BAB 1

Family Completed 1061

AKU sedang asyik bermain guli bersama adik-adikku, Ilham danZahid di halaman rumah. Manakala ibu pula begitu khusyuk menyapu dedaun kering yang sudah mula menutupi tanah. Sudah seminggu aku tidak melihat ibu menyapu dedaun kering itu. Mungkin kerana letih atau kurang sihat, aku sendiri tidak pasti.

Tiba- tiba perhatianku terhadap permainan kami tiga beradik terganggu. Suara Kak Rima, jiran sebelah rumah kami menjerit memanggil nama ibu begitu kuat menyapa pendengaranku. Aku berpaling. Jelas, sosok tubuh Kak Rima sedang berjalan pantas menghampiri ibu sambil tersenyum. Senyuman yang aku rasakan dibuat-buat dan tidak ikhlas. Aku menjadi tidak sedap hati lalu berdebar-debar sendiri. Bimbang dengan cerita yang bakal keluar dari mulut Kak Rima. Cerita kurang enak yang selalu menganggu emosi ibu dan juga emosiku sendiri.

Teguran adik-adikku agar aku meneruskan permainan yang telah tergendala tidak aku hiraukan. Aku hanya berdiam diri sambil memasang telinga, cuba mencuri dengar perbualan antara Kak Rima dan juga ibu. Mataku pula tetap setia memandang kedua-dua mereka.

“Ha… Alia, kau dah pergi sekolah ke, belum?” tanya Kak Rima. Senyuman tidak ikhlas masih lagi menghiasi wajah wanita yang hampir sebaya dengan ibuku.

“Dah… kenapa?” soal ibu sambil tersenyum tawar. Mungkin kerana ibu sudah dapat mengagak maksud kedatangan Kak Rima yang sememangnya terkenal dengan sikapnya yang suka membanding-bandingkan kepandaian anaknya Syafiq dengan anak-anak orang kampung.

“Macam mana dengan keputusan UPSR Ikram? Lulus tak? Berapa A yang dia dapat?” Tanya Kak Rima lagi. Lagaknya sudah seperti pegawai polis yang sedang menjalankan tugas menyoal siasat pesalah. “Atau… gagal? Yalah…Ikram tu, kan tak berapa nak cerdik. Pendek kata lembab!”

Pap! Aku berasa tertampar dengan kata- kata Kak Rima. Kak Rima memang kejam! Tidak pernah langsung berfikir tentang perasaan orang lain. Pantas wajah ibu aku perhatikan. Ibu bersedih! Semuanya jelas tergambar di sebalik hambar senyuman. Redup sinar mata ibu juga sudah cukup untuk menjelaskan segalanya walau ibu cuba bertenang sebaik mungkin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience