BAB 2

Romance Completed 17293

Menu makanan yang aku berkira-kira mahu order tadi hilang entah ke mana. Sudahnya, aku terkebil-kebil memandang manusia di hadapanku itu. Dia pula membuat muka pelik, seolah-olah menunggu responsku.

Apa yang dia tanya tadi? Sedaya upaya aku cuba mengingati kembali tapi tiada pula soalan daripadanya dalam kotak memori aku ini. Yang ada, hanyalah persoalan aku sendiri. Siapa lelaki ini?

Melihat keadaan itu, lelaki itu tersenyum. Entah mengapa senyuman itu kelihatan menawan di mataku. Sikit je, ye. Dia mengulangi semula soalannya tadi. Oh, dia tanya aku mahu order makanan apa rupanya. Secara spontan, kami sama-sama tergelak.

Aduh, malunya aku! Mesti dia ingat aku tangkap syok kat dia. Walaupun secara jujurnya, aku suka memandang raut wajahnya yang bersih itu. Cepat-cepat aku memberitahu makanan yang aku ingin tempah dan mengucapkan maaf atas apa yang berlaku.

Dia cuma menggeleng sambil berkata tidak mengapa. Kerana rasa ingin tahu, aku cuba bertanya siapa dirinya kerana tidak pernah aku lihat dia di kedai itu. Hujan yang lebat memaksa aku menguatkan sedikit suaraku tapi tidak terdengar olehnya.

Lalu, dia mendekatkan wajahnya sedikit kepada wajahku menyebabkan aku sedikit berundur ke belakang kerana terkejut akan tindakannya itu. Aku ulangi soalanku tadi tapi mengapa mataku memandang ke arah lain sedangkan mulutku bergerak bertanya kepadanya? Adakah aku malu dengannya?

Dia yang sedar akan tindakannya itu, cepat-cepat menjauhkan wajahnya daripadaku dan sibuk menulis sesuatu di buku nota kecil yang ada di atas meja kaunter itu. Mukanya sedikit merah. Dia malu ke?

Namun, dia tetap memberitahuku yang dia anak saudara kepada tuan empunya kedai makan itu. Tak tahu pula aku Kak Kinah ada anak saudara yang hensem begini. Eh, apa yang aku mengarut ni?

Cepat-cepat aku meminta diri untuk menunggu makanan siap di satu meja makan yang kosong di situ. Kadang-kadang mata aku nakal mencuri pandang lelaki itu.

Entah mengapa, aku rasa ingin menatap wajahnya. Dia yang sedang sibuk melayan pelanggan lain, memberi peluang kepadaku untuk menatapnya lebih lama. Sukar untuk aku terangkan.

Dia tidaklah sekacak mana tapi boleh di kategorikan sebagai lelaki yang mempunyai wajah yang menarik. Satu tarikan yang ada padanya yang membuatku ingin terus memandang wajah itu adalah lesung pipit di pipi kirinya.

Nampak ‘sweet’ sangat lebih-lebih lagi bila dia menguntumkan senyuman. ‘Hmm, lelaki sepertinya sudah tentu dah ada awek. Mesti awek dia cun, kan.’ Tekaku dalam hati. Entah bagaimana, pandangan kami bersatu. Jantungku berdebar dengan tiba-tiba.

Dengan pantas aku melarikan pandangan, berpura-pura menonton televisyen di hadapan seolah-olah ada cerita menarik yang di tayangkan. Padahal iklan pencuci pinggan mangkuk yang tertera di kaca televisyen ketika itu.

Tak kisahlah, janji rasa debaran yang aku rasakan ketika ini hilang dan dia tidak perasan yang aku asyik memandangnya selama itu. Akhirnya makanan yang aku tempah siap selepas beberapa lama menunggu.

Kali ini, aku cuba tidak memandangnya, berpura-pura menganggap tiada apa yang berlaku. Hakikatnya, aku benar-benar gementar! Dia juga bersikap biasa, membuatkan aku berasa lega.

Tiba-tiba sahaja, salah seorang pekerja lama di kedai makan itu yang aku dan kawan-kawanku memanggilnya sebagai Abang Mat menepuk bahu lelaki itu. Terkejut lelaki itu di buatnya. Begitu juga denganku. Abang Mat terus tergelak melihat reaksi kami berdua.

“Abang Mat!” aku menjerit geram ke arah Abang Mat yang ku lihat makin galak ketawa. Lelaki muda itu memandangku seketika. Dapat aku rasakan matanya padaku. Mungkin terkejut dengan jeritan kecilku terhadap Abang Mat.

“Sori, sori. Abang rasa lawak sangat reaksi korang tadi,” dan dia masih ketawa walaupun tidak sekuat tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience