Aku meletakkan beberapa jilid majalah Anjung Seri di atas meja. Niat di hati, aku ingin mencari dekorasi yang sesuai untuk bilikku. Ayah sudah berjanji untuk mengubahsuai bilik yang sekian lama tidak kuhuni bila aku kembali menetap di KL nanti.
Pusat sumber amat sunyi di hujung tahun begini. Pelajar-pelajar T3 sudah ramai yang tidak hadir ke sekolah selepas PMR. Malah ada yang sudah bekerja. Murid T4 pula sedang menghadapi peperiksaan Akhir Tahun. Begitu juga murid T1 dan T2. Murid yang bakal menduduki SPM kini sibuk dengan simulasi mereka.
Aku yang banyak mengajar T3 sedikit lapang sekarang. Selain mengisi ruang guru ganti, aku banyak menghabiskan masaku di sini. Yalah, kan! Hendak berbual dengan Nazmi, bayangnya pun sudah tidak kelihatan di bilik guru. Alah, biarkanlah! Dia pun bukan sesiapa dalam hidup aku ni. Hanya kawan, kan?
Penyakitku? Alhamdulillah, seperti biasalah. Hari-hari, sebiji prednisolone perlu kutelan. Selagi doktor pakar tidak memberikan isyarat untuk aku berhenti memakannya, maka ubat itu adalah juadah bersama-sama sarapan pagiku setiap hari di samping vitamin dan segala jenis makanan tambahan lain.
Kadang-kadang sedih juga. Tertanya-tanya, mengapa aku dapat SLE ini sehinggakan aku takut untuk jatuh cinta dan sudahnya aku kehilangan lelaki yang aku suka. Namun aku segera sedar. Tak semua benda yang kita hendak, kita akan dapat. Buat apa menyesali takdir? Redha, itu yang lebih baik.
Entah dia datang dari mana, senyap-senyap, dia sudah menarik kerusi dan duduk di hadapanku. Majalah yang banyak di atas meja, dikecamukkannya. Lagaknya macam orang yang hendak mencari fasal denganku.
Aku memandang wajahnya dan dia memandang aku. Sah! Memang dia sedang marah. Baik aku diam jelah, tunggu apa amukannya.
“Kau minta tukar tak bagitahu akupun. Kenapa?”
Owhh, itu rupanya yang dia anginkan. Ingatkan apa tadi.
“Kau ada ke masuk dalam bilik guru sekarang ni? Tak ada, kan?” jawabku sinis sekali.
“Habis, kau dah tak boleh cari aku? Tak boleh telefon? Sms? Hendak seribu daya, Ika. Tapi tak tahulah aku kalau kau sengaja hendak pindah tanpa memberitahu aku.” Marahnya.
Aku diam, membenarkan kata-katanya. Apa guna menafikan? Memang aku tidak mahu dia tahu, tapi dia dapat juga menghidu perbuatanku. Entah siapa yang gatal mulut memberitahu kepadanya.
“Kau marah aku?” tanya dia.
Aku mengerutkan dahi. Kepala kugeleng.
“Kau makin jauh dari aku, Ika.”
Terkejut aku mendengar keluhannya. Tapi kujawab perlahan, “Aku ada, masih di sini. Sentiasa di sini. Kau tu yang sibuk dengan buah hati.”
“Dah kau tak mahu aku, terpaksalah aku cari yang lain.”
Arghh, Nazmi sengaja menyakitkan hatiku.
“Habis tu, kau buat apa ke sini? Pergilah duduk di bilik dia.”
Entah kenapa dia naik hantu mendengar kata-kataku yang keras. Majalah di atas meja terus diselerakkannya malah ada yang jatuh ke atas lantai.
“Aku nak pergilah ni! Tak payah halau! Aku datang sebab nak bagitahu kau yang aku nak lamar Alisa. Dah tiba masanya aku fikirkan diri aku dan masa depan aku.” Katanya sambil bergerak meninggalkanku.
Aku sakit hati mendengar ayat terakhir itu. Apakah selama ini, sebagai sahabatnya, aku ini merupakan satu beban? Itukah maksud tersirat yang cuba dia sampaikan? Bahawa janjinya kepada ayah dengan emak untuk menjagaku selama ini menyebabkan dia tidak punya masa untuk memikirkan tentang diri dan masa depannya? Begitukah?
Aku kejar dia. Aku tarik dirinya kasar untuk memandangku. Aku sudah tidak peduli pada papan tanda bertulis ‘Senyap!’ Apa nak jadi, jadilah! Aku hendak mengamuk ni!
“Kau anggap aku beban, kan? Itu yang kau nak sampaikan pada aku? Nazmi, kalau kau nak kahwin, kau kahwin ajelah. Kenapa kau perlu ungkit budi, jasa, pengorbanan kau pada aku? Kau ingat aku ni apa? Patung yang tak bernyawa ke? Yang tak ada perasaan?”
Cikgu Wati menghampiri kami. Dia ialah guru PSS. Tentu sahaja dia merasa terganggu melihat kami bertegang urat.
“Weh, kalau nak kelahi, kat tempat lainlah. Nanti jadi skandal ni. Heboh satu sekolah pulak!” dia cuba berlawak.
Tapi aku sedang marah. Nazmi pun begitu juga. Tentulah tidak mendengar dan peduli pada Cikgu Wati.
Nazmi membetulkan baju yang sedikit renyuk akibat tarikanku tadi.
“Kau ada perasaan ke? Hah? Tak, kau memang tak ada perasaan, Ika. Kalau kau ada, kau mesti rayu aku supaya batalkan hasrat aku. Kau mesti menahan aku dan cakap….,
“Nazmi, tolonglah! Kau tak boleh kahwin dengan Alisa. Jangan! Kau milik aku! Aku cintakan kau. Tolong, Nazmi. Jangan tinggalkan aku. Aku perlukan kau. Aku cintakan kau.”
Aku ternganga mendengar kata-kata yang sememangnya ingin kuluahkan, meniti keluar daripada bibir nipis Nazmi Syazwan Iskandar.
Share this novel