BAB 8

Romance Completed 17079

“Ini apa?”

Nazmi membaling sekeping kertas yang sedikit renyuk ke mukaku. Mujur aku sempat mengelak. Kalau tidak? Aku tidak dapat menahan diri daripada tersenyum bila kenangan lama itu menerpa. Bagaimanapun, bila melihat ke wajahnya yang serius, aku terus membuka kertas itu. Entah apalah benda yang ditanya kepadaku dan apa agaknya yang menjadi misteri?

Hatiku berdebar. Rasa kenal pula tulisan yang bulat-bulat ini. Bukankah ini tulisan tanganku?

aku tak pernah mengerti yang terjadi

mengapa aku selalu menantimu

walau aku tahu kau takkan mahu

kau tak akan pernah tahu

betapa hancur hatiku

saat kau peluk dirinya

aku takkan rela walau kau bukan milikku

seharusnya kau mengerti

betapa aku mencintaimu

walau kau tak akan pernah tahu

akan kusimpan cinta ini selamanya

Mataku berkaca. Sekejap lagi, aku pasti menangis. Kalau Nazmi berkata sesuatu, aku tahu air mataku pasti berderai. Owhh, kenapalah aku lalai sangat sehinggakan kertas yang sudahku buang itu, ditemuinya? Kenapa?

Nazmi ketawa pula. Wah, suka betul dia setelah menduga aku begini. Suka benar dia setelah aku kehilangan kata-kata. Bahagianya dia menjelang perpisahan kami?

“Kau ketinggalan satu rangkap, Ika. Dengar!”

Dan, mataku buntang mendengar Nazmi menyanyikan baris-baris yang sengaja kutinggalkan…….

aku yang selalu untukmu

mencintaimu

kau tak pernah berikan kesempatan

untuk membuktikan isi hatiku

Kuseka air mata ini sambil membalas renungannya. Sambil membalas senyumannya. Bila dia mengulangi kata cinta itu kepadaku hari ini, aku tidak sanggup menolak lagi. Maafkan aku, Alisa. Maafkan aku mencuri bahagiamu, tetapi, Nazmi cintakan aku. Dari dulu sampai hari ini, cintanya tetap untukku. Aku tidak mahu menolaknya kerana kini aku menyintainya. Menyintainya dengan sepenuh hati ini.

“Aku tunggu kau 3 tahun lamanya, Nur Syafika. Dalam kesetiaan, aku menguji dirimu dengan kehadiran mereka. Bila kau sedikitpun tidak berkutik, aku lemah. Aku ingin menyerah, ingin mengalah, ingin menerima cinta Alisa tapi aku tak boleh membohongi diriku.”

Nazmi mendekatiku, merenung tepat ke anak mataku sambil membisikkan, ya, hanya untuk pendengaran aku sahaja sekali ini….

“Cinta aku hanya untuk kau seorang. Kau dah pahat nama kau kat dalam hati aku ni lama sebelum aku tahu kau sakit. Jadi, tak ada istilah cinta kerana simpati. Atau cinta kerana kasihan. Kau faham tak apa aku cakap ni, Ika?”

Hmm, kalau dah diri tu cikgu, soalan yang diajukan kepada kekasihpun bunyinya dah macam bertanya kepada anak murid.

“Kau faham tak apa aku a.k.a. cikgu cakap ni, Ika?”

“Anak murid faham, Cikgu Nazmi!”

Aik, kenapa Cikgu Wati mengekeh ketawa? Dan, Nazmi? Kenapa tengok aku macam tu? Siap cekak pinggang lagi?

Oops, tentu gara-gara apa yang di fikiran terlepas daripada bibir. Apa nak buat ni? Buat apa? Buat bodoh ajelah! Dan, aku pun tersengih kepada mereka.

“Err, nampaknya, aku kena batalkan pertukaran.” Kataku setelah kami duduk semula di kerusi. Dia di hujung sana, aku di hujung sini.

“Tak payah. Aku dah isi borang pindah tu. Aku ikut kau. Lagipun, alasan kita berdua kuat. Kau perlu dapat rawatan pakar di KL. Aku escort kau. Insya-Allah, kata Tuan Pengetua, dia akan luluskan dan panjangkan ke Jabatan dan Kementerian.”

Nazmi memberitahu bahawa semua orang sudah tahu hasratnya bila dia mengisi borang pertukaran itu 2 hari yang lepas. Alisa juga memahami perbuatannya dan sudah memaafkan. Tak ada apa-apa yang perlu aku risaukan.

“Cuma, aku nak tahu satu perkara. Kenapa kau tolak cinta aku dulu? Kalau 3 tahun dulu kau terima, kita mungkin dah kahwin dan ada anak.” Nazmi mempersoalkan perbuatanku dulu.

Wajahnya kutatap. Hmm, memang dia punya wajah yang menawan. Rambut ikalnya tersisir rapi, hidungnya mancung, bibirnya kemerah-merahan dan nipis. Sekali pandang macam Robert, si pontianak tu. Dua kali pandang? Macam….. siapa lagi dialah! Nazmi!

“Ika,?”

3 tahun dulu, aku tidak cintakan Nazmi. Lagipun, masa tu, aku memang tutup pintu hati aku ni. Aku tak berani bercinta sebab penyakitku dalam kumpulan kronik. Tapi, sekarang aku dah sedar bahawa kami, orang-orang yang mengidap penyakit kronik juga berhak untuk kecapi bahagia. Berhak kahwin, dapat anak, disayangi dan dicintai. Aku ingin menjalani hidup yang bahagia bersama-sama dia, lelaki yang mengaku menyintaiku. Dan, kalau aku ditakdirkan pergi, harapanku agar dia berada di sisiku, menemani aku di hari-hari terakhirku nanti. Itu yang kumahu.

Bila aku curahkan rahsia hatiku itu kepadanya, buat pertama kali, aku melihat sepasang mata Nazmiku yang nakal, berkaca. Dan, dia membisikkan padaku….

“Insya-Allah, abang akan menemani Ika sehingga ke akhir hayat kita nanti. Kematian itu pasti, sayang. Tapi, Ika kena ingat, tak semestinya Ika yang pergi dulu, kan?”

Kebahagiaan ini adalah apa yang sering aku minta pada Allah SWT dan ternyata Engkau mendengarnya. Aku bahagia. Mendengar bisikannya, aku merasakan akulah wanita yang amat bertuah. Aku bertekad untuk membahagiakan dirinya. Selagi aku diizinkan Allah untuk bernafas di bumiNya ini, selagi itulah aku ingin menjadi isteri Nazmi dalam suka dukanya, dalam remuk redamnya, dalam hilai tawanya. Dalam hidupnya! Dia memilih aku dan aku memilih untuk menjadi wanita, sahabat, kekasih, isteri dan ibu yang terbaik untuk dia dan juga zuriat-zuriat kami nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience