Beberapa bulan selepas kematian Rose, Harry berubah 360 darjah.
Dari seorang yang terkenal dengan jolokan kasanova Kuala Lumpur dan sering bertukar-tukar pasangan saban minggu, dia mula berubah menjadi seorang pendiam dan sering berkurung di dalam bilik enggan bertemu dengan sesiapa waima kedua ibu bapanya.
Beratnya semakin susut dan wajahnya juga cengkung. Apa juga makanan yang dijamahnya pasti akan terluah.
Selepas sekian lama juga, tikar sembahyang yang tersimpan kemas di almari dibentangkan. Dia menangis penuh sesalan mengenangkan segala perbuatan jijiknya selama ini dan bagaimana tergamaknya dia mempengaruhi Rose untuk menggugurkan kandungan.
Kalau dapat diputarkan masa mahu saja dia membawa Rose lari jauh dari kota dan menikahinya memulakan kehidupan baru hatta Rose pernah bergelar bohsia.
Walaupun kehadiran Rose tidak pernah membawa apa-apa makna istimewa dalam hidupnya sebelum ini selain daripada kilang memuaskan nafsu serakahnya, namun pemergian Rose telah melenyapkan segala sisi jahatnya. Baginya kematian Rose berpunca daripadanya dan untuk itu dia tidak putus-putus berdoa agar segala dosanya dan juga Rose diampunkan.
Harry menemui ketenangan ketika solat namun salah satu sebab dia enggan keluar adalah kerana dia sering diburu oleh kelibat seorang wanita berpimpin tangan dengan seorang budak lelaki.
Pernah satu masa dia memandu kereta di waktu malam dari Kedah ke Kuala Lumpur, dia meihat dua lembaga itu melambai-lambaikan tangan kepadanya di setiap hentian, dia tidak mengendahkannya. Dipasangnya volume radio sekuat hati namun dapat juga dia mendengar sayup-sayup suara perempuan mengilai diikuti dengan tangisan bayi dan adakalanya disusuli dengan panggilan ‘papa’.
Dia memaki-maki sepuas hati kerana gangguan tersebut menggangunya, namun sebaik saja dia memandang cermin belakang dilihatnya kedua-dua lembaga itu telah berada di tempat duduk belakang tersenyum memandangnya.
Apa yang membuatkan Harry terkejut lembaga wanita itu saling tak tumpah menyerupai wajah Rose. Harry menoleh belakang berkali-kali dan seraya itu satu hentaman oleh sebuah kereta pacuan empat roda menghentam bahagian tempat pemandu dan kereta Pajero Sport yang dipandu oleh Harry itu hilang kawalan dan berpusing-pusing di jalan raya sebelum terbabas di bahu jalan.
Kesan kemalangan itu telah membuatkan kaki sebelah Harry tempang dan kekal sepanjang hayat. Dan bila dikenangkan semula kemalangan yang hampir meragut nyawanya itu berlaku seminggu selepas kematian Rose. Dek kerana takut, malu dan rasa bersalah, dia tidak menghadiri majlis pengebumian Rose jauh sekali datang menziarahi pusara Rose.
Dan sejak itu itu juga dia sering didatangi dengan jelmaan lembaga menyerupai Rose siang dan malam. Dia tidak tahu apa cara lagi untuk menghentikan gangguan tersebut. Kerana mahu menjaga nama baik keluarganya juga, mulutnya terlalu berat untuk meminta bantuan.
Pada suatu hari, Harry bermimpi akan ada suara seorang lelaki tua yang memimpinnya berjalan dan membawanya ke suatu tempat. Tempat itu tidak lain dan tidak bukan tanah perkuburan Islam di mana Rose dikebumikan, lelaki tua itu memintanya menziarahi pusara Rose dan memohon maaf kepada Rose.
Tidak lama kemudian, lelaki tua hilang dan berganti dengan kelibat Rose yang merayu-rayu kepadanya untuk memberikan dia segelas air minum kerana terlalu dahaga, Harry ketakutan dan berlari namun berjaya dikejar oleh Rose yang sudah pun bertukar kepada makhluk yang mengerikan, Harry meronta-ronta minta dilepaskan namun Rose enggan.
Harry meronta-ronta dan menangis dalam tidur, sehinggalah dia terjaga dan menyedari itu semua mimpi. Seraya dengan itu juga, dia melihat kelibat wanita dan budak lelaki itu merenungnya di balkoni biliknya lalu berlalu.
Harry melihat jam dinding, jam menunjukkan pukul tiga pagi, begitulah gangguan yang sering terjadi padanya, namun mala mini lain sedikit kerana lelaki tua itu seakan memberi mesej kepadanya.
Pagi itu, Harry meminta pemandunya datang membawanya menziarahi pusara Rose.
Sebaik tiba di tanah perkuburan tersebut, dia merasa sebak melihat keadaan kubur Rose yang tidak dijaga dipenuhi dengan ranting-ranting kayu yang gugur juga rumput yang meninggi. Pasti tiada siapa yang datang menziarahi pusara Rose ini.
Harry mendapat tahu yang selepas pengebumian Rose, kedua ibu bapanya keluar dari kampung kerana malu dengan kata-kata nista dan sindiran serta cercaan orang kampung. Beberapa bulan kemudian kedua orang tua Rose pula ditemui meninggal dipercayai disamun dan dibunuh. Jadi memang tiada siapa yang datang menziarahi pusara Rose.
Harry membentangkan tikar dan mula membaca surah Yasin, air matanya berjujuran mengalir penuh sesalan. Usai bacaan surah Yasin, Harry menyiram air mawar di pusara Rose.
Sebelum balik, dia memegang batu nisan Rose sambil meluahkan sesalannya dan memohon kemaafan dari Rose juga anak yang dikandungnya.
Sepanjang perjalanan balik yang masih belum jauh dari tanah perkuburan tadi, Harry masih lagi melihat kelibat dua lembaga itu melambai-lambai kepadanya. Dia hanya mampu menundukkan wajahnya dan menutupkan mata.
‘’Barangkali kau tidak mahu memaafkan aku kan Rose?’’ bisik hati Harry dan selang beberapa saat kemudian kereta yang dinaiki Harry bertembung dengan sebuah lori, impak hentaman lori itu benar-benar mengena pada sisi sebelah kanan menyebabkan Harry terpelanting keluar manakala pemandunya tadi tersepit dibawah lori.
Dalam masa beberapa minit saja tapak kejadian kemalangan ngeri itu dipenuhi oleh orang ramai yang melalui jalan tersebut.
Harry sedar dari pengsan, dilihatnya orang ramai mengerumuni keretanya, dia cuba mengagahkan diri untuk bangun dan perlahan-lahan dia berjalan ke arah keretanya. Dia melihat kesan-kesan darah membasahi tubuhnya dan koyakan pada pakaiannya, namun peliknya tiada sebarang kesakitan dirasainya dan dia juga hairan melihat reaksi orang ramai yang seakan tidak mempedulikan kehadirannya yang cedera parah ini.
Harry menghampiri keretanya, alangkah terkejutnya dia melihat sepasukan bomba dan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan mayat pemandunya yang tersepit di dalam kereta, dia bersimpati dengan apa yang menimpa pemandunya itu.
Tidak lama kemudian dia terdengar beberapa jeritan orang ramai yang saling bersahut-sahutan.
‘’Sini, sini ada seorang lagi! Tolong sini!’’ jerit seorang lelaki, maka berpusu-pusu ahli paramedic dan orang ramai datang membantu lelaki yang sedang terlentang di atas jalan raya.
‘’Eh ada seorang lagi? Takkan driver lori tu pun terkorban, agak jauh dia tercampak,’’ ujar Harry dalam hati.
Harry segera berlari menuju ke arah tempat orang ramai berkerumun itu, dia cuba menyelit disebalik celahan orang ramai mahu juga melihat keadaan pemandu lori tersebut. Namun, langkahnya mati apabila melihat lelaki berbaju melayu hitam yang sedang terbaring dalam keadaan kaki dan tangan kanan putus dan kepala pecah itu adalah dirinya.
Dalam keadaan ngeri seperti itu, sudah tidak ada siapa yang mampu menyelamatkannya. Kini dia sudah tidak bernyawa, sudah tidak ada lagi di dunia.
Dia menangis dan menjerit namun tiada siapa peduli jerit esaknya. Dia menangis dan beredar meninggalkan tempat tersebut, namun belum pun sempat dia melangkah, ada tangan memahutnya dari belakang.
Harry menoleh dan diihatnya lembaga budak lelaki yang sering menghantuinya memegang tangannya sambil tersenyum, berbeza seperti yang selalu dilihatnya, wajah budak tersebut tidak lagi pucat dan mengerikan tapi bertukar kepada budak lelaki comel dan memberikan senyuman yang manis kepadanya.
‘’Jangan menangis ayah, mari ikut kami, tu di sana ibu sedang menanti ayah,’’ ujar budak lelaki tersebut.
Harry melihat dari kejauhan, dari jauh dia melihat kelibat seorang wanita manis berbaju kurung putih melambaikan tangan padanya, tanpa berfikir panjang, dia hanya mengikut ke mana langkah budak lelaki itu berjalan, dia melemparkan senyuman kepada wanita itu.
‘’Kini aku milikmu, Rose,’’ ujar Harry.
Share this novel
Padu bro.malam raya aku baca cerita ko seram Episod 10.