BAB 1

Romance Completed 692

“ROTI CANAI DUA!”

“OK SIAP!”

Suasana hiruk-pikuk di dalam restoran itu langsung tidak menjejaskan
kenikmatan dari hirupan teh o panas yang menyegarkan. Disulami pula
dengan kerapuhan dan kelembutan roti canai hasil dari tebaran tangan
Abang Am yang memang telah gah namanya di sekitar Cheras, Kajang dan
kawasan-kawasan berdekatan yang sewaktu dengannya. Sejak pertama kali
Salbiah merasai kelazatan roti canai yang tiada tandingannya itu, dia
bagaikan sudah ketagih dan saban pagi dia tidak pernah terlepas dari
menjamah roti canai itu sekurang-kurangnya dua keping sehari! Tiba-tiba
imbasan peristiwa enam bulan lepas terus terpancar di ruangan mindanya.
Majlis konvokesyen yang berlangsung sejak dari pagi dan memakan masa
sehinggakan ke tengahari ternyata cukup memenatkan dan sekaligus
membuatkan perut Salbiah berkeroncong dan menjerit-jerit minta diisi.
Lantas usai sahaja majlis tamat, keretanya terus memecut laju dan dalam
masa yang sama matanya liar berkeliaran mencari restoran yang
berdekatan. Mak Chunya yang duduk di sebelah pula sudah tenggelam di
alam mimpi. Terlalu penat barangkali setelah seharian menemani anak
saudaranya itu menguruskan pelbagai perkara-perkara yang berkaitan
dengan majlis konvokesyen itu. Sementalah sejak kedua-dua ibu bapa Salbiah
meninggal dunia akibat dari kemalangan jalan raya sepuluh tahun yang
lepas, Mak Chu adalah satu-satunya insan yang bertanggungjawab menjaga
dan membesarkan Salbiah dengan sepenuh kasih sayang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience