BAB 4

Romance Completed 692

“Kenapa ni Salbiah ? Sejak dari tadi monyok je? Ada apa-apa perkara yang
Salbiah nak kongsi dengan Mak Chu ke?”

Salbiah hanya menundukkan wajahnya. Tak sanggup rasanya dia bertentangan
mata dengan Mak Chu. Dia sendiri ragu-ragu bagaimanakah caranya untuk
membuka bicara mengenai perkara ini. Namun jikalau perkara ini tidak
diluahkan, hatinya pula yang bertambah terseksa.

“Mak Chu, kalau kita dah menyakiti hati seseorang…tapi secara tak
sengajalah…mak chu ada idea tak macam mana nak minta maaf?” Mak Chu
merenung Salbiah sambil tersenyum lebar.

“Oh, pasal inilah yang membuatkan anak saudara kesayangan Mak Chu ni
asyik monyok sahaja sejak dari petang tadi? Biar Mak Chu teka, kamu dah
sakitkan hati abang roti canai kesayangan ye?” Usikan Mak Chu itu
serta-merta menerbitkan warna-warna kemerahan di pipi mulus Salbiah .

“Ala Mak Chu ni, janganlah cakap macam tu. Sejak bila pula dia tu jadi
abang kesayangan saya? Saya anggap dia tu macam kawan biasa jelah,” ujar
Salbiah sambil tersipu-sipu malu.

“Yelah tu, kawan biasa konon. Yang kamu tu tak pernah terlepas walau
seharipun berkunjung ke restoran itu demi mengadap abang sayang kamu tu
apa ceritanya? Jaga-jaga Salbiah , jangan sampai kamu terjatuh cinta pula
dengan dia, parah dibuatnya nanti.”

“Jatuh cinta?? Mungkinkah aku sudah jatuh cinta padanya. Tak mungkin!”
getus Salbiah di dalam hatinya.

“Sudahlah Salbiah , esok kamu pergi jelah ke restoran tu dan minta maaf
pada abang roti canai kamu tu. Walaupun dia seorang lelaki namun dia
masih punya hati, perasaan dan harga diri,” nasihat Mak Chu sambil
menepuk-nepuk bahu Salbiah dengan lembut. Kata-kata Mak Chunya itu
memang ada benarnya. Semangat Salbiah membuak-buak, ingin sahaja dia
bersemuka dengan Abang Am di saat ini namun dia tahu perkara itu mustahil
untuk di realisasikan.

Keesokan paginya dengan semangat yang berkobar-kobar Salbiah melangkahkan
kaki menuju ke restoran itu. Tujuannya hanya satu, ingin segera
bertentang mata dengan Abang Am! Namun sebaik dia tiba, kelibat Abang Am
langsung tidak kelihatan. Tidak mungkin dia masuk lewat kerana sepanjang
enam bulan Salbiah berkunjung ke restoran itu, tidak pernah walau seharipun
Abang Am lewat tiba. Kebiasaannya apabila Salbiah tiba di situ Abang Am
pasti sedang sibuk menebar roti canai keramatnya. Kegelisahan Salbiah itu
nyata dapat dihidu oleh Pak Hazman yang sedari tadi hanya memerhatikan
tingkah laku Salbiah dengan penuh minat. Akhirnya Pak Hazman datang
menghampiri Salbiah .

“Nak, cari siapa tu? Kalau nak makan roti canai, duduklah dahulu. Nanti
pakcik suruh Ali bawakan ya,” ujar Pak Hazman dengan lembut.

“Err..pakcik..bukan roti canai tu selalu Abang Am ke yang sediakan?
Kenapa hari ini Ali pula yang sediakan?” Soal Salbiah dengan wajah sedikit
kebingungan. Pak Hazman hanya tersenyum mendengar soalan Salbiah yang
sememangnya sudah dijangkakan.

“Salbiah , Abang Am dah berhenti kerja. Semalam merupakan hari terakhir dia
bekerja di sini. Dengar cerita dia nak sambung belajar lagi. Apa dia tak
ada beritahu kamu ke?”

Tersentak seketika Salbiah apabila mendengar kata-kata Pak Hazman itu.
Sungguh tidak di duga yang Abang Am akan berlalu pergi meninggalkannya
dengan begitu sahaja. Salbiah berasa sungguh berdosa. Kenapalah semalam
mulutnya begitu celupar sekali mempersendakan Abang Am?

“Yeke pakcik. Saya tak tahu sebab Abang Am tak ada pun beritahu apa-apa
pada saya. Pakcik tahu tak macam mana nak hubungi Abang Am?” Pinta Salbiah
dengan seribu pengharapan yang terserlah lewat dari matanya.

“Minta maaflah nak, pakcik tak ada nombor telefon dia. Pakcik pun tak
tahu macam mana nak menghubungi dia,” balas Pak Hazman . Terserlah wajah
kekecewaan yang teramat sangat di wajah Salbiah . Kemudian tanpa sebarang
kata Salbiah terus berlalu pergi dari situ. Pak Hazman hanya tersenyum
lebar melihatkan reaksi Salbiah yang sebegitu.

“Ganjaran yang amat besar sedang menantimu, Salbiah . Sedikit masa lagi
kamu akan faham segala-galanya,” bisik Pak Hazman dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience