Bab 11

Romance Series 16202

11

Usia perkahwinan Farah dan Tariq baru sahaja lima bulan. Tetapi mereka sudah mula selesa hidup berdua. Farah sudah mula bekerja di syarikat ayahnya. Pengetahuannya sepanjang menuntut dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaya dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Tariq pula semakin sibuk namun itu tidak menghalang hubungan mereka. Bunga-bunga cinta yang semakin mekar dibajai dengan penuh kasih sayang. Tidak ada istilah kekurangan waktu dalam kamus hidup mereka. Lebih-lebih lagi Farah sedang hamil anak sulung mereka. Jadi Tariq sentiasa mengambil berat keadaan isterinya.

Namun ketika ini Tariq masih belum pulang lagi meskipun azan maghrib sudah berkumandang. Bukan dia tidak pernah pulang lewat tetapi selalunya dia akan memberitahu Farah terlebih dahulu agar tidak menunggunya. Dan paling lewat pun dia pernah balik ialah jam 6.30 petang.

Berlainan dengan hari ini. Jangankan telefon, mesej pun tiada. Bila Farah call memang ada yang menjawab. Tapi bukan Tariq sebaliknya operator. Farah sudah mula rasa tidak sedap hati. Bagaikan ada sesuatu yang akan berlaku.

****

Di satu sudut, Tariq berusaha melepaskan ikatan di kedua belah tangannya. Malah kakinya juga terikat. Dia tidak ubah seperti seorang tebusan yang menunggu untuk diselamatkan seseorang. Tetapi adakah yang sudi menyelamatkannya.

Seorang lelaki berkaca mata hitam masuk ke dalam bilik itu dan berhenti di hadapannya. Lagaknya seperti anak orang kaya. Tariq memandang lelaki itu dengan pelik. Tidak mungkin lelaki di hadapannya ini ingin meminta wang. Pasti ada hal lain yang melibatkan dirinya.

“Kau siapa?” tanya Tariq sambil memandang lelaki itu. Dia seperti pernah melihat wajah itu tetapi dia tidak ingat di mana.

“Aku siapa? Kau patut tahu. Takkan Farah tak pernah bagitahu kau?” tanya Fahmi dengan angkuh.

“Aku macam pernah nampak kau tapi aku tak ingat. Dan apa kaitan dengan Farah pula?” pelik Tariq mendengar soalan lelaki itu.

“Aku Fahmi, bekas kekasih Farah. Mungkin kau akan ingat kalau aku cakap pasal kejadian pada hari akad nikah kau,” tajam mata Fahmi merenung Tariq. Seperti hendak ditelan sahaja gayanya.

“Kau yang nak langgar aku tu kan? Apa yang kau nak sebenarnya? Aku tak percaya kau ni bekas kekasih Farah. Aku yakin dia tak pernah ada hubungan dengan kau,” bentak Tariq secara tiba-tiba. Kemudian cepat-cepat dia beristighfar.

“Aku tak suruh kau percaya pun, hahaha!” Fahmi berkata seperti orang gila. Dia mencangkung di hadapan Tariq.

“Farah tak jadi kekasih aku sebab kau! Kau yang menghancurkan segala harapan aku untuk memiliki dia,” sambung Fahmi sambil menarik kolar baju Tariq.

“Mungkin kau dah lupa qada’ dan qadar yang telah ditetapkan Allah sejak azali lagi,” balas Tariq dengan tenang.

“Kau tak payah nak berceramah kat akulah wei. Sekarang ni aku nak buat perhitungan dengan kau,” gertak Fahmi.

“Perhitungan apa?” soal Tariq pula.

“Ceraikan Farah atau nyawa kau aku ambil,” jawab Fahmi sambil mencerlungkan matanya.

“Untuk apa aku ceraikan Farah sedangkan aku yakin hanya Allah yang berhak mengambil nyawa aku? Farah itu isteri aku. Malah dia sedang mengandungkan anak aku,” Tariq kelihatan tenang sekali.

“Ada aku kisah? Tak ada masalah pun kan kalau kau ceraikan dia,” balas Fahmi pula.

“Tak ada masalah kau kata? Kalau aku ceraikan dia siapa nak jaga? Selagi dia belum bersalin, selagi tu kau tak boleh kahwin dengan dia. Macam mana pula kau nak jaga? Dan lagi satu. Aku percaya kau tetap akan bunuh aku walaupun aku ceraikan dia,” pantas Tariq menjawab kata-kata Fahmi.

Fahmi meneguk air liurnya. Tiba-tiba dia berasa Tariq bukan calang-calang orang. Kata-katanya cukup tenang walaupun sudah berada di ambang maut. Dan paling dia tidak sangka, Tariq seolah-olah dapat menghidu rancangannya.

“Kau ni manusia yang licik,” suara Fahmi kendur sedikit.

Tapi bagi Tariq perkataan licik itu hanya membuatkannya berasa sedih. Perkataan itu pernah digunakan Farah untuk menggambarkan peribadinya. Sungguh dia risau bila memikirkan Farah. Pasti isterinya itu sedang ternanti-nanti kepulangannya.

“Walau apa pun yang terjadi aku tetap takkan ceraikan isteri aku. Aku redha kalau aku mati di tangan kau sekali pun sebab aku yakin janji Allah itu pasti. Biarlah aku mati sebagai suami kepada seorang wanita bernama Farah Tasneem,” Tariq membalas kata –kata Fahmi sambil mencuba untuk bertenang.

“Kau memang sengaja cari pasal. Kudin, uruskan dia secepat yang mungkin. Kalau dah sudah panggil aku,” Fahmi sempat merenung tajam kepada Tariq sebelum berlalu pergi.

“Baik bos,” jawab Kudin.

Belum sempat Kudin menarik picu pistol Fahmi sudah berlari masuk. Dia kelihatan kelam kabut. Kudin pelik melihat kelakuan bosnya.

“Kenapa bos? Macam nampak hantu je,” celupar sungguh mulut Kudin.

“Aku tak takut hantulah. Masalahnya sekarang polis sedang menuju ke sini,” tercungap-cungap Fahmi menjawab.

“Aa, po…po…polis?” terketar-ketar suara Kudin. Dia kelihatan takut sekali sehinggakan pistol yang berada di tangannya terjatuh.

Pintu bilik dirempuh daripada luar. Fahmi segera mendapatkan Tariq. Apabila pintu berjaya dibuka, beberapa anggota polis melangkah masuk secara perlahan-lahan. Mereka mengacukan pistol ke arah Fahmi dan Kudin.

“Turunkan senjata. Angkat tangan dan jangan bergerak!” tempik salah seorang anggota polis.

“Jangan dekat. Kalau tak lelaki ni aku bunuh,” tengking Fahmi pula. Dia masih memegang pistol dengan erat.

“Encik, bawa bertenang. Okey baiklah kami tak dekat. Sekarang encik lepaskan lelaki itu,” seorang anggota polis cuba menenangkan keadaan. Sambil itu dia mengarahkan angoote polis yang lain berganjak ke belakang sedikit.

Serentak dengan itu Fahmi segera menarik picu pistol. Kedengaran bunyi dua das tembakan. Segalanya berlaku dengan pantas. Tariq sudah menggelupur, manakala Fahmi rebah di atas lantai. Rupa-rupanya ada seorang penembak tepat telah menyusup masuk dan menembak Fahmi. Kudin pula cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas.

“Inspektor, tebusan dah meninggal. Tapi lelaki ni masih hidup. Cuma dia tidak sedarkan diri,” ujar seorang anggota polis setelah memeriksa nadi Tariq dan Fahmi.

“Panggil ambulans cepat. Dan cari apa-apa yang berkaitan dengan mangsa ni,” arah inspektor itu sambil menunjuk ke arah Tariq.

“Baik tuan,” polis itu mengangkat tabik hormat.

Lagu Empty Decorations yang berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Farah yang sedang memasak segera mendapatkan telefon bimbitnya. Dia tersenyum lega saat melihat nama Tariq tertera di skrin.

“Assalamualaikum, abang kat mana ni? Puas Farah call tadi, abang tak angkat pun. Mesej pun abang tak balas,” nadanya seperti merajuk sahaja.

“Waalaikumussalam. Maaf puan, saya ada berita penting nak diberitahu. Nama suami puan Tariq Farihan kan?” formal sekali polis itu berkata.

“Err, ya saya isteri dia. Berita apa yang penting sangat tu?” jantung Farah sudah berdebar laju.

“Suami puan dah meninggal dunia akibat ditembak. Puan boleh mengecam mayat suami puan di Hospital Serdang,” berhati-hati sekali suara itu menuturkan ayat.

Tersentap Farah mendengar perkhabaran itu. Mujur sahaja dia sedang duduk. Jika tidak pasti dia sudah terjelepok. Perlahan-lahan air mata mengalir membasahi pipinya. Dia tidak percaya suaminya telah meninggal. Dia yakin Tariq Farihan belum meninggal. Dengan segera dia mencapai tudung. Dia ingin segera sampai di Hospital Serdang. Dia ingin membuktikan bahawa polis itu tersalah memberi maklumat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience