BAB 2

Romance Completed 15525

Lily kembali di tempat duduknya apabila semua kerja sudah diselesaikan. Yang pasti dia berpuas hati dengan kerjanya. Lily mencapai karipap yang disimpannya di dalam meja. Selepas penat dia menyapu sampah, tibalah masanya untuk dia mencari semula tenaga yang sudah hilang tadi. Yati yang berada di sebelah dipelawa juga untuk menikmati karipap yang dibelinya tadi. Namun Yati menggelengkan kepala.

“Macam manalah nak kurus badan tu kalau asyik nak makan je. Badan pun dah macam kayu balak. Besar. Siapalah yang malang kawan dengan dia selalu nak belanja makan.” Masih lagi ada sisa-sisa kritikan dari Syafiq. Lily membatukan diri sebaliknya dia meneruskan makan. Peduli apa aku.

“Hah, kau tengok tu macam mana dia makan karipap. Macam tak jumpa makan setahun. Punyalah besar dia nganga-nganga. Oi, Yati! Kau tak nak jadi macam kawan sebelah tu ke? Aku rasa kalau si Lily tu jalan mahu saja bergegar bangunan ni dibuatnya.” Syafiq masih lagi mengusik Lily. Kali ini Lily hilang sabar. Dia meletakkan karipap dan terus ke meja Syafiq.

“Yang kau bising sangat ni kenapa? Badan aku. Bukannya badan kau. Yang kau susah sangat kenapa? Biarlah aku nak gemuk ke, nak bulat ke, kau peduli apa? Ada aku ganggu hidup kau ke? Dari ganggu hidup orang ada lebih baik jaga diri tu sendiri. Diri sendiri pun tak terurus ada hati nak mengutuk orang. Jaga diri tu sikit. Harap muka je kacak tapi otak tak tahu letak mana.”

“Ala….. janganlah kau marah. Kalau kau marah lagi naik badan kau tu nanti. Silap haribulan mahu meletup nanti. Yang ambil hati sangat ni kenapa? Betul apa yang aku cakapkan. Aku bukan cakap kosong. Memang betul badan kau gemuk.” Berbular biji mata Lily mendengarkan butir bicara dari Syafiq. Kurang ajar. Mulut tak ada insuran langsung.

“Eh, dahlah. Dari aku melayan kau ada lebih baik aku layan tembok tu. Kalau cakap pun tak adalah buat sakit hati.” Lily berlalu apabila Syafiq mula mentertawakan dirinya. Dia kembali di tempat duduk dan hanya memendam rasa. Pedih hatinya dengan usikan dan gurauan Syafiq yang keterlaluan itu. Dia juga punya hati dan perasaan. Hati siapa yang tidak sakit kalau saban hari disindir dan diejek.

“Dahlah tu, Fika. Biarlah dia tu. Jangan dilayan sangat dengan perangai dia. Kau bukan tak tahu dia tu. Ada saja yang dibangkangnya.” Pujuk Yati perlahan. Mahu sahaja air mata Lily mengalir namun dia menahan. Dia tidak mahu Syafiq menganggap dirinya lemah. Dia sedar siapa dirinya. Namun dia pasrah dan perjuangannya belum selesai. Perjuangannya bukan mencari gaduh dengan Syafiq tetapi perjuangannya untuk mengapai impian untuk menjadi seorang pendidik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience