dia mahu bekerja sebumbung dengan Farah. Patutlah beria-ia tanya. Lelaki ini memang tak pernah faham atau pura-pura tak faham. Farah lagi mahu menjauhkan diri adalah.
“Terima kasih jelah. Ayah saya suruh saya bekerja dengan dia,” Farah memberi alasan kukuh untuk mengelak.
“Tak nak cari pengalaman dulu ke?” Fahmi seolah-olah mendesak.
“Kakak saya dah bekerja di syarikat Marmara Trading Sdn.Bhd. So ayah saya memang mengharapkan saya,” yakin sahaja dia membalas pertanyaan Fahmi.
Sengaja Farah berkata sebegitu. Walhal kakaknya bekerja di Marmara Trading Sdn.Bhd hanya untuk sementara waktu. Katanya hendak mencari pengalaman sebelum berkhidmat di syarikat ayah. Tidak lama lagi pasti kakaknya akan meletakkan jawatan dan mula bekerja di syarikat milik keluarga mereka.
“Kalau macam tu tak apalah. Tapi kalau you berubah fikiran jangan segan-segan beritahu I,” nada suaranya mengendur.
Farah tersenyum mendengar kata-kata Fahmi. Memang taklah dia hendak berubah fikiran. Kalau ya pun, tidak mungkin dia memilih untuk bekerja dengan Fahmi. Sedaya upaya dia cuba untuk mengelak, takkanlah dia hendak menyerah diri pula nanti.
“Okey! Tengoklah macam mana nanti,” Farah menjawab sekadar menjaga hati Fahmi.
Geram macam mana pun, dia masih punya budi bahasa. Itulah peribadi Farah Tasneem yang sebenar. Kerana itu jugalah dia dihormati. Mereka meneruskan perbualan mengenai hal-hal di kolej. Saat ini, Farah benar-benar berharap masa cepat berlalu. Dia ingin segera pulang.
Share this novel