“Niza! Keluar kau! Keluar!”jerit Asri. Niza melihat menerusi bilahan daun. Tiba-tiba mata Asri tertancap ke arahnya. Jantunh Niza terasa terhenti. Dia segera menyembunyikan diri. Derap kaki Asri semakin jelas kedengaran. Niza menekup mulutnya. Nafasnya turun naik sehingga menimbulkan esakan seperti tangisan. Sungguh benar dia berasa takut. Bayangan ajal seakan-akan menari dengan rentak yang menakutkan.
Asri menderam sambil mendekati Niza. Dia menerpa ke kawasan penyembunyian Niza tetapi Niza tidak kelihatan di situ. Asri menderam marah. Tiba-tiba satu hayunan kayu hinggap di mukanya sehingga menyebakan Asri terpaling tetapi tidak menjatuhkannya. Niza mencampakkan kayu tersebut ke tanah dan melarikan diri. Asri menjerit marah dan mengejar Niza selaju mungkin.
Niza berlari dengan esak tangis yang bercampur baur. Asri pula mengejar di belakang dengan begitu rakus sekali. Niza berhenti di kubur yang digali tadi. Nafasnya termengah-mengah. Lantas botol yang berisi petrol dicapai lalu dicurahkan ke atas tulang tersebut sehingga habis. Niza meraba-raba poketnya lalu pemetik api dikeluarkan. Tidak semena-mena badannya ditolak kuat sehingga terpelanting jatuh. Pemetik api terpelanting jauh.
“Kau manusia bodoh! Aku makhluk yang dicipta dari api. Kau tak mampu membakar aku.”bentak Asri. Lantas tergelak dengan suara yang bercampur-campur. Niza benar-benar berasa kecut perut kala itu. Asri menghampiri dengan peyodok tergenggam kemas di tangannya.
“Kali ini kau tidak akan terlepas Niza! Aku akan pastikan kau mati!”jerit Asri. Matanya terbelalak putih melihat Niza. Niza mengesot berundur ke belakang. Tangannya tersentuh pemetik api yang terjatuh tadi. Asri semakin menghampiri. Niza berulang kali cuba menghidupkan api tetapi tidak berjaya. Asri mengangkat penyodok di tangannya setinggi mungkin. Tatkala itu,pemetik api bernyala.
“Hidup dan mati ku di tangan ALLAH.”ujar Niza lantas mencampakkan pemetik api tersebut jauh. Pemetik api tersebut jatuh tepat ke dalam kubur dan terus membakar dengan marak. Asri menjerit dengan nyaring. Dia berlari sepantas mungkin dan terjun ke dalam kubur tersebut. Lantas api yang marak tersebut membakar tubuhnya. Asri menjerit-jerit dan mengilai kesakitan. Niza berjalan mendekati kubur tersebut. Asri meronta-ronta dan menjerit kesakitan. Niza memejamkan mata dan lelehan air mata gugur ke bumi. Dia tidak sanggup melihat penderitaan rakannya meskipun tahu tubuh rakannya itu telah dirasuk oleh puaka tersebut sehingga kewarasannya terbius.
Share this novel