Bab 31

Other Completed 232989

Seawal pagi lagi dia bersiap untuk ke seminar. Dia mengambil pakaian yang sudah sedia digosok. Pagi ini perasaan teruja terbit di sudut hatinya. Fikirnya dengan menghadiri seminar motivasi dapat memberi harapan untuk hidupnya. Semalam dia hampir dikecewakan lagi oleh lelaki, namun dia bernasib baik kerana belum terlambat untuk dia berpatah balik. Nasiblah, dalam dia berwaspada dengan permainan cinta lelaki dia hampir-hampir tertipu lagi.

Baju kebaya merah jambu dipadankan dengan kain batik bewarna merah terang kelihatan amat menawan apabila tersarung pada tubuhnya. Dia nampak anggun bergaya dengan berselendang rona warna yang sama dengan baju kebaya.

“Eh ..nak ke mana pula hari ni. Kamu tak ke sekolah ke?” Mak Ngah Zah menegur anak daranya yang ketika hendak memasuki perut keretanya.

“Lupa nak bagitau mak malam tadi. Hari ini orang ada seminar di Kota Bharu. Mungkin balik lewat sikit mak.”

“Oh.. pukul berapa kamu nak balik rumah?” soal emaknya.

“Mungkin lewat kot.. Malam baru habis seminar ni. ” Jelas Hannan.

“Kalau begitu hati-hati memandu ye. Kalau mengantuk kamu singgahlah rumah Kak Ngah kamu. Tidur kat sana pun taka pa. esok kan Jumaat.”

“Baiklah mak, apa-apa orang akan telefon mak. Tolong bagitahu ayah. Orang betul-betul lupa nak bagitau malam tadi.” Tutur Hannan sambil bersalaman dengan emaknya. Dia segera memasuki ruang kereta dan terus memandu keluar dari perkarangan rumah.

Sepanjang pemanduan ke bandar Kota Bharu yang mengambil masa antara satu jam lebih buat dirinya sedikit kebosanan. Masa masih terlalu awal untuk dia bergegas ke tempat seminar. Biar pandu perlahan asalkan selamat tiba ke tempat yang ditujui. Sempat lagi dia mengelamun semasa memandu.

Raykal.. huh.. dasar jantan tak guna! Dah bini masih nak menggatal. Geramnya kepada Raykal masih belum padam. Nasib baik aku tak jatuh cinta lagi. Dia yang gatal atau aku yang lurus bendul. Eh, bukan salah aku pun. Ahhh… pedulilah jantan tu.. ramai lagi lelaki lain kat luar sana? Cikgu Hairul pun hensem.. eh.. cikgu Hairul dah kahwin juga. Dahlah macho, romantik gile pulak tu. Eh, apa aku merepek ni!… Hannan tersengih keseorangan.

Kalau dengan Farish macamana pula?

Iskk.. kenapa aku tiba-tiba teringat pada Farish pula? Hannan masih bermonolog sendirian.

Setelah hampir satu setengah jam dia memandu membelah suasana pagi yang cukup terang. Kereta Hannan memasuki kawasan parkir di basement bangunan hotel. Mujurlah masih banyak tempat kosong, ini memudahkan pergerakannya selepas ini. Jam pada dashboard keretanya baru menunjukkan angka 9.00. Masih terlalu awal untuk dia hadir ke dewan seminar.

Hannan mencapai tas tangannya yang terletak di kerusi sebelah, mencari-cari telefon bimbitnya. Niat hatinya untuk menghubungi Kak Su, dia berkira-kira untuk mengajak Kak Su bersarapan. Belum sempat dia membuat panggilan, telefonnya berdering.

“Saya baru sampai, Kak Su ada kat mana?” Dia hanya mengangguk apabila mendengar Kak Su memberitahu yang dia menunggu di lobi hotel.

Dia mengatur langkah menuju ke lobi hotel. Keanggunannya menarik perhatian beberapa mata yang memandangnya. Dia memerhati sekeliling mencari-cari kelibat Kak Su. Matanya dapat menangkap susuk tubuh Kak Su yang berada di bahagian tepi pintu utama hotel. Kehadirannya disitu dapat dilihat oleh Kak Su.

Hannan menjengukkan kepalanya melihat ke arah Kak Su melambai-lambai tangannya. Kelihatan wanita itu tidak keseorangan, kerana terdapat dua orang lelaki berdiri di sebelahnya.

“Wah.. cantik baju. Macam ratu kebaya Kak Su tengok Nurul hari ni.” Puji Kak Su sambil memegang tangan gadis itu. Matanya bersinar-sinar melihat keayuan teman setugasnya yang cantik mengenakan kebaya nyonya.

“Kak Su apa kurangnya, nampak muda berbanding usia.” Nurul cuba bergurau.

“Ooo.. nak kata Kak Sua tua lah tu.” Kak Su tersenyum menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.

“Siapa tu?” tanya Hannan berkenaan seorang lelaki di samping Kak Su.

“Yang mana?” Kak Su memalingkan muka ke arah dua lelaki yang tercegat di hadapan pintu utama hotel.

“Yang pakai baju batik warna hijau.” Matanya dipicingkan ke arah seorang lelaki muda yang kelihatan kemas dan segak.

“Oh..yang tu ke? Kenapa Nurul nak berkenalan ke?” Kak Su membutangkan matanya.

“Isk.. takde lah..Ooo.. tu skandal Kak Su ke?” Usik Hannan.

“Iyalah tu.. skandal lah sangat.” Kak Su tersenyum simpul. Dia tahu Hannan hanya bergurau dengannya.

“Kak Su dah breakfast? Saya ni kelaparan .. tak sempat makan pagi tadi.”

“Ala..kesiannya awak. Kak Su memang tunggu Nurul nak breakfast sama-sama. Lagipun ada orang nak belanja.” Kak Su menarik tangan Hannan menuju kembali kepada rakan-rakannya sedang menunggu mereka.

Hannan terpaksa menurut langkah mereka menuju ke sebuah restoran yang bersebelahan dengan hotel. Dia tidak mahu menjadi kera sumbang yang tidak pandai bergaul dengan orang-orang di sekelilingnya. Hannan terpaksa mengikuti mereka untuk menjamu selera bersama.
Hannan lebih banyak berdiam diri semasa menjamah sarapan. Kak Su yang lebih banyak bercoleteh di antara mereka berempat. Bercerita tentang dunia kaunseling yang dia ceburi. Percakapan Kak Su amat menarik dan bersemangat. Terdetik rasa kagum dengan sifat Kak Su yang energetik dan mempunyai banyak buah fikiran.

“Jomlah Kak Su, kita masuk ke dewan. Rasanya dah nak mula acara.” Hannan mencuit tangan Kak Su yang masih leka bersembang.

“Eh, dah nak gerak ke. Alahai, Kak Su ni kalu bab bersembang mudah leka. Ok guys.. see u again.” Kak Su tersenyum kepada dua orang pemuda yang dikenalinya. Mereka merupakan kenalan Kak Su yang terlibat sama dalam bidang kaunseling.

Seraya dengan itu, Kak Su menarik tangan Hannan menuju ke dalam dewan yang mula dipenuhi oleh orang yang bergelar pendidik. Mereka datang dari pelosok negeri untuk menjayakan program ini demi kelangsungan dalam bidang pendidikan.
Hannan mengambil tempat di dalam dewan yang sederhana besar yang boleh memuatkan kehadiran dalam 200 orang peserta. Seorang juruacara wanita muncul di pentas hadapan mereka memberi hebahan tentang aktiviti program.

Seorang lelaki muda berdiri di tengah-tengah ruang pentas untuk memberi kata-kata aluan kepada peserta seminar. Melihat kepada wajah lelaki muda yang sedang berucap membuatkan dada Hannan berdebar-debar. “Farish..” terpancul nama itu dibibirnya secara spontan. Dia masih mengenali raut wajah lelaki itu walaupun telah lama mereka tidak bertemu. Ditatapnya wajah itu dengan penuh teliti.

Hannan mula berasa gelisah, apabila mata mereka berdua bertembung tanpa sengaja. Lekas Hannan mengalihkan pandangan mata. Dia yakin bahawa Farish masih lagi mengenali wajahnya. Dia sedar bahawa Farish telah memberikan senyuman kepadanya biarpun jarak di antara mereka agak jauh.

Pengisian program itu amat memukau hadirin. Ramai peserta memuji kehebatan program yang sedang berlangsung. Terdapat dua orang tokoh motivasi yang tersohor negara membentangkan ceramah berkaitan masalah disiplin pelajar masa ini dan kaedah-kaedah pemulihan.

Sebentar kemudian, juruacara wanita itu menaiki pentas lalu memaklumkan bahawa jadual program akan dilanjutkan sedikit kerana pihak penganjur akan mengadakan jamuan makan malam pada pukul 7.00 malam.

“Sorry Nurul, Kak Su kena balik sekarang. Ada perkara urgent. Sorry ye tak dapat temankan Nurul untuk makan bersama.”

“Takpelah Ka Su. Lagi pun ramai orang di sini. Okaylah bye Kak Su, drive carefully.” Mereka melagakan pipi sebentar sebagai tanda untuk berpisah

Nurul melangkah keseorangan menuju ke meja yang menyediakan hidangan ala buffet. Air liurnya mula kecur melihat beberapa hidangan makanan yang telah tersedia.

“Well, dunia ini kecil Nurul. Finally, I jumpa you di sini. Sungguh tak disangka.” Sapa satu suara dari arah belakangnya. Nurul menjadi kaget. Suara itu amat dikenalinya.
Begitu lembut suara lelaki berwajah pan asian yang membuatkan perasaan Hannan semakin berkecamuk. Hannan memusingkan tubuhnya mengadap lelaki yang berdiri di belakangnya.

“Sungguh tak sangka kan.” Ulang lelaki itu lagi. Pandangan mata berwarna hazel seakan-akan menusuk kalbunya. Hannan tersenyum kerana menghormati lelaki yang pernah menjadi ‘sahabatnya’.

Kakinya seakan-akan sudah melekat di situ apabila susuk tubuh lelaki itu terlalu hamper dengannya. Aroma wangian yang dipakai oleh lelaki itu menusuk ke hidungnya membuatkan dadanya semakin berdebar. Keriuhan orang ramai di dalam dewan tidak langsung dihiraunya.
Lidah Hannan menjadi kelu untuk berkata-kata. Memang dia langsung tidak menyangka bahawa dia akan bertemu kembali dengan lelaki ini. Dahulu dia pernah ‘lari’ dari dia.

“Malam ni kita jumpa sekejap. I terlalu rindukan you sayang.” Bisik lelaki itu perlahan namun dia jelas kedengaran pada halwa telinganya.

Hannan melarikan pandangan matanya daripada terus bertaut dengan mata hazel milik lelaki itu. Aliran darah seperti berlari di sekitar mukanya. Dia sedikit berundur ke belakang supaya tidak terlalu hampir dengan lelaki yang tercegat dengannya.

“You semakin cantik!” Puji lelaki itu lagi sambil melemparkan sebuah senyuman. Hannan menjadi semakin tergamam. Lidah menjadi kelu tiba-tiba. Dia tidak menyangka akan pertemuan yang tanpa dirancang ini.

Debaran dada Hannan semakin kuat. Kelibat lelaki itu hilang di celah-celah manusia yang berkerumum mengambil makanan untuk dijadikan santapan malam. Tiba-tiba nafsu makan menjadi terbantut.
Hannan mengambil tempat duduk yang sedikit jauh daripada peserta yang lain. Dia seperti anti-sosial tidak mudah mesra dengan orang yang tidak dikenali. Sekeping surat yang disampaikan oleh seorang pekerja hotel diterimanya.

“I jumpa you di bilik 1205.” Dia meneliti sekeping kad bewarna putih yang turut bersama dengan sekeping nota ringkas itu. Dia mengamati kad yang berupa Access Keycard untuk bilik di hotel ini. Kenapa dia memberikan kunci bilik ini kepada aku? Apa tujuan dia yang sebenarnya?

Seketika, telefon bimbitnya berbunyi sebagai tanda menerima pesanan whatsapp. Dia mengambil telefon yang terletak di dalam tas tangan. Pantas jarinya menyentuh skrin telefon.

“Tentu you dah terima apa yang I kirim. Harap kita dapat berjumpa selepas majlis ini.” Satu pesanan ditulis oleh Farish dibacanya.
Hannan tidak segera membalas pesanan itu, matanya meliar mencari kelibat Farish. Hatinya mula bergetar semakin kencang.

“Kenapa dia begitu bersungguh-sungguh untuk jumpa aku.” Gerutunya hatinya.
Nasi dan lauk-pauk di pinggan tidak dijamah, seleranya semakin terbantut. Terasa seperti sesuatu tersekat pada kerongkongnya. Dia mencari jawapan di benak fikirannya. Perlukah aku menemuinya. Untuk apa?
Adakah aku perlu lakukan sesuatu? Benar jantan itu pernah menodai aku. Tetapi haruskah aku bertindak untuk membalas dendam. Tidak! Aku tidak berdendam dengan Farish, malah aku tidak menyintai dirinya.

Hannan menoleh ke sebelah kirinya terus kepada lelaki itu yang duduk semeja dengan beberapa tetamu VIP di tengah –tengah dewan. Lama matanya merenung ke arah lelaki itu yang sedang rancak berbual. Tiba-tiba pandangan mereka bertemu. Perasaan resah bercampur keliru menerjah otaknya.

“Temankan I untuk malam ini.” Satue pesanan ringkas masuk dibacanya. Dahinya mula berkerut. Dia mula khuatir kemungkinan akan ada perkara yang tidak diingini bakal berlaku sekiranya dia menurut kehendak lelaki itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience