BAB 4

Family Completed 1061

Aku akui yang aku bukanlah seorang murid yang cemerlang dalam pelajaran. Antara aku dan Syafiq terlalu jauh berbeza. Tetapi aku bukanlah seorang anak yang lembab dan bodoh! Aku hanya malas belajar dan lebih banyak bermain. Kalau mengulangkaji pelajaran pun hanya sekadar melepaskan batok di tangga. Tidak ada kesungguhan langsung untuk meraih kejayaan. Aku alpa tentang tanggungjawab yang harus kupikul sebagai seorang anak yang paling tua antara kami tiga beradik. Aku cuai dalam menunjukkan tauladan yang baik kepada adik-adikku. Dan untuk itu, aku benar-benar menyesal kini.

Tidak tahan dengan rasa bersalah yang semakin bertambah, pantas aku berdiri lalu menapak laju menuju ke bilik ibu. Bilik tempat ibu tidur bersendirian setelah kematian ayahku dua tahun yang lalu. Pintu bilik kutolak perlahan. Aku terkaku di situ!

“Ya Allah, Tuhan yang Maha Pemurah dan maha Pemberi Rahmat, Kau berikanlah kekuatan untukku menghadapi segala ujian-Mu. Berikanlah cahaya keimanan dan kebijaksanaan kepada anak-anakku. Jadikanlah mereka manusia yang Berjaya di dunia dan di akhirat. Terangkanlah hati mereka untuk menerima sedikit dari ilmu-Mu yang Maha Luas agar mereka boleh mengharungi segala ujian dan cabaran yang mendatang. Jadikanlah mereka manusia yang tenang dan berjiwa besar serta dapat berbakti di jalan-Mu. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim… hanya kepada-Mu lah tempat aku meminta dan bergantung harap. Tidak ada Tuhan selain-Mu, Ya Allah. Amin ya rabbal alamin,” doa ibu lalu kedua-dua tangannya diraup ke wajah.

Tanpa sedar, air mataku mengalir menuruni pipi. Aku cukup tersentuh dengan doa ibu yang tulus dan bersungguh-sungguh. Betapa dalamnya kasih ibu untuk aku dan adik-adikku. Semakin sesak dadaku akibat rasa menyesal kerana telah mengabaikan tanggungjawab yang terpikul di pundakku. Tanggungjawab yang Allah berikan kepadaku sebagai seorang anak dan lelaki yang bakal menjadi pemimpin kepada keluargaku. Aku menyesal Ya Allah, aku menyesal!

“Ikram, kenapa berdiri di situ? Masuklah,” tegur ibu sebaik menyedari kehadiranku di muka pintu biliknya. Aku tersentak lalu wajah lembut ibu yang masih bertelekung kutatap. Sesaat kemudian, aku menghampiri ibu. Tangan ibu kugapai lalu kucium berkali-kali. Air mataku pula masih setia menuruni pipi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience