BAB 6

Romance Completed 17079

Sudah 3 tahun kami berkawan dan sejak aku menolak permintaannya untuk berkahwin denganku, dia memenuhi semua hasratku. Dia kembali menjadi Nazmi yang suka mengusik. Dia sering ketawa bila aku bengang dengan perangai dan tindakannya. Dan, dia sering bertukar-tukar makwe. Bukanlah dia berniat hendak mempermainkan mereka, cuma, menurut katanya, semua perempuan itu tidak sesuai dengan jiwa halusnya.

“Piiraaahh…jiwa halus konon. Perangai punyalah kasar, mengaku lembut. Nyampes!”

Dia ketawa. Sampai berair matanya, seolah-olah lucu benar kata-kataku itu. Setelah reda, dia lantas membaling pemadam ke arahku dan berkata, “Kenapalah aku dapat kawan macam kau yang suka sangat mengutuk aku hah? Cuba-cubalah kontrol ayu sikit. Kasar-kasar begini, tak laku nanti, tahu!”

Kenapa ya, bila dia berkata begitu hatiku tiba-tiba rasa terhiris? Hati manusia memang beragam-ragam, kan? Dulu, bila dia kutuk aku, aku boleh terima malah aku lanyak dia balik. Tetapi sekarang, aku rasa sayu pula. Pelik perangaiku ini. Gangguan emosi apa agaknya?

Kehadiran Cikgu Alisa, guru baru yang ditempatkan di sekolahku, benar-benar mengubah hidupku. Aku mula merasakan kehilangannya sedikit demi sedikit. Perhatiannya tidak lagi kepadaku. Dia mula meninggalkanku. Dia sudah jarang menelefon. Dia sudah jarang duduk di bilik guru kerana tempatnya kini ialah di Bilik Persediaan Makmal Fizik, bersama-sama Cikgu Alisa. Aku jadi keliru dengan sikapnya.

“Nazmi, boleh tak kau temankan aku pergi pekan hari ini? Aku nak beli barang sikit.”

Peluang bertembung dengannya, aku gunakan untuk mengajak dia menemaniku keluar, sesuatu yang sudah agak lama tidak dilakukannya denganku.

“Err…”

“Abang Naz, jadi tak temankan Lisa petang ni? Kata dah lama tak makan KFC?”

Entah dari mana si gedik ini datang, entah. Hah, kan…kan dah kena kutuk dalam hati aku? Kacau daun! Tapi, yalah, takkan nak marah pula. Nazmi suka dia. Apa hak aku nak sakit hati atau cemburu?

“Nak makan KFC, ya? Sedapnya….” aku bercanda, dengan harapan Alisa mahu mengajakku pergi bersama. Tentu aku tidak akan melepaskan peluang kalau dijemput. Malangnya, tidak dia, mahupun Nazmi, mempelawaku. Aduhai, hampa rasanya.

Kini, aku sudah mengerti isyarat hati. Perasaan yang selama ini aku tolak, datang menghampiri, di saat aku akan kehilangan dirinya. Rasa cinta yang tidak sepatutnya aku miliki kerana penyakit SLE ini, datang tanpa aku sedari. Rasa yang sudah terlalu lewat kehadirannya kerana saat ini Nazmi dan Alisa sedang hangat memadu asmara.

“Padan muka aku. Dulu masa dia hendakkan aku, aku jual mahal. Sekarang, bila dia dah jumpa dan bahagia bersama Alisa, baru tersedar bahawa aku perlukan dia dalam hidupku. Simpan sahajalah rasa cinta kau, Ika. Kau tak layak untuk lelaki sihat sepertinya. Pendam saja apa yang kau rasa. Jangan beritahu dia! Ya, dia tak akan pernah tahu isi hatiku.”

Dalam diam, borang pertukaran kuisi secara online. Aku ingin balik ke Ampang. Aku ingin duduk sebumbung dengan ibu bapaku. Mereka sudah terlalu lama kutinggalkan.

Nazmi? Arghh, biarlah dia!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience