Bila kau duduk lepak sembang-sembang dengan kawan, selain cerita tentang perkembangan politik negara, isu semasa, stalk Instagram artis cun melecun, kereta siapa paling mengancam, aktiviti konvoi atau memancing hujung minggu, salah satu topik wajib adalah cerita mistik atau cerita hantu. Dek kerana banyak sangat input cerita seram masuk ni, maka minda ku juga ligat menulis satu kisah yang memang benar-benar terjadi di alam fiktif kepalaku.
Sedia?
Cerita pertama mengisahkan tentang sebuah rumah usang yang ditinggalkan sejak 13 tahun yang lalu. Kedudukan rumah tersebut agak terpinggir dari kesibukan kota. Dinding rumah tersebut diperbuat daripada batu dan lantainya dilapik dengan mozek bercorak motif kebungaan. Terdapat tangga kayu yang menganjur dari ruang tamu ke tingkat atas. Terdapat 4 bilik tidur iaitu dua di atas dan dua di bawah. Seluruh rumah tersebut dicat dengan warna serba putih. Jika dilihat dari luar rumah tersebut agak menyeramkan. Warna catnya telah lusuh dan ditumbuhi lumut. Akar-akar daun menjalar ke serata ruang. Di belakang rumah tersebut juga terdapat hutan tebal yang tidak terusik.
Rumah itu dibina pada tahun 1973. Pada mulanya,rumah tersebut dibina untuk didiami oleh pemiliknya itu sendiri. Namun atas faktor yang tidak diketahui,pemilik asal rumah itu telah berpindah dan rumah tersebut telah disewakan. Namun malang menimpa terhadap setiap orang yang menghuni rumah tersebut apabila semuanya akan menemui ajal dalam keadaan yang mengerikan. Akhir sekali rumah tersebut ditinggalkan begitu sahaja. Pemilik asal rumah tersebut juga enggan ambil peduli lagi terhadap rumah tersebut. Sejak rumah tersebut ditinggalkan,masyarakat setempat sering melihat kelibat satu bayangan berambut panjang dan berpakaian serba putih merayau-rayau di kawasan rumah tersebut. Selain itu,lampu di rumah tersebut juga dikatakan sering terbuka dan terpadam dengan sendiri. Pelbagai lagi peristiwa aneh yang berlaku sehingga masyarakat setempat enggan lagi berbicara mengenai rumah bernombor 13 itu. Bagi mereka,angka 13 merupakan angka keramat yang menjadi punca segala kejadian itu berlaku. Yang pasti,ramai mengaitkan angka 13 sebagai angka ‘MATI’!
Share this novel