Mungkin kali ini Steven akan dipukul oleh papanya. Perasaan takut sudah menyelubungi fikiran Steven. Kalau papanya memukul Steven, mesti menggunakan getah paip yang ada di dalam bilik air.
Berbirat juga apabila getah tersebut mengena badannya. Kalau hendak tidur, pasti dia akan mengiringkan badan supaya tidak terkena bahagian yang luka di atas permukaan katil.
“Steven, Steven !”
Steven sudah boleh mengagak apabila papanya telah memanggil Steven dengan nada meninggi.
Pasti papanya sudah bersedia dengan getah paip di tangannya. Steven hanya berjalan perlahan menuju ke ruang tamu rumah.
“Yes, dady,” balas Steven perlahan.
Tiba sahaja di ruang tamu rumah, jelas terpacul tubuh papa dengan mama yang sedang berdiri tegak melihat Steven.
Steven terus memandang ke arah mereka. Terkejut juga apabila melihat papa di hadapannya.
Kini, getah paip yang disangkakan tadi tidak dipegang oleh papanya. Dia juga sedikit hairan dengan papa yang suka beralih angin di dalam menentukan sesuatu perkara. Apa-apa pun dia telah terselamat daripada di pukul.
“Mama kamu kata, kamu tak ke sekolah, betul?”
Steven menggelengkan kepalanya.
“Steven kalau kamu ke sekolah tak akan baju kamu kotor sampai macam tu sekali?” sampuk mamanya yang cuba melemparkan persoalan yang sangat panjang.
“Yes, I will tell you the truth,” jawab Steven pendek.
Share this novel