BAB 5

Romance Completed 17079

Itulah permulaan kepada persahabatan kami. Kepada eratnya hubungan seorang lelaki dengan seorang perempuan sebagai sahabat karib. Siapa kata lelaki dengan perempuan tidak boleh berkawan? Siapa kata persahabatan antara lelaki dan perempuan akan berakhir dengan cinta? Tidak semestinya!

Bagaimana boleh jadi begitu? Biar aku cerita. Sebaik aku dimasukkan ke dalam hospital, Nazmi menelefon ibu dan ayahku. Bergegas mereka datang dari Ampang. Biasalah, ibu mana yang tidak cemas bila anak kesayangan dimasukkan ke hospital, iya tak? Ayah aku pulak memang seorang yang terlalu sensitif jika terjadi apa-apa pada diriku ini. Dialah yang menangis sakan. Dan dialah juga yang telah membuka rahsia tentangku kepada semua orang.

Ya, simpati yang melimpah ruah aku terima sebaik aku dibenarkan mengajar semula setelah bercuti sakit selama seminggu. Masing-masing datang dan bertanya tentang penyakitku.

“Sejak bila kau dapat penyakit SLE ni?” Tanya Cikgu Dian kepadaku. Belum sempat aku menjawab, dia menyambung pertanyaannya, “SLE tu apa? Bahaya ke? Apa tanda-tandanya?”

Nazmi kulihat merenung tajam diriku. Mungkin dia juga tidak sabar untuk mengetahui tentang penyakitku ini. Tidak puas agaknya mendengar penjelasan ayahku tempoh hari.

“Systemic Lupus Erythematosus (SLE) ialah penyakit auto-immune yang kronik. Puncanya tidak diketahui. Apa yang berlaku ialah badan pesakit membuat kuantiti protin yang banyak iaitu antibodi dan antibodi ni pulak bertindak ke atas tisu pesakit itu sendiri. Bahaya? Bahayalah jugak kut sebab SLE boleh merebak ke organ-organ dalam badan.” Aku menjelaskan.

“Tanda-tandanya? Simptom?” Cikgu Dian ialah cikgu subjek Biologi. Peneranganku tentulah penting baginya sebagai maklumat tambahan ketika dia mengajar nanti.

“Entahlah, kak. Yang saya tahu, semuanya bermula dengan rasa letih, lemah badan, kemudian demam. Tak lalu makan. Gusi berdarah. Macam tu aje. Tahu-tahu, dah tak larat hendak berjalanpun. Waktu pertama kali dimasukkan ke dalam hospital, tahap haemoglobin tubuh saya turun sehingga menjadi 4 sedangkan orang-orang yang sihat mempunyai tahap haemoglobin 14. Waktu tu, doktor nak masukkan darah pun tak berani sebab antibodi dalam tubuh saya ni asyik memecahkan sel darah merah. Semua tu mak dengan ayah yang cerita. Saya bukan sedarpun!” aku memberitahu.

“Dahlah tu, Dian. Bagilah Ika berehat. Kalau nak tahu lebih banyak lagi, pergi bukak internet dan cari perkataan lupus. Kau akan faham apa yang Ika tanggung sekarang.” Tegas Nazmi menegah Cikgu Dian daripada terus menggangguku. Aku berterima kasih atas keprihatinannya itu.

Sejak itu, Nazmi sudah menjadi sebahagian daripada hidupku. Kadang-kadang aku jadi rimas dengan sikapnya yang terlalu mengambil berat. Aku jadi benci bila semua aktiviti kegemaranku ditegahnya daripada melakukan. Aku angin satu badan bila segala-galanya dia cuba sekat. Aku marah!

“Kau tak ada hak menegah aku nak buat itu ini! Semuanya kau nak larang. Benci, tahu tak?” suara geramku beralun lantang. Ah, gasaklah! Peduli apa kalau orang lain dengar. Aku memang sudah tidak tahan dengan sikap dan perangainya!

Nazmi mengumpul nafasnya lalu berkata, “Kalau begitu, bagi aku hak itu!”

Aku menjegilkan sepasang mata. “Hak apa?” tanyaku, suaraku masih lagi di amplitud tertinggi.

“Aku nak kahwin dengan kau.”

Wajahnya kutatap. Memang jelas, dia bersungguh-sungguh ingin mengahwiniku. Wajahnya betul-betul serius.

Tapi, bagi aku, dialah lelaki paling bodoh di dalam dunia. Berkahwin kerana kasihankan aku? Tidak, aku tidak memerlukan rasa simpatinya. Dia tidak tahu apa yang akan dia tempuhi bersama-samaku. Dia tidak tahu bahawa aku perlu makan ubat setiap hari. Bukan setakat ubat, malah segala macam vitamin dan makanan tambahan juga. Dia juga tidak tahu bahawa tulangku sudah mereput. Keadaanku kini bagaikan wanita yang sudah menopous. Segala-galanya serba menurun.

“Ika? Aku serius ni! Aku dah lama jatuh cinta dengan kau, sejak kali pertama aku tengok muka kau dulu. Tapi, kau asyik menolak. Tapi, sekarang, aku harap kau faham yang aku hendak menjaga kau. Semua itu aku boleh buat kalau kita kahwin.”

Aku mendengus. Dia kuhampiri. Dengan tegas, aku berkata kepadanya,

“Aku tak perlukan seorang suami. Aku tak perlukan penjaga. Aku masih boleh hidup berdikari. Yang lebih penting, aku tak perlukan simpati. Dan, aku tak mahu Nazmi Syazwan Iskandar yang ini, yang serius dan susah hati memikirkan diriku. Aku tak suka Nazmi yang ini. Dia tak langsung menceriakan hidupku. Kalau kau kawan aku, jadi balik Nazmi yang suka mengusik, yang sentiasa ketawa dan si ‘playboy’ yang terkenal. Mana tahu kut-kut nanti kau akan bertemu jodoh dengan perempuan yang lebih sihat. Nazmi, kita hanya kawan, okey! Aku tak mahu hubungan yang lain!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience