BAB 9

Family Completed 1061

“Hmm… Ikram, akak sebenarnya nak minta maaf atas kelancangan mulut akak mengata Ikram dan ibu Ikram. Akak menyesal!” Bergetar suara Kak Rima mengucapkan kata-kata maaf. Wajah ibu dan wajahku dipandang silih berganti. Air mata Kak Rima jelas kelihatan bertakung di tubir mata.

“Benda dah lepas Kak Rima. Tak usahlah dikenang lagi.” Timbul rasa simpati di hatiku untuk wanita itu. Serentak itu kulihat ibu mengangguk-angguk tanda setuju dengan kata-kataku.

“Akak sedar kesilapan akak. Sebagai manusia akak lupa yang Allah itu lebih berkuasa atas segalanya. Akak lupa yang bila-bila masa sahaja Allah boleh menarik balik segala anugerah yang Dia telah berikan kepada akak. Selama ini akan suka mendabik dada terhadap kepandaian yang Syafiq miliki. Akhirnya, tengoklah sekarang… Syafiq dah buat kesalahan yang besar.” Semakin kuat getaran suara Kak Rima. Air mata menyesal dan sedih sudah mengalir deras membasahi pipinya. Hilang senyuman angkuh yang menghiasi wajah Kak Rima selama ini. Sungguh besar kuasa Allah dalam mengatur perjalanan hidup setiap hamba-Nya.

“Sudahlah tu Rima. Banyak-banyaklah bersabar. Semua tu ujian dari Allah. Insha-Allah, pasti ada jalan penyelesaiannya.” Ibu cuba memujuk Kak Rima yang sudah menangis teresak-esak. Ibu bangkit dari duduknya lalu menghampiri Kak Rima. Bahu Kak Rima ditepuk-tepuk lembut.

Itulah ibuku, wanita yang sentiasa lembut tutur bicaranya walau kepada orang yang telah menjatuh dan menyakitkan hatinya. Ibu langsung tidak menyimpan dendam terhadap Kak Rima. Sungguh aku bangga dengan ibuku!

“Itulah dia karma, kan Alia? Dulu aku mengata kau, dan sekarang aku pulak yang merasanya.” Kedengan sayu suara Kak Rima menyatakan kekesalan diatas keterlanjuran sikapnya selama ini.

Aku memandang Kak Rima yang sedang ditenangkan oleh ibu. ManakalaZahid hanya berdiam diri, hanya senyap menjadi pemerhati. Hatiku turut berasa sedih dengan masalah yang sedang menimpa keluarga wanita itu. Simpatiku melimpah ruah.

“Saya dah lama maafkan akak. Malah saya patut berterima kasih pada akak kerana telah menyedarkan saya tentang tanggungjawab yang harus saya pikul. Kesedaran yang telah membawa perubahan besar dalam diri saya,” kataku dengan penuh yakin.

Ya, aku patut berterima kasih kepada Kak Rima kerana telah melontarkan kata-kata yang membuatkan aku sedar akan kelekaan diriku. Tidak ada lagi dendam. Tidak ada lagi marah terhadap Kak Rima. Sesungguhnya manusia tidak akan lepas dari melakukan kesilapan. Tanpa kesilapan, manusia bukanlah manusia. Dan tanpa kesilapan juga, manusia tidak akan dapat memperbaiki diri untuk masa hadapan yang lebih sempurna. Cuma, jangan jadikan kesilapan sebagai alasan untuk kita terus bergelumang dengan dosa dan maksiat. Apalagi jika kesilapan itu dijadikan alasan untuk kita terus bersedih dan menyalahkan diri sendiri.

Berdoa dan berusahalah untuk memperbaiki diri agar menjadi lebih baik dari semalam. Bahagiakanlah ibu yang telah melahir dan membesarkan kita. Doa ibu adalah sebaik-baik doa untuk seorang anak berjaya di dalam hidup. Tanpa doa ibu keberkatan pasti sukar menghampiri langkah kita seharian kerana doa ibu tiada hijabnya. Insha-Allah!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience