BAB 5

Romance Completed 17293

Mungkin, aku dah jatuh hati padanya? Oh, tak mungkin! Jadi mengapa aku rasa sedih dan kecewa? Aku benar-benar tidak faham dengan diriku ini.

“Lama tak nampak?” Tegur satu suara. Terus aku memandang empunya suara. Dia!

“Sibuk sikit sekarang. Biasalah, dan nak habis sem kan,” aku cuba menjawab seramah yang mungkin.

Senyuman yang aku berikan, aku sendiri tidak tahu bagaimana rupanya. Sebab aku benar-benar rasa kekok waktu itu. Dia cuma mengangguk mendengar jawapanku. Mana si Yanie ni? Janji nak makan sama kat sini.

Menyesal aku setuju cadangan dia. Ingatkan dia dengan Si Epol dah ada kat kedai makan ni. Tengok-tengok aku yang tiba dulu. Tiba-tiba, dia menarik kerusi yang bertentangan denganku dan mengambil tempat di situ.

Habislah aku! Aku memandangnya. Buat-buat hairan dengan kelakuannya. Dia seperti teragak-agak untuk mengeluarkan kata. Kenapa dengan dia ni?

“Er, awak. Boleh tolong saya tak?” Tanya dia selepas teragak-agak seketika.

“Tengok pada macam mana masalah itu. Kalau saya boleh tolong, saya tolong. Kalau tak, saya minta maaflah,” jawabku. Dia tersenyum kecil. Aku cepat-cepat memandang ke tempat lain. Janganlah senyum begitu, cair aku di buatnya.

“Jangan risau. Pertolongan yang saya perlukan tu taklah berat sangat tapi benar-benar penting bagi saya. Awak tunggu sini sekejap, ye.” Dia bingkas bangun dan berlalu masuk ke dapur tanpa aku sempat berkata apa-apa.

Pertolongan yang bagaimana dia mahukan? Kebetulan, mesej si Yanie aku terima selepas beberapa saat lelaki itu berlalu pergi. Katanya, dia minta maaf sebab tak dapat makan bersama malam tu. Si Epol merajuk, kenalah dia pujuk. Aduh Epol! Time-time ni jugalah perangai manja miang kau yang mengalahkan manja si Fisya tu timbul!

Habis, macam mana dengan aku? Aku mengurut perlahan kepalaku yang tiba-tiba mula berdenyut. Bila-bila masa saja migrain aku boleh datang menyerang kalau begini gayanya.

Mataku menangkap kelibat lelaki tersebut yang sedang menuju ke arahku sambil menatang sesuatu. Aku tertanya-tanya apakah yang dia ingin cuba lakukan sebenarnya. Dia meletakkan benda yang dia bawa sekejap tadi di atas mejaku. Oh, makanan rupanya. Ingatkan apa tadi. Tapi, bila pula aku buat pesanan?

“Makanlah.” Lelaki di hadapanku mempelawa.

“Tapi, saya tak pesan apa-apa lagi.”

“Jangan risau. Yang ni, saya belanja. Makanlah.” Paksanya. Teragak-agak aku mencapai sudu dan mengambil sedikit nasi goreng tomyam yang dia hidangkan kepadaku lalu kusuapkan ke dalam mulut.

Beberapa seketika, aku terbatuk kecil. Nasi goreng itu pedas sungguh! Aku pula yang sememangnya tak tahan makan masakan pedas terus terbatuk. Merah mukaku di buatnya. Cepat-cepat aku capai gelas minuman yang di hulurkan oleh lelaki itu dan terus meminumnya.

“Awak, awak okey ke?” Resah suara itu bertanya.

“Saya… saya okey je. Cuma saya tak boleh tahan pedas sangat,” jujurku. Aku menarik beberapa helai tisu dan mengesat mulutku. Rasa pedas masih lagi aku rasa. Lalu, aku menghabiskan air minuman yang masih berbaki dari gelas yang aku minum tadi.

“Sepatutnya saya tanya dulu sama ada awak suka pedas ke tak. Saya minta maaf sangat-sangat!” bersungguh benar dia meminta maaf dariku. Kesian pula aku tengok wajahnya yang jelas rasa bersalah itu. Dua kali tengok comel pula rasanya!

“Takpe, bukan salah awak pun. Tapi kenapa awak tiba-tiba belanja saya makan?” Tanyaku.

“Sebenarnya, saya nak tahu komen awak tentang rasa nasi goreng ni,” malu-malu pula lelaki di hadapanku menjawab.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience