Hujung minggu yang di nanti telah tiba. Mereka berlima telah mempersiapkan segala peralatan yang perlu bagi menjalankan aktiviti tersebut. Antara peralatan yang dibawa ialah . Segala peralatan tersebut dibeli sendiri menggunakan wang hasil kerja yang dikumpul sedikit demi sedikit. Minat yang mendalam terhadap hal berkaitan paranormal menyebabkan mereka berlima tidak kisah untuk mengeluarkan duit bagi membeli segala peralatan yang ada di antaranya mencecah harga ribuan ringgit. Sebaik segalanya telah siap,mereka berlima berangkat menuju ke destinasi dengan menaiki kereta Niza.
Mereka tiba di kawasan rumah tersebut sekitar pukul 6 petang. Sebaik memarkir kenderaan di luar rumah,mereka berlima keluar dari kereta. Asri meneliti sudut luar rumah tersebut. Sememangnya rumah tersebut agak usang dan lusuh. Hutan tebal yang berada di belakang rumah tersebut menambahkan lagi kesunyian yag sedia ada. Mereka berlima berjalan sambil membawa peralatan masing-masing masuk ke dalam rumah tersebut. Cuaca kelihatan sedikit mendung yang menandakan bila-bila masa sahaja hujan akan turun membasahi bumi. Pintu pagar luar dibuka dan bunyi besi mengeriuk jelas kedengaran. Mata masing-masing tertancap ke arah nombor 13 yang berada di bahagian atas pintu rumah. Dan seperti kebetulan juga telah 13 tahun rumah itu tidak didiami sesiapa. Lazimnya rumah yang dibiarkan kosong tidak berpenghuni dalam jangka masa yang lama akan menjadi kediaman iblis dan syaitan. Sekarang giliran pintu pagar di dalam rumah. Hafiz memberanikan diri membuka pintu rumah tersebut. Ternyata pintu rumah tersebut tidak berkunci.
Sebaik pintu rumah tersebut terkuak,angin sejuk dari dalam rumah menyapa lembut tubuh mereka berlima. Bulu roma masing-masing terasa meremang tetapi digagahkan jua menapak masuk ke dalam rumah. Keadaan dalam rumah itu sedikit gelap. Manakala barangan di dalam rumah tersebut berada dalam keadaan lengkap seolah-olah ditinggalkan begitu sahaja oleh penyewa terdahulu.
“Asri,hidupkan lampu.”arah Niza. Asri tidak menunggu lama dan menurut arahan Niza. Suasana di dalam rumah kelihatan terang benderang.
“Siapkan peralatan masing-masing. Kita berpecah sekarang ni. Kita teliti dahulu keseluruhan rumah ini. Malam nanti kita mulakan kerja.”arah Niza lagi. Serentak itu masing-masing berpecah menuju arah masing-masing. Hafiz memilih untuk menaiki tangga ke tingkat atas. Sebaik tiba di tingkat atas,matanya dililaukan ke serata ceruk. Tiada apa yang luar biasa melainkan terdapat dua bilik yang bertentangan antara satu sama lain. Tiba-tiba,angin lembut berhembus ke telinga Hafiz sambil menyebut namanya. Hafiz terkejut. Serentak itu,dia mengeluarkan telefon bimbitnya yang mempunyai kamera video dan melihat menerusi skrin. Jantungnya berdebar-debar.
Niza dan Atilia meneliti kawasan di luar rumah. Atilia meneliti kawasan di belakang rumah yang berdekatan hutan manakala Niza menjalankan pemerhatian di bahagian hadapan. Atilia berhati-hati menapak di kawasan belakang rumah kerana terdapat pokok duri yang menjalar. Matanya tiba-tiba tertancap ke arah satu susuk tubuh berpakaian serba putih yang duduk mencangkung di atas pokok. Lembaga tersebut sedang memerhatinya. Atilia segera mengalihkan pandangan dan berpura-pura tidak perasan. Jantungnya berdebar-debar. Apabila pandangan dihalakan semula ke arah pokok tersebut,lembaga tersebut telah tiada. Atilia menarik nafas lega. Dia berkalih ke belakang dan meneruskan langkah. Dan tatkala itu,lembaga tersebut muncul dihadapannya tiba-tiba. Atilia dengan jelas melihat susuk tubuh lembaga tersebut. Kain putihnya kotor berlumuran tanah kubur,rambutnya panjang terurai. Mujur wajahnya tidak terlihat. Atilia terkejut lantas terjerit. Dia terduduk.
Asri merayau-rayau di kawasan dapur manakala Faiz kekal di ruang tamu. Asri memandang keseluruhan dapur. Semua peralatan disusun kemas. Asri kelihatan berpuas hati. Dia mengalihkan badan ingin menuju ke ruang tamu semula. Pada waktu itu,Asri menangkap sesuatu dengan ekor mata. Dia melihat sesusuk tubuh sedang merangkak terketar-ketar mendapatkannya. Asri memejamkan matanya lantas mulutnya terkumat kamit membacakan ayat suci al Quran. Bayangan tersebut terus lenyap.
Faiz memasuki bilik tidur utama rumah itu. Bilik tersebut luas dan bersih. Alat penyukat suhu berinfra merah dihalakan ke serata tempat. Tiba-tiba bahunya ditepuk.
“Ada jumpa apa-apa tak?”soal Niza. Dia turut memerhati keseluruhan bilik tersebut.
“Tak jumpa apa pun. Mungkin malam nanti kut.”ujar Faiz. Dia menyimpan alat tersebut ke dalam begnya.
“Bestnya kalau aku dapat katil sebesar ni. Boleh aku tidur puas-puas.”ujar Niza sambil merebahkan badannya di atas katil. Faiz tersenyum dan menggelengkan kepalanya lantas bertapak keluar dari bilik tersebut. Dan tidak semena-mena darahnya berderau. Faiz dengan jelas melihat Niza dan Atilia baru sahaja masuk ke dalam rumah. Jantung Faiz berdegup kencang. Dia tertanya-tanya sendiri dengan siapakah dia berbual sebentar tadi di dalam bilik tersebut.
***
Share this novel