6
“Ibu, adik dah balik!” Farah melaung dari ruang tamu,
“Assalamualaikum adik,” perli Puan Junaidah.
“Waalaikumussalam ibu, hehe!” Farah tersengih-sengih.
Selalunya dia yang perli orang sebab tak bagi salam. Hari ini dia pula yang kena. Nasib baik dengan ibu. Kalau dengan orang lain bikin malu je.
“Kenapa balik lambat?” Puan Junaidah bertanya.
“Tadi adik lunch kawan. Ibu masak apa?” Farah mengalih topik perbualan.
Dia bimbang jika Puan Junaidah bertanya siapa gerangan kawannya itu. Takkan hendak mengaku dia keluar makan dengan Fahmi. Tak memasal je kalau Puan Junaidah fikir dia ada apa-apa hubungan dengan Fahmi. Nak menipu jatuh derhaka pula nanti.
“Ibu masak ayam goreng berempah, tempe masak lemak cili api dengan sawi goreng je. Adik nak makan ke?” tanya Puan Junaidah.
Terbuka selera Farah. Tadi dia makan chicken chop sedikit sahaja. Padahal itu merupakan salah satu makanan kegemarannya. Semua gara-gara Fahmi.
“Nak! Sedap tu ibu masak,” puji Farah.
“Pergi tukar baju tu dulu. Solat dulu kalau belum solat lagi. Nanti dah siap baru turun makan,” suruh Puan Junaidah.
“Baik ibu!” Farah menurut sahaja. Dia harus tunaikan kewajipannya dengan segera.
Selesai sahaja memunaikan solah Dzuhur, Farah turun ke bawah. Dia mencari-cari Puan Junaidah. Farah ingin mengajak ibunya makan bersama-sama.
“Ibu, ada kat mana tu?” Farah sedikit menjerit.
“Ya sayang, ibu ada kat sini. Kenapa?” Puan Junaidah mengerutkan dahinya.
“Jom makan dengan adik,” Farah mengajak.
“Tadi ibu dah makan dengan ayah,” balas Puan Junaidah.
“Kalau macam tu, temankan adik makan. Tak bestlah makan sorang-sorang,” tersengih-sengih Farah. Persis kerang wangi sahaja rupanya.
“Iyalah, ibu temankan. Jom!” Puan Junaidah melangkah ke dapur.
Farah mengikut dari belakang. Manja sungguh dia dengan ibunya. Kalau Dania nampak ni, pasti dia cemburu. Umur sahaja sudah besar panjang, tapi perangai masing-masing mengalahkan budak kecil.
“Kakak ada cakap tak dia balik pukul berapa?” tiba-tiba sahaja Farah teringatkan kakaknya itu.
“Tak ada pula. Balik macam biasalah kot. Kenapa tiba-tiba tanya?” pelik Puan Junaidah dengan anaknya yang seorang ni.
“Saja tanya. Kalau dia balik awal, ingat nak ajak pergi tengok wayang. Nanti main ajak je, manalah tahu dia penat. Takkan nak tinggalkan dia sorang-sorang,” jelas Farah.
“Amboi, adik tak ada kelas ke esok? Kalau nak tengok wayang tunggulah hujung minggu. Kakak tu banyak kerja. Kalau balik awal pun penat juga,” balas Puan Junaidah.
“Hujung minggu? Adik on je. Bagitahu ayah jangan pergi mana-mana tau. Dah lama kita tak keluar sama-sama. Selalunya yang keluar adik dengan akak je,” manja sahaja suara Farah.
“Yalah, nanti ibu cakap dengan ayah. Adik nak tengok cerita apa sebenarnya?” sengaja Puan Junaidah bertanya.
“The Rise of the Guardians, hehe!” Farah tersenyum menampakkan giginya.
“Ingatkan nak tengok cerita Istanbul Aku Datang!” Puan Junaidah membalas.
“Tu pun nak tengok juga,” pantas Farah menjawab.
“Amboi tamak. Semua dia nak tengok,” Puan Junaidah mencebik bibir. Farah ketawa sambil menekup mulutnya.
Share this novel