BAB 4

Other Completed 2305

“Aku Radi, jadi nampaknya kita akan berjiranlah di dalam wad ni ya? Haha.” Zul tergelak. Tidakku sangka dapat bertemu dengan seseorang yang sepertinya. Kesakitan, kerisauan, semua itu bagai diculik buat seketika dek perbualan antara kami berdua.

“Jadi Zul, aku dah ceritakan kisah aku, kau pula? Apa jadi ni sampai masuk wad? Kenapa dada kau dibalut?”

“Inilah yang dikatakan cabaran hidup, haha. Sebenarnya pada suatu pagi, dalam pukul empat setengah pagi kalau tak silap. Aku membantu ayahku menoreh getah…”kata Zul.

“Menoreh getah? Oh… tapi bagaimana dengan kehidupan kau sekeluarga?”

“Kehidupan kami sekarang memang susah. Hampir segalanya menjadi cabaran dalam hidup kami. Walau bagaimanapun, kami tetap mampu tersenyum, kerana kami masih mempunyai satu sama lain untuk menyokong dan meneguhkan semangat yang luntur. Harta benda dan kewangan yang terhad menjadikan kami lebih kreatif. Hampir semua perkara yang keluarga lain lakukan, kami juga boleh melakukannya.”Sambungnya.

Aku kagum dengan sikapnya yang optimis dan tidak menumpukan perhatian terhadap sesuatu masalah dalam kehidupan. Berlainan benar dengan sikapku. Gaya dan cara percakapannya yang penuh semangat cepat sekali membuatku terasa mudah untuk mendekatinya.

“Aku anak sulung daripada empat orang adik-beradik, jadi rasanya memang wajar untuk aku membantu ayahku meringankan sedikit beban yang digalasnya.” Jelasnya.

“Oh, begitu, jadi apa yang berlaku sebenarnya?”

“Sewaktu aku sedang menoreh lebih kurang seminggu yang lalu, aku berasa tidak sedap hati, macam ada sesuatu yang tak kena, macam aku tak sepatutnya mengikuti ayahku ke situ pagi itu, tapi aku endahkan sahaja perasaan itu. Aku terus bekerja. Tiba-tiba aku terdengar bunyi seperti ranting kayu dipijak tak berapa jauh di belakangku.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience